“Gatal sangat nak kahwin muda inilah padahnya”. Terngiang-ngiang suara ibu Hanafi memarahi anak lelakinya itu. Hanafi terkedu dan hanya mendiamkan diri. Dia sedar salah dirinya namun apa boleh buat nasi sudah menjadi bubur. Perkenalannya dengan Nana sejak zaman persekolahan lagi. Mereka sebaya dan ketika umur 17 tahun, mereka telah mendirikan rumah tangga. Bayangkan ketika itu pelajar lain sibuk mengulang kaji pelajaran untuk menghadapi SPM, tetapi mereka galak bercinta.

 

Masjid yang dibina sempat bertahan cuma tiga tahun dengan seorang zuriat lelaki. Bahkan perkahwinan mereka juga dilakukan dengan tergesa-gesa kerana Nana telah pun mengandung. Tidak mahu masyarakat dan jiran-jiran tahu, kedua-dua belah keluarga berpakat untuk mengahwinkan Hanafi dan Nana.

 

Sama seperti remaja-remaja lain, lumrah hidup ketika usia memasuki alam remaja, mereka terlalu hanyut dengan dunia percintaan. Hanyut dengan percintaan sehingga akhirnya, mereka terlanjur dan Nana mengandung.

 

Pada mulanya hubungan mereka seperti biasa namun bila memasuki tingkatan lima, mereka menjadi serius dan tidak terkawal. Malah, pelajaran mereka juga terabai dan merosot. Sudah puas cikgu memberi nasihat kerana tahun tersebut mereka bakal berhadapan dengan peperiksaan SPM. Andai sering kali ponteng, pasti pelajaran akan terganggu dan banyak yang akan tertinggal.

 

Namun, seperti mana biasa remaja lain, kata-kata nasihat langsung tidak mereka dengari. Hubungan mereka ada kalanya melampau apabila pernah kelihatan berdua-duaan di belakang tandas dan di rumah ketika ibu bapa mereka tiada. Namun, mereka bukanlah satu-satunya keluarga yang tinggal di situ kerana ramai mata yang memandang kelakuan sumbang mereka.

 

Kahwin Muda

Akhirnya seusia 17 tahun, mereka telah sah sebagai suami isteri. Malah, mereka juga memutuskan untuk berhenti sekolah sementelah Nana disahkan mengandung. Akhirnya Nana selamat bersalin. Mungkin ada beberapa orang  jiran tetangga yang sedar anak tersebut adalah anak luar nikah. Namun, hal itu berlalu begitu sahaja tanpa umpat cela yang ketara.

 

Pada tahun pertama perkahwinan, kehidupan mereka bahagia dengan seorang anak lelaki yang comel. Oleh kerana tidak mahu terlalu bergantung kepada keluarga, Hanafi telah bekerja di sebuah kedai motor menjadi mekanik. Walaupun pendapatannya tidak besar, namun cukup untuk mereka anak-beranak.

 

Sebab masing-masing masih muda, mereka tiada pengalaman menguruskan rumah tangga dan mudah mengikut perasaan tanpa berfikir panjang. Mereka sering kali bergaduh dan bertengkar walaupun perkara yang berbangkit itu adalah perkara kecil. Masing-masing masih muda dan perangai untuk berhibur itu masih tebal.

 

Mereka belum puas menikmati zaman remaja tetapi terpaksa memikul tanggungjawab menjaga keluarga. Ini memberi tekanan kepada Hanafi dan juga Nana. Bagi meringankan bebanan Hanafi, Nana mengambil keputusan untuk bekerja dan menyerahkan anaknya itu kepada ibu untuk dijaga sepanjang dia bekerja.

 

Masuk tahun kedua dan ketiga, masing-masing mula membawa haluan sendiri. Pertengkaran sering berlaku dan ada kalanya berlarutan hingga berhari-hari. Hanafi dengan perangainya begitu juga Nana. Masing-masing tidak mahu mengalah dan menyalahkan sesama sendiri.

 

Hanafi menuduh Nana mempunyai hubungan dengan rakan sekerja manakala Nana pula menuduh Hanafi tidak bertanggungjawab dan curang kepadanya. Walhal, kedua-duanya bersalah dan mempunyai skandal. Mungkin bagi Nana hubungan rapatnya dengan rakan sekerja tidak mendatangkan apa-apa perasaan namun akhirnya dia sedar tanpa rakan sekerjanya itu, hidupnya berasa sepi dan tidak gembira.

 

Masuk tahun ketiga, rumah tangga mereka makin bergolak. Hampir setiap hari mereka bertekak dan yang menjadi mangsa adalah anak kecil mereka. Satu hari ketika kedua-duanya cuti, pertengkaran jadi kemuncaknya. Mereka menuduh antara satu sama lain. Akhirnya tidak tahan dengan tekanan, Hanafi melayangkan satu tamparan kuat tepat ke pipi Nana hingga menyebabkan bibirnya berdarah.

 

Nana menangis dan mengemas pakaian sambil mendukung anak kecilnya terus berlari keluar. Hanafi yang masih lagi dikuasai perasaan marah bertindak menerajang Nana keluar hingga menyebabkan isterinya itu jatuh tersungkur bersama anaknya. Tanpa rasa bersalah, Hanafi menjerit dan menjatuhkan talak kepada Nana.

 

Akhirnya rumah tangga mereka tidak dapat diselamatkan lagi dan kedua-dua redha dengan apa yang berlaku. Pada usia baru 20 tahun, Hanafi akhirnya bergelar duda. Anak mereka dijaga oleh Nana dan sesekali Hanafi dibenarkan melawat dan membawanya keluar berjalan-jalan.