Tujuan saya berkongsi kisah sedih ini bukanlah ingin menarik simpati sesiapa tetapi saya mengharapkan ada jalan penyelesaian bagi masalah yang saya hadapi. Jujurnya, saya tidak kuat untuk terus hidup dibuang keluarga kerana saya merindukan mama dan papa. Tetapi inilah realiti kehidupan yang harus saya rasai.

Sebenarnya, saya dilahirkan dalam keluarga berada. Sejak kecil saya tidak pernah belajar erti susah sebaliknya segala kemahuan saya dituruti mama dan papa. Alhamdulillah, saya cemerlang dalam akademik dan berjaya keluar negara sebaik tamat SPM. Beberapa tahun hidup di rantau orang, biarpun ada masanya sunyi dan rindu kepada keluarga tetapi saya tahankan hati, kuatkan jiwa demi untuk segulung ijazah. Saya tahu mama dan papa menunggu saya dengan ijazah kerana saya anak pertama dalam keluarga.


Setahun sekali, baru keluarga datang ziarah dan sayalah orang paling gembira ketika itu kerana dapat melepaskan rindu yang bertamu. Enam tahun di rantau orang, saya akhirnya berjaya memperoleh ijazah.

Alhamdulillah, pekerjaan di sebuah syarikat korporat membuatkan kehidupan saya agak selesa. Papa memang punya sebuah syarikat tetapi saya yang menolak bekerja dengannya atas alasan ingin berdikari. Jika diukur secara fizikalnya, saya memang tiada sebarang cacat celanya. Kata orang ada duit, ada pekerjaan yang bagus tetapi satu kekurangan itu saya tiada cinta sedangkan usia terus berlalu.

Sesekala bila tengok kawan-kawan bahagia dengan kekasih, saya sedih di dalam hati. Saya terus tonjolkan sikap ‘happy go lucky’ di hadapan mereka dan mengucapkan tahniah bila mereka naik pelamin. Hinggalah tujuh tahun lalu, saya mengenali seorang lelaki yang mana kerana dirinya, saya dibuang keluarga.


Terus terang saya katakan, dia lelaki yang berjaya membuat hati saya cair. Jadi lemah jiwa raga jika tidak menemuinya. Sikapnya yang berbudi bahasa, penuh kesantunan, penuh kasih sayang malah saya rasakan dia pelengkap jiwa.

Bersamanya, saya rasa sangat bahagia malah bersamanya juga baru saya memahami apa itu kasih sayang yang didambakan pasangan berkasih. Dia yang juga suami saya kini, kami bertemu ketika dia datang ke pejabat saya dalam satu urusan kerja. Dia hanyalah penurut pegawainya kerana ketika itu dia baru saja bekerja. Jadi tugasnya hanyalah sebagai pembantu sahaja. Pertama kali memandangnya, hati saya bergetar. Dia punya aura bila didekati malah selepas selesai pertemuan, saya yang meminta kad dan nombor telefonnya dahulu. Kata orang, tidak salah untuk saya memulakan dahulu. Ternyata, pilihan saya tepat kerana dia memenuhi ciri-ciri lelaki yang saya cari.

Saya sangka episod cinta saya mudah tetapi saya tersilap. Ketika suami (kekasih ketika itu) diperkenalkan kepada keluarga, papa orang yang paling banyak menyoal. Berasal dari mana, kerja apa malah pelbagai pertanyaan lain lancar dari mulut papa. Sejak dia balik, papa menyoal saya dengan pelbagai soalan.


Pendek cerita, demi cinta, saya nikah lari ke sempadan dan itu menambah benci di hati papa. Dia membuang saya kerana katanya saya anak tidak sedar dek untung. Bagi saya, kalau status jadi ukuran, itu masalah papa dan bukan masalah saya kerana saya hanya mencari lelaki yang mencintai saya dengan sepenuh jiwa raganya.

Jujurnya saya bahagia hingga kini dengan suami. Saya pernah keguguran malah pernah sekali melahirkan tetapi anak saya meninggal akibat kompilasi jantung. Saya redha dengan semua ujian takdir. Suami masih baik dan melayan saya dengan baik biarpun rumah tangga kami tidak diserikan dengan anak.


Saya bersyukur tetapi masa yang sama, saya merindui keluarga. Kenapa papa menetapkan aturan kehidupan demi statusnya. Adakah salah untuk kita memilih orang yang bukan sekufu sedangkan di mata Allah itu tiada bezanya.

Ada sesekali saya mencuri telefon kepada mama dan dia melayan dengan baik. Cuma saya yang tiada kekuatan untuk bertemunya lagi di rumah yang pernah saya diami ketika kecil.

Adakah salah cara saya ini? Apa cara terbaik untuk saya memujuk hati papa mengenai perkahwinan ini. Saya rasa sudah terlalu lama ia berlalu dan adakah hati papa masih keras seperti dahulu. Saya sentiasa kuatkan semangat untuk menempuh sebuah kehidupan dengan iringan doa dari keluarga. Apa yang harus saya lakukan? Saya kini hanya mampu menumpang kasih mentua yang sangat baik hati. Apa yang harus saya lakukan dalam hidup ini?  Bantulah saya!

Bagi anda yang ingin ketahui bagaimana untuk berdepan dengan masalah ini, boleh rujuk saranan oleh kaunselor Hajah Maimunah Haji Mingguan menerusi majalah Mingguan Wanita bilangan 1713 (16-22 September 2016) yang sudah ada di pasaran.