Bulan madu bererti masa berdua. Tanpa anak-anak atau sesiapa pun di sisi anda kecuali pasangan. Tak semestinya perlu 'terbang' ke luar negara, bermanja di rumah juga ada nikmatnya jika anda pandai cipta suasana. Kalau suasana romantik terus dipraktikkan, tak mustahil rumah tangga yang dibina akan kekal bahagia.
 
 
Anda dan pasangan harus sepakat dan sama-sama merencana aktiviti yang menarik. Jadikan diri persis pengantin baru walau usia perkahwinan sudah menjangkau belasan tahun. Masih tercari-cari cara yang sesuai? Ikuti tip ini...
 
 
1. Ubah kediaman rumah
Pasangan yang telah lama mendirikan rumah tangga sering terlupa untuk mencari momen berbulan madu.Banyak sangat alasan yang diberikan untuk bersikap romantik terhadap pasangan seperti malu dilihat anak-anak atau sibuk dengan urusan seharian.
 
 
Berbanggalah kerana hingga ke tua, hubungan kalian masih 'ketat' bak pasangan kekasih.
 
 
Langkah pertama yang harus dilakukan ialah membersihkan rumah luar dan dalam. Pastikan suasana lebih selesa dari biasa. Bagi memberi sedikit kelainan, mungkin susun atur perabot boleh diubah. Begitu juga dengan ruang kamar utama. Menggunakan kain cadar yang baru juga boleh memberi impak yang berbeza. Tak percaya? Cuba dahulu dan lihat keputusannya. 
 
 
 
2. Bunga segar bangkitkan cinta 
Sediakan beberapa tangkai bunga segar dan letakkan di kawasan yang sering menjadi tumpuan seperti meja makan, ruang tamu  atau kamar tidur. Tapi pastikan si dia memang suka gemar, kalau ke tong sampah akhirnya, tak guna juga. Haruman bunga  secara tidak langsung membangkitkan mood kasih sayang kalian berdua. 
 
 
3. Sediakan makanan yang istimewa 
Kata orang menambat hati suami adalah dari perutnya. Siapkan menu yang istimewa dengan air tangan anda. Lengkapkan suasana dengan nyalaan lilin bagi membangkitkan mood romantis. Jangan tak percaya bahawa pasangan akan rasa cukup dihargai apabila anda melakukan macam ni.
 
 
4. Makan malam takkan lengkap tanpa iringan lagu-lagu romantis
Selesai sahaja urusan makanan maka fikirkan pula lagu apakah yang sesuai untuk menjadi peneman anda. Mungkin boleh mencuba kelainan dengan berdansa melalui lagu yang direkodkan dari internet atau menonton filem romantis. Pasti membangkitkan ghairah apabila tangan saling menggenggam sementara pinggang anda pula berada dalam rangkulannya. 
 
 
5. Nota cinta ingatan selamanya
Sebelum pasangan keluar bekerja, selitkan beberapa keping nota cinta di dalam poket seluarnya. Atau, kirimkan sahaja pesanan ringkas di telefon mahupun e-mel mengenai perasaan anda terhadapnya.
 
 
Tak salah sekiranya anda minta dibelikan bunga, coklat atau apa sahaja sebagai hadiah kerana kebanyakan lelaki sukar memahami apa yang wanita kehendaki. 
 
 
6. Pastikan telefon bimbit dimatikan pada malam bulan madu
Deringannya hanya mengganggu dan mencacatkan suasana romantis yang telah anda atur sedari awal lagi. Biarkan diri bebas dari apa jua perkara sama ada hal-hal pejabat atau perkara-perkara lain. Nikmati momen tersebut sebaiknya, tanpa gangguan dari sesiapa pun lebih-lebih lagi kalian berada di rumah sendiri. Betah bergerak ke sana ke mari tanpa halangan atau kekangan masa. Jadi berseronoklah! 
 
 
7. Sesuaikan momen dengan pakaian yang seksi
Mentang-mentang berada di rumah jadi main tangkap muat sahaja baju-baju yang ada. Yakinlah, pakaian yang anda kenakan mampu mencetuskan kelainan dari hari-hari biasa. Sebaiknya gunakan pakaian yang seksi dengan material yang lembut. Berhiaslah untuk menarik perhatian pasangan kerana malam itu adalah malam anda berdua. 
 
 
8. Ambil cuti untuk lanjutkan waktu bulan madu
Ambillah cuti sehari dua untuk berlibur bersama-sama. Meskipun bukan ke pulau-pulau atau tempat peranginan yang menarik, anda masih boleh mencipta suasana bulan madu yang lengkap. Berduaan memandu dengan pasangan sambil berpegangan tangan sudah cukup membangkitkan rasa cinta. Halakan kenderaan anda ke taman bunga atau mungkin ke pusat membeli-belah untuk membeli ‘cenderahati’ untuknya atau menonton wayang  gambar yang menjadi kegemaran anda berdua.
 
 
Saat-saat begini tidak selalunya muncul jadi gunakanlah dengan baik!