Komunikasi di kalangan kanak-kanak adalah satu cara untuk menyampaikan maksud hati atau mempertahankan diri dalam bentuk perkataan atau bahasa badan dan mahu difahami dan disayangi.

 

Pada peringkat awal, mungkin komunikasi kanak-kanak tidak dipengaruhi dengan unsur negatif seterusnya mendedahkan mereka kepada mencarut. Namun, setelah mereka meningkat usia, perkara ini sukar dibendung.

 

Kanak-kanak akan lebih terdedah kepada mencarut jika  mereka kerap kali mendengar perkataan, perbuatan atau gambar negatif atau mencarut. Lama-kelamaan, besar kemungkinan mereka akan membesar dengan bahasa yang tidak baik. Bagi menangani masalah ini agar tidak berleluasa,  anda boleh mengambil kira beberapa langkah di bawah:

 

1. Tunjuk contoh terbaik

Ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik kepada anak-anak dalam mendidik mereka berkomunikasi. Sebagai ibu bapa,  gunakan bahasa yang baik dalam berkomunikasi. Elakkan diri daripada menggunakan perkataan yang kasar seperti ‘bodoh’. Teori ‘social learning’ atau ‘modelling’ ada mengatakan bahawa kanak-kanak belajar melalui pemerhatian.

 

2. Pantau rancangan Tv

Cuba peruntukkan sedikit waktu bersama anak-anak. Anda dapat memantau rancangan televisyen(tv) yang mereka tonton. Perhatikan kata-kata (dialog) yang digunakan oleh watak dalam rancangan tersebut. Kadang penggunaan perkataan yang tidak sesuai sangat jelas dan kerap kali digunakan dalam setiap rancangan kartun sama ada alih bahasa atau rancangan kartun terbitan tempatan seperti perkataan ‘tak guna’. Anda perlu terangkan bahawa perkataan itu tidak sesuai digunakan dalam percakapan harian. 

 

3. Mainkan peranan

Terlalu banyak rancangan kartun dialih suara dan kerap kali menggunakan perkataan yang tidak 'manis' di sebut anak-anak, jadi pihak berwajib harus tampil ke hadapan untuk membendung masalah ini. Sekatan atau tapisan harus dibuat agar perkara ini tidak berleluasa seterusnya menyebabkan kanak-kanak terpengaruh dengan perkara-perkara tidak elok.

 

4. Terap nilai keagamaan

Kanak-kanak yang baru dilahirkan itu adalah fitrah, ibu bapa kena mencorakkan. Mulakanlah setiap hari dengan perkataan yang baik-baik. Segala perbuatan  yang dilakukan perlu dimulakan dengan ucapan ‘bismillah’. Anak-anak akan belajar dan mengikut perbuatan ibu bapanya. Sekiranya, ibu bapanya mencarut maka anak juga akan mencarut.

 

5. Semak pergaulan

Setiap saat, anda harus pastikan anak-anak anda bersama dengan siapa, apa yang dibuat dan kata-kata yang dia gunakan. Jika dibiarkan tanpa pemantauan, anak-anak akan rasa bebas, seterusnya membuat apa sahaja yang mereka mahukan. Kalau ibu bapa lambat menyedari  akan pengaruh yang tidak baik ini kepada anak-anak mereka sedangkan anak-anak mereka sudah terbiasa dengan keadaan itu, ini akan menyebabkan anak memberontak dan berfikir ibu bapanya tidak menyayangi mereka lagi. Jadi, melentur buluh biarlah dari rebungnya.