Anak meragam atau mengamuk di tempat umum akan buatkan anda malu dan sangat marah. Anak pula akan menangis dan menjerit dengan sekuat hati ditambah dengan aksi berguling-guling tanpa menghiraukan orang di sekeliling.

Apa yang si kecil tahu kemahuan mereka mesti dipenuhi. Akibatnya segelintir ibu bapa memilih beralah dengan anak-anak, yang penting si kecil tidak lagi menjerit.

Hakikatnya, jalan mudah ini salah, jika dibiarkan berterusan akan menjejaskan perkembangan anak secara positif. Sebagai ibu bapa anda harus tahu cara yang betul untuk menangani anak yang sering mengamuk dan meragam.

Walaupun mengamuk adalah satu perkembangan normal tetapi sebagai ibu bapa, kita seharusnya menolong anak mengawal tabiat tersebut.

Panduan hadapi anak mengamuk:

1.    Alih Perhatian Anak

Pernah seorang ibu menangis apabila anaknya mengamuk dan meragam. Melihat ibunya menangis, anak itu bertanya kenapa ibunya menangis. Jawab ibu itu, dia menangis kerana anaknya yang baik meragam. Mendengar jawapan ibunya, anak itu berhenti menangis lalu terus memeluk dan mencium ibunya. Cara ini mungkin boleh dilakukan oleh ibu dalam usaha memujuk anak yang menangis dan meragam selain mengalihkan perhatian mereka dengan sesuatu yang mereka suka.

2.    Jangan Mengikut Kehendak Anak

Kanak-kanak mengamuk kerana mereka tahu cara tersebut mereka akan dapat apa yang diinginkan. Elakkan daripada mengalah dengan kehendak anak dan memenuhi permintaannya yang tidak sepatutnya. Kanak-kanak memang bijak sekali kita mengalah apabila mereka mengamuk, mereka akan tahu kelemahan kita dan akan mengamuk setiap kali keperluan mereka tidak dipenuhi. Jangka masa mengamuk juga akan lebih lama kerana mereka tahu anda akan mengalah akhirnya. Oleh itu cekalkan hati dan tegas dalam membuat keputusan.

3.    Elak Marah Dan Menjerit

Jangan sesekali memarahi si kecil anda kerana ia tidak akan membantu. Terangkan pada mereka kenapa tidak boleh atau tidak dapat melakukan sesuatu. Jika anak mengamuk kerana tidak dapat melakukan sesuatu tugasan atau permainan, cuba beri tugasan atau permainan lebih mudah atau bantu anak untuk mencapai objektifnya. Memberi pelukan dan ciuman kasih sayang juga dapat membantu anak-anak yang meragam.

4.    Biarkan...

Membiarkan anak meragam adalah ubat paling mujarab kerana jika anda memujuk ia akan memberi gambaran bahawa dia akan dapat semua yang dimahukan bila dia meragam. Cuma pastikan anak selamat kerana ada sesetengah kanak-kanak yang bertindak mencederakan diri apabila mengamuk seperti menghantuk kepala ke lantai dan ada juga yang sukar bernafas ketika mengamuk.

5.    Apabila Anak Berhenti Mengamuk

Berbincanglah dengan anak kenapa permintaannya tidak dipenuhi dan kenapa mereka tidak sepatutnya bersikap sedemikian. Tegaskan bahawa dengan mengamuk tidak akan membawa apa-apa kebaikan kepada mereka dan itu satu tingkah laku yang tidak baik.