Saya sudah berkahwin lebih kurang 15 tahun lamanya. Alhamdulillah, perkenalan kami yang bermula sebagai rakan sekerja diakhiri dengan ikatan perkahwinan. Keluarga juga memberikan restu dan kami dikurniakan tiga orang anak yang meningkat remaja.  

Meniti alam kehidupan berumah tangga, seperti orang lain juga, ada pasang dan surutnya. Boleh dikatakan, tidak banyak masalah berlaku dalam rumah tangga kami. Gaduh-gaduh cakap mulut itu biasa tetapi tidak berbekas di hati kerana ia sekejap sahaja.


Biarpun rumah tangga yang kami bina biasa-biasa sahaja, lama kelamaan timbul kebosanan di hati saya dan inilah yang menjadi masalahnya sekarang.

Suami seorang yang jarang memberikan pendapatnya sedangkan ada kalanya saya suka berbincang dengannya mengenai sesuatu isu. Sebagai contoh apa yang berlaku di pejabat dan saya kemudian bercerita kepadanya. Jawapannya cukup ringkas, "awak tak payah ambil tahu hal orang..."

Tidak hanya pada perkara itu saja, hal-hal keluarga juga sangat jarang diperbualkan. Dia dengan caranya yang suka bersukan dan masanya memang banyak di luar. Pernah sekali hal adiknya yang mengadu. Sebagai abang, dia hanya mampu berkata, pandai-pandailah dia ‘settle’kan halnya sendiri. Itu belum lagi kalau saya mengajaknya berbincang soal anak yang mulai nakal tetapi jawapannya, budak-budak memang biasa.

Kalau di tempat saya, apa yang harus saya buat? Saya sering membaca di akhbar mahupun di media sosial tentang peri pentingnya komunikasi dalam sebuah perhubungan kerana melaluinya hubungan suami isteri akan lebih mesra. Tetapi membandingkan diri saya dan suami, rasanya sangat jauh hal ini kerana kami hanya membuat hal sendiri. Serumah tetapi jarang bercakap. Makan minumnya tetap saya sediakan seperti biasa malah pada pandangan anak-anak, ibu dan ayahnya baik-baik sahaja tanpa ada sebarang masalah yakni tiada pergaduhan berlaku.

Jujurnya, saya bosan dengan situasi ini. Saya sudah tidak tahu kepada siapa lagi hendak saya bercerita kerana saya tidak menemui jawapan kepada apa yang ingin saya ketahui jawapannya.
Suara saya hanya kedengaran di pejabat sahaja dan kerana itulah saya agak riuh di pejabat. Orang nampak saya seperti seorang yang ‘happy go lucky’ di pejabat sedangkan orang tidak tahu di rumah karakter saya sangat berbeza.

Baru-baru ini saya mengenali seorang lelaki secara tidak sengaja. Kebetulan dia rakan kepada rakan sekerja saya di mana ketika makan tengah hari, dia menegur rakan sekerja saya. Mereka sudah lama kenal dan masing-masing sudah berkeluarga. Tiga empat kali juga kami bertembung di kawasan makan yang sama di mana akhirnya boleh dikatakan setiap kali makan, pasti ada dirinya.

Dia antara lelaki yang saya suka kerana dia banyak bercakap. Tanpa sedar saya menyukai caranya yang suka bercakap itu. Pernah kami makan berdua sahaja, bila saya suarakan sesuatu masalah, dia sudah memberikan pendapat yang bernas. Bila saya bertanya satu perkara, dia menghuraikannya dengan cukup teliti, menunjukkan dia seorang yang banyak membaca dan pengetahuannya juga sangat meluas. Ada saja ceritanya yang amat menghiburkan hati. Dalam diam, saya akui sudah tertarik kepadanya tetapi tidak mahu menampakkan cara meminatinya dalam keadaan terus terang.

Saya membandingkan caranya dan suami yang sangat kurang bercakap. Jauh berbeza sekali sikap mereka. Saya akui suami seorang yang baik dan bertanggungjawab kepada keluarganya. Tetapi adakah cukup soal baik itu dan sikap tanggungjawab yang ada padanya sedangkan soal hati adalah bersikap misteri!


Saya terfikir-fikir, seberapa lama saya harus begini iaitu dengan mengunci mulut saya. Suami juga begitu.

Jujurnya, saya pernah bertemu lelaki ini secara berduaan di luar. Rasa bahagia, malah katanya dia juga menyukai saya. Saya semakin takut perasaan ini menular di dalam hati kerana saya hanyalah manusia yang lemah. Saya takut jika saya akan menurut kata hati kerana kenalan ini sudah mulai bercakap soal hati! Saya bimbang saya tewas! Apa yang harus saya lakukan? Bantulah saya.