Bagaikan tidak percaya aku kini hidup sebatang kara. Semuanya gara-gara terlalu mengikutkan nafsu buasku. Aku seorang anak jati Kuala Lumpur yang bernama Mustakim. Sudah terbiasa dengan kehidupan di kota metropolitan dan bergaul dengan budak-budak flat yang sememangnya terkenal dengan 'kenakalan'.

Namun aku bukanlah budak yang mudah terpengaruh dengan gejala negatif. Selepas tamat belajar aku berpeluang mengikuti pelajaran di sebuah universiti tempatan. Di situlah aku bertemu dengan Aishah yang juga rakan sekuliah yang kemudiannya menjadi permaisuri hatiku.

Aishah merupakan anak tunggal dalam keluarganya dan dilahirkan dalam hidup yang serba mewah. Aku beruntung dapat memperisterikan gadis yang cukup cantik dan bersopan santun. Selepas mendirikan rumah tangga kami menetap di London, mencari rezeki di sana. Bermulanya kisah hitam hidupku selepas lahirnya anak ketiga kami, aku mula berubah selepas bertemu dengan seorang janda.

Aku abaikan Aishah dan anak-anakku dan tidak pulang ke rumah. Aku tinggal serumah dengan janda tersebut dan terlalu banyak dosa yang telah aku lakukan. Aku diberhentikan kerja kerana kerap ponteng dan menjadi kaki botol. Bukan itu saja janda yang aku panggil Suzanna itu juga dalam masa yang sama tanpa aku sedar mengikis wangku.

Disebabkan wang sudah habis, aku pulang ke rumah dan mahu meminta Aishah mengeluarkan wang simpannya. Setibanya di rumah, Aishah terkejut dengan kehadiranku dan enggan memberiku wang. Terjadilah pergaduhan hingga aku memukul Aishah di depan anak-anak. Aishah menjerit dan minta dia dilepaskan tanpa berfikir panjang aku terus lafazkan talak tiga kepadanya. Kemudian aku terus melangkah keluar, dengan jiwa yang cukup kusut aku pulang ke Apartmen Suzaana. Alangkah terkejutnya, sebaik membuka pintu rumah, aku ternampak kelibat Suzanna yang sedang bermesra dengan jantan lain.

Aku pun meluru mendapatkan Suzanna dan memukul lelaki yang bersama dengannya sehingga pengsan. Aku di penjara selama tiga bulan. Bebas dari penjara aku terus ke rumah isteriku namun semuanya telah terlambat kerana Aishah sudah membawa anak-anakku pulang ke Malaysia. Dengan sedikit wang ehsan dari seorang rakan baik, aku membeli tiket penerbangan dan pulang ke Malaysia bertujuan untuk terus menetap di sini dan mencari Aishah dan anak-anak.

Namun semuanya hampa apabila Aishah melarikan diri membawa anak-anak. Hidupku kini hilang arah, keluarga tidak dapat menerima perbuatan yang telah aku lakukan terhadap Aishah kerana mereka berasa aku cukup kejam selepas melafazkan talak tiga terhadap seorang wanita yang cukup baik. Aku ke rumah bekas mentua namun dihalau dan dilarang masuk.

Setiap hari aku tunggu Aishah dan anak-anak di luar pintu pagar kediaman mentua namun tidak pernah dapat bersua mereka. Keadaanku cukup kusut masai, aku tidak hiraukan lagi kebersihan diri dan aku cukup tertekan dan hanya mahu berjumpa dengan Aishah.

Satu hari, ketika sedang terbaring berdekatan tembok pagar rumah bekas mentua aku didatangi seorang wanita yang cukup aku kenal. Ya, itulah Aishah wanita yang pernah aku kecewakan. Dia datang membawa ketiga-tiga permata hatiku. Dia kelihatan cukup matang, aku berasa cukup hina dibandingkan dengan Aishah yang kini cukup jelita. Anak-anak juga seolah-olah tidak mengenali diriku seolah-olah takut dan berasakan diriku orang asing.  

Aishah memberikan kata-kata semangat kepadaku dan mahu aku kembali hidup seperti insan lain. Memang kami telah ditakdirkan tiada jodoh, namun Aishah mahu aku bangkit dan melihat aku berjaya seperti dulu. Ketika ini aku berasa cukup malu dengan keadaan diriku. Mujurlah Aishah banyak membantu dari segi kewangan dan kini aku mahu bina hidup baru. Walaupun tidak boleh hidup bersama Aishah lagi namun anak-anak menjadi pengikat kasih sayang kami. Aku tetap menyayangi Aishah walaupun dia sudah aku ceraikan dengan talak tiga. Aku cukup sesal dengan segala yang berlaku dalam hidupku.