Air ketuban pecah apabila beg membran yang dipenuhi dengan cecair amnion yang melindungi bayi anda dalam uterus (rahim) koyak. Cecair ini kemudiannya meleleh keluar melalui serviks dan faraj anda.

Sebagai langkah berjaga-jaga, jangan panik jika air ketuban pecah sebelum anda mula sakit bersalin. Apa yang perlu anda lakukan ialah memakai tuala wanita untuk membolehkan anda menakung air ketuban yang keluar sementara waktu.

Seeloknya anda menggunakan tuala wanita bagi membantu anda mengenal pasti warna air ketuban yang keluar. Cecair daripada ketuban yang biasa keluar adalah jernih, berwarna kekuningan dan mungkin bercampur dengan sedikit darah.

Perlu anda tahu bahawa amaun air ketuban yang keluar adalah berbeza antara seorang wanita hamil dengan yang lainnya. Ada yang hanya keluar sedikit dan tidak kurang juga yang keluar bagaikan air paip mengalir. Jangan panik!

Sekiranya air ketuban yang keluar banyak, anda digalakkan menggunakan tuala muka bagi menggantikan tuala wanita. Jika air ketuban yg keluar hanya titisan air, ada baiknya anda lakukan pemeriksaan sendiri dgn teliti. Ini bagi menetukan sama ada cecair yang keluar itu bukannya air kencing.

Apa-apa pun, penting untuk diketahui bahawa jika mendapati ketuban pecah, dapatkan pemeriksaan segera daripada doktor tidak kira pada usia berapa pun kandungan anda. Jika di akhir trimester kehamilan pun, anda perlu segera bertemu doktor walaupun tidak mengalami kontraksi. Sebab sebaik sahaja ketuban pecah, perlindungan terhadap kandungan daripada sebarang risiko jangkitan adalah rendah.

Apa Yang Anda Perlu Buat Selepas Air Ketuban Pecah

1. Pastikan kadar denyutan jantung dan pergerakan bayi diperiksa oleh doktor setiap 24 jam sehingga anda berada dalam fasa proses kelahiran.

2.  Periksa suhu tubuh setiap 4 jam ketika dalam keadaan berjaga bagi memastikan anda demam atau tidak.

3.  Perhatikan sebarang perubahan dalam warna dan bau air ketuban. Warna selain daripada kekuningan adalah petanda terdapatnya jangkitan.

4.  Pastikan pergerakan bayi adalah seperti biasa. Jika anda mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan, demam atau rasa pergerakan bayi berkurangan, dapatkan pemeriksaan doktor secepat mungkin. Jika disahkan terkena jangkitan, anda memerlukan antibiotic intravena dan doctor akan memberi ubat pencetus kontraksi agar anda dapat melahirkan bayi dengan segera.

5.  Jika anda tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan tetapi ketuban telah pecah lebih daripada 24 jam, anda dinasihatkan untuk melahirkan bayi di hospital. Hal ini disebabkan kebimbangan bayi anda mungkin memerlukan akses atau pemindahan segera ke pusat jagaan neonatal.

Haaa... ibu-ibu hamil kena kongsi info ini buat suami, nanti senang kalau berlaku tetiba pada diri sendiri. In shaa Allah suami akan bertindak cepat bawa anda ke hospital. Apa yang penting ibu dan anak selamat! Moga bermanfaat.