Menjadi ibu adalah idaman setiap wanita yang sudah berkahwin. Saat disahkan hamil adalah momen yang sangat indah. Pastinya ibu tidak sabar menanti kelahiran cahaya mata yang menjadi pengikat kasih sayang dengan suami.

 

Sebelum menyambut kehadiran orang baru, ibu harus membuat persiapan rapi baik dari aspek fizikal, mental, rohani dan emosi...

 

1. Bajet Kewangan

Walaupun beberapa kali rawatan susulan dilakukan dan anda difahamkan anda boleh bersalin normal, namun jalan selamatnya anda tetap perlu peruntukan wang untuk hal-hal kecemasan. Ada kalanya saat akhir berlaku hal yang tidak dijangka dan anda perlu menjalani pembedahan, kos diperlukan tinggi. Jadi lebih baik, anda dan pasangan membuat tabungan awal untuk kos kelahiran.

 

2. Lokasi Bersalin

Rancang dan tempah di mana tempat untuk anda melahirkan bayi anda itu nanti sama ada di pusat perubatan swasta mahupun hospital kerajaan. Pilihan perlu dibuat berdasarkan kemampuan kewangan dan beberapa faktor lain seperti kondisi kandungan, jarak kediaman dan fasiliti pusat perubatan.

 

3. Fasiliti

Pastikan hospital atau pusat perubatan yang dipilih mempunyai kelengkapan yang memuaskan. Bimbang jika berlaku kecemasan ketika kelahiran, lokasi yang anda pilih tidak mempunyai fasiliti lengkap.

 

4. Kelas Antanetal

Kelas sebegini memberikan pendedahan kepada anda mengenai ilmu mengenai penjagaan diri, bayi dan persediaan diri. Ilmu, perkongsian dan pengalaman menerusi kelas ini membantu anda agar lebih bersedia menerima kehadiran cahaya mata.

 

5. Penyusuan Susu Ibu

Buat persediaan secukupnya sejak dari awal kehamilan lagi. Sekiranya anda bercadang mahu menyusukan bayi secara eksklusif apabila dia lahir, persiapkan diri. Pastikan anda mengamalkan pemakanan seimbang agar air susu banyak dan ia membekalkan nutrien yang diperlukan bayi. Penyusuan dalam tempoh satu jam pertama selepas kelahiran sangat penting kerana ia dapat menyalurkan kolostrum yang menjadi imunisasi semula jadi pertama kepada bayi.

 

6. Kehamilan Berisiko

Antara yang berisiko contohnya tiadanya kemajuan dalam pembesaran saiz serviks biarpun telah dibantu dengan ubat penguat kontraksi, janin mengalami masalah antaranya bekalan oksigen tergendala, saiz bayi terlalu besar, kedudukan bayi songsang dan banyak lagi. Anda harus bersedia melahirkan anak secara pembedahan. Kawal emosi dan kuatkan mental untuk menghadapinya. 

 

7. Kelengkapan Ibu

Semakin menghampiri waktu bersalin, anda perlu siapkan semua kelengkapan yang perlu anda bawa ke hospital. Senaraikan barang-barang keperluan agar tidak tercicir. Letakkan semua barangan ini di dalam beg. Pastikan anda membawa beg ini ke hospital.

 

8. Kelengkapan Bayi

Bukan sahaja kelengkapan anda, kelengkapan untuk bayi juga perlu disediakan. Contohnya sehelai baju, topi, napkin, lampin pakai buang perlu dibawa secukupnya ke hospital. Ini adalah untuk kegunaan ketika anda dan bayi masih berada di hospital.