Kesian sungguh wanita-wanita yang teraniaya kerana mendapat suami atau pasangan yang suka membalun dan memukul wanita tanpa belas kasihan. Nak pukul kaum sejenisnya takut, cuba pukul lelaki sama lelaki, kalau tak masuk tersadai di katil lima hari mesti tersadai di hospital berhari-hari dan silap-silap haribulan terdampar di depan kaki lima!


Ini hanya berani pukul wanita, pukul isteri, pukul teman wanita, apalah punya lelaki ini! Tenaga kuat yang diberi tuhan bukan untuk bekerja menyara anak isteri malah isteri yang melahirkan anak-anaknya dipukul sesuka hati dan dijadikan bantal penumbuk pula.



Macam mana pula dengan soal hati dan emosi wanita yang didera suami dan teman lelaki. Lagi parah hingga hilang keyakinan diri, hilang semangat untuk hidup, malu dan keliru dengan diri sendiri, apalah salah dan silap hingga diperlakukan seperti itu, berdiam diri dengan suami kena penampar, bila menjawab kata suami kena pemukul, semuanya serba tak kena di mata suami.


Ada isteri cukup menderita, siang membanting tulang bekerja untuk keluarga, pagi subuh sudah bangun memasak untuk keluarga, suami hanya tutup mata buat taik mata saja, celik-celik mata tengking isteri pasal stoking kerjanya yang disepahkan entah di mana.

 

Sarapan mesti tersedia di meja jika tidak ada siaplah penampar dua biji di muka, sedangkan duit masak sarapan pun isteri yang cari, isteri yang masak dan isteri yang hidangkan, suami pula hanya tau menengking, marah-marah, memukul, memaki hamun dan mendera isteri!


Lagi parah, bila disuruh jumpa pejabat agama minta nasihat atau berpisah sementara untuk menggelakkan kecederaan diri daripada suami pendera, pandai pula wanita menjawab “saya masih sayang suami dan tidak mahu anak-anak kehilangan bapa mereka”, “saya sanggup menahan sakit tapi untuk buat laporan polis, memang tak sanggup.”



APA YANG TERBAIK?


Suami pendera ini bahaya dan perlu wanita berwaspada, ada yang guna senjata hingga membunuh anak dan isterinya sendiri, ada isteri mati dengan menderita kerana dipukul dengan stereng kereta dan senjata tajam lainnya, adakah para isteri di luar sana yang didera suami sanggup menjadi mangsa hingga ke liang kubur?



Fikirlah dengan sedikit rasional, kalau hingga membahayakan nyawa sendiri, apa guna ada suami, berpisah lebih baik daripada hidup menanggung derita! Tapi kalau para isteri sendiri memilih untuk hidup terus bersama suami pendera ini hingga bergadai nyawa, diri sendirilah yang perlu menjawab!



Wahai kaum wanita yang diseksa dan didera, keluarlah daripada kepompong penderitaan itu dengan cara hormatilah diri sendiri. Jangan biarkan diri diseksa dan didera orang lain walaupun suami sendiri, ikatan suami isteri dibina dengan kasih sayang.


Tapi jika tiada lagi kasih sayang suami pada isteri dengan didera dan dibalun sentiasa, keluarlah daripada keseksaan perkahwinan itu, percayalah akan nada kebahagiaan hidup yang lain walaupun tanpa suami. Jadilah wanita yang bahagia bukan menderita!