Walaupun kecil tapi otak anak-anak memang geliga. Terutama bila nak melepaskan diri atau ‘mengelat’. Pasti ramai ibu bapa yang berdepan dengan ‘drama’ anak-anak yang malas ke sekolah. Jom semak antara alasan anak-anak.

Sakit/ Demam

Alasan paling kerap untuk tagih simpati ibu bapa. Biasanya anak kita akan cakap dia sakit kepala, sakit perut atau demam. Tapi bila periksa suhu badan tak panas pun. Lakonan mereka memang boleh menang award. Anak-anak akan buat muka sedih dan dahi berkerut, sampaikan ramai ibu ayah yang tewas. Lepas dapat green light, elok je aktif main. Adoi! berbulu je tengok aksi anak-anak.

Letih

Mesti ramai ibu bapa yang stres dengan anak-anak yang terlebih aktif. Puas suruh tidur, dia nak juga main. Berjaga sampai tengah malam, lepas tu pagi-pagi mulalah buat alasan letih atau tak larat nak ke sekolah. Padahal dia mengantuk sebab tak cukup tidur. Jangan kompromi soal ini, kita mesti tegas latih anak-anak tidur awal supaya mereka bangun awal dengan tubuh yang cergas dan minda yang segar. Kalau tak cukup tidur memanglah lemau.

Cikgu Garang

Ada juga anak yang bagi alasan cikgu garang. Dia takut nak ke sekolah, kononnya tak nak kena marah dengan cikgu. Jangan bagi muka dengan anak-anak, siasat punca sebenar. Kemungkinan besar anak-anak tak siapkan kerja sekolah. Sebab takut kena marah dengan cikgu kerana malas, dia buatlah cerita cikgu yang garang tak bertempat.

Kawan Pukul/ Kena Buli

Bila masa nak ke sekolah, dia menangis. Dia kata kawan suka pukul atau ambil barang dia. Ada mak ayah yang melatah, terus nak serang sekolah. Nama pun budak-budak, janganlah terus percaya bulat-bulat. Siasat perkara ini, tanya pada guru kelas. Jika betul, ambil tindakan. Tapi kalau ia tak berlaku, memang hebatlah lakonan anak kita.

Sekolah Tak Best/ Boring

Dah macam-macam alasan yang dia bagi, anak-anak pun cerdik. Takkan asyik bagi alasan yang sama nanti ibu dan ayah tak percaya. Jadi dia cakaplah,”Adik bukan tak nak pergi sekolah tapi sekolah adik tak best. Boring la sekolah ni, nanti ayah tukar adik sekolah lain ye.” Lembut je nada sampai cair ayah yang dengar.

5 Tip Anak Rajin Ke Sekolah

1.    Ketika anak tidur, baca 3 Qul dan Fatihah. Hembus di ubun-ubun kepala anak. Sebut nama anak dan cakap impian anda padanya. Contohnya, Hariz, esok bangun pagi jangan mengamuk ye. Hariz anak yang soleh, mesti belajar rajin-rajin. Jadi anak yang berjaya ye. Pesanan ini akan masuk dalam minda luar sedar anak.

2.    Siapkan bekal yang anak suka, misalnya buah-buahan atau mi goreng. Mesti anak excited nak tunjuk kat kawan-kawan. Lebihkan bekalan supaya anak-anak boleh kongsi makan dengan kawan-kawan.

3.    Pastikan pakaian anak bersih dan penampilannya kemas. Anak akan malu dengan cikgu dan kawan-kawan jika pakaiannya kotor.

4.    Teman anak buat kerja sekolah. Pastikan semua tugasannya selesai agar anak tidak dimarahi cikgu.

5.    Beli kotak pensel dan alat tulis yang anak suka. Anak pasti gembira dan mahu berkongsinya dengan kawan-kawan.