Memang fitrah seseorang wanita inginkan dirinya disayangi secara istimewa dan tidak berkongsi. Berkongsi ertinya tidak istimewa. Namun sekiranya berlaku, perlu ditangani secara bijak dengan hikmah supaya saling menguntungkan antara satu sama lain.

Andainya belum bermadu, kita boleh mencipta diri kita yang mampu memenuhi kebahagiaan suami kita dan ini mampu mengelakkan ruang hasrat suami untuk menambah isteri baru.

Kalau telah berlaku dan kita bermadu, jangan habiskan banyak masa untuk bergaduh dan memburuk-burukkan madu kita agar suami kita membencinya dan menyayangi kita. Memburukkan orang lain tidak akan menjadikan kita baik, tetapi kita perlu berubah melakukan kebaikan kepada orang lain.

Sebaiknya didik hati menerima fitrah ciptaan Allah SWT bahawa setiap kita ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Ada kelebihan pada diri madu kita yang boleh membahagiakan suami kita, malah juga ada kelebihan yang boleh dipergunakan untuk kegembiraan kita.

Saling bahagiakan, insya-Allah bahagia yang dirasai mudah dikongsi untuk kita juga merasa bahagia. Sesekali terasa hati, itu adalah perkara biasa tetapi cepat-cepat merawat hati dengan kefahaman kita tadi.

Namun dalam situasi berpoligami, suami perlu pegang beberapa perkara ini...

1. Pertamanya, betulkan di hati bahawa tanggungjawabnya berganda berbanding suami beristeri satu.

2. Perkara paling penting, pastikan berlaku adil terutamanya pada keperluan berbentuk fizikal dan material.

3. Masa lebih terhad berbanding beristeri satu. Uruskan masa sebaiknya untuk keluarga berganda dan makin kurang untuk bersama kawan-kawan mahu pun bersendirian.

4. Sedia berkorban dan kurangkan kepentingan diri kerana banyak hati yang perlu dijaga dan mudah terasa.

5. Elakkan sama sekali daripada membanding-bandingkan kelebihan mana-mana isteri atau pun menyebut kelemahan isteri tertentu. Hargai kelebihan masing-masing.

6. Perlulah semakin dekat dengan Allah untuk sokongan kekuatan menjaga dan mendidik dua orang isteri dan lebih ramai anak-anak.Memang fitrah seseorang wanita inginkan dirinya disayangi secara istimewa dan tidak berkongsi. Berkongsi ertinya tidak istimewa. Namun sekiranya berlaku, perlu ditangani secara bijak dengan hikmah supaya saling menguntungkan antara satu sama lain.