Saya seorang isteri, berusia awal 30-an. Suami seorang anggota badan beruniform dan kami dikurniakan seorang anak perempuan. Usia perkahwinan baru mencecah 5 tahun. Di awal perkahwinan, saya telah diuji dengan sikap suami yang suka bermain permainan yang seakan judi kerana ada taruhan duit (bukan komputer). Hampir setiap malam selepas waktu kerja dia akan singgah ke tempat game tersebut dan balik lewat malam.

Tabiatnya bermain game itu seakan menjadi tagihan. Hinggalah saya disahkan hamil dia tetap dengan hobinya. Saya ingat bila hamil, saya seorang yang bertuah sebab akan dilayan seperti puteri raja. Tapi tidak sama sekali. Oleh kerana sikapnya yang suka bermain game tersebut dia telah berkenalan dengan seorang perempuan yang masih menuntut di universiti.

Mereka berdua mempunyai hobi yang sama bermain game judi tersebut. Makin hari semakin teruk hingga suami balik awal pagi dan kerap tidak balik ke rumah. Sepanjang mengandung memang saya seorang diri bawa perut ke klinik untuk check up hinggalah bersalin.

Selepas saya habis berpantang dan naik kerja, seperti biasa saya mendapat panggilan telefon dari perempuan tersebut yang mencari suami saya. Pelajar tersebut mengaku dia sudah berkali-kali terlanjur bersama suami sejak mereka berkenalan di pusat game tersebut hinggalah pernah keguguran.

Dia mencari suami saya kerana dia tiada duit membayar bil klinik untuk ‘cuci’ benihnya. Saya hampir pitam namun gagahkan kaki untuk bertemu pelajar tersebut kerana saya mahu bukti yang mengatakan mereka telah terlanjur. Pelajar tersebut tunjukkan bukti-bukti termasuklah perbualan lucah mereka sebelum mereka ‘bersama’. Saya rasa amat kecewa dan menangis sepuas-puasnya. Tapi entah mengapa saya mudah dan cepat bangkit daripada kekecewaan itu untuk teruskan hidup semata-mata kerana anak kami yang masih baru menjengah dunia waktu itu.

Selepas waktu itu, tiada lagi suami saya pergi ke tempat tersebut. Saya ingat dia sudah insaf tapi sebaliknya dia banyak melayan perempuan-perempuan lain di whatsapp dan wechat sampai ada perbualan mereka berbaur lucah. Untuk makluman, saya sering bertengkar dengan suami sejak insiden pelajar tersebut. Lebih teruk, bila saya terbaca perbualan suami dengan perempuan yang tidak saya kenali dengan ada perkataan sayang dan cinta.

Sebagai seorng isteri pasti ada rasa cemburu dan sedih dengan perangai suami sebegitu. Bila sudah lali dengan perangai suami yang suka melayan perempuan, saya  ambil keputusan untuk tidak mengamuk dan buat endah tak endah saja dengan perkara itu seperti saya tidak lagi memeriksa telefon bimbitnya.

Sehingga satu tahap entah bagaimana saya terbaca satu perbualan suami saya dengan kenalan perempuan yang juga seorang anggota tentera yang berstatus janda. Saya jadi pelik dengan perbualan mereka yang amat mesra. Bila ajukan pertanyaan, suami hanya mengatakan tidak tahu apa-apa.

Bila tanya perempuan tersebut pun hanya jawapan yang sama diberikan. Kesilapan mereka bermula bila janda tersebut meluahkan masalah dengan bekas suaminya dan suami saya menjadi penasihat. Makin lama hubungan mereka menjadi rapat sehingga menimbulkan perasaan antara satu sama lain.

Saya menangis, mengamuk dan merayu supaya hentikan semua ini. Suami saya hanya minta maaf dan janda tersebut berjanji tidak akan mengganggu rumah tangga saya. Hinggalah berlarutan hampir 3 tahun rupanya mereka masih berhubung apabila saya melihat bil telefon suami. Berderet-deret nombor janda tersebut dan bila diteliti, mereka berhubung apabila suami saya sedang bertugas.

Waktu sekarang ini saya terasa amat sedih dan kecewa dengan apa yang terjadi. Selama ini saya terima dirinya walaupun dia pernah berzina. Saya telah jalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu sehabis baik walaupun ada yang tidak sempurna.

Anak sakit dan belanja keperluan anak semuanya saya tanggung. Saya juga sedaya upaya mengelak dari berbual di telefon dengan rakan sekerja lelaki ketika saya di rumah untuk elak timbulnya fitnah. Apatah lagi menjaga batas-batas sebagai seorang isteri di tempat kerja serta di luar. Hingga satu tahap saya menangis sepuas-puasnya mengapa saya yang terima dugaan ini  sedangkan saya amat setia jujur dengan suami dan cinta sayang saya tidak pernah kurang pada suami walaupun sudah banyak air mata saya tumpah dek kerana perangai suami saya.

Bagaimanakah saya nak teruskan kehidupan saya dengan rasa gembira? Cuma yang saya sedar hubungan saya dengan Allah semakin rapat sejak dugaan pertama di dalam rumah tangga kami. Makin saya rapat makin banyak perkara yang menduga saya. Saya sedar berdosa saya mempersoalkan perkara-perkara sebegini tapi saya juga seorang manusia dan hamba yang lemah.

Sekarang Saya jalankan rutin harian saya sebagai ibu seperti biasa. Adakah saya perlu berundur diri? Atau adakah saya perlu bangkit dengan lebih kuat? Kepercayaan saya pada suami semakin berkurang. Apa yang perlu saya buat sekarang ini? Saya menjadi buntu. Sudah banyak kali saya berpesan pada suami supaya dirikan solat tapi tidak berhasil. Saya sekarang sedang berusaha sehabis baik untuk mendidik anak perempuan saya lagi-lagi dalam ilmu agama... Terima kasih.