Al-Quran bukan sekadar dibaca ketika sukar ataupun senang. Setiap surah yang terkandung di dalamnya perlu dilazimi bermula dari rumah lagi. Ini antara perkongsian istimewa ibu Tahfiz Muda Aqil atau nama penuhnya, Mohamad Aqil Khair Mohd Fairos, 12.

Tahfiz Muda Aqil, salah seorang tokoh muda yang dipilih membacakan 24 surah bersama-sama 24 tokoh lain antaranya Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof Emeretus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali, Ikon Rumah Ngaji, Datuk Rosyam Nor, Qari Junior Harith, Munif Ahmad, PU Amin dan vokalis kumpulan Caliph Bukers, Azmi Saat.

"Sejuk perut ibu yang mengandung" Inilah perumpamaan yang dapat digambarkan pada ibu berwajah lembut yang berjaya mendidik setiap anak-anak dengan jiwa Al-Quran. Beliau dan keluarga ditemui selepas program program Malaysia #QuranHour yang berlangsung di ruang Dewan Solat Utama, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya hari ini.

Kesempatan bertemu Puan Norizah Hj Hashim, ibu pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Kunda yang juga Ikon Rakan Muda Masjid Negeri Perak ini menyingkap ruang ilmu buat ibu-ibu muda yang mahu melatih, melazimi, memahami malah menjiwai al-Quran sebagai satu pegangan hidup di hati anak-anak.

Tip Latih Anak Dekati Al-Quran Dari Ibu Tahfiz Muda Aqil

1.    Amalan Ketika Hamil

Sebaik saja disahkan hamil, Puan Norizah sudah memperdengarkan bacaan ayat-ayat al-Quran kepada bayi sejak dalam kandungan lagi. Setiap bulan, beliau akan memastikan dirinya khatam al-Quran.

2.    Lazimi Al-Quran Di Mana Saja

Ketika di rumah, anak-anak sudah terbiasa dan melazimi ayat-ayat Al Quran. Baik ketika di dalam kenderaan, Aqil sudah terbiasa mendengar alunan bacaan ayat-ayat suci Al Quran daripada syeikh-syeikh terkenal dari pelbagai negara.

3.    Pelihara Makanan Anak-anak

Sejak kecil saya mengharamkan makanan ringan untuk anak-anak. Ketika usia, Aqil 5 tahun dia sudah khatam Al-Quran. Usianya 6 tahun, dia sudah menghafal Al-Quran. Aqil bersekolah di sekolah biasa saja. Jadual membaca Al-Qurannya akan bermula Subuh dan selepas waktu Maghrib.

4.    Latih Agar Kuasai Surah Pilihan

Bagi memantapkan lagi persediaan, ibu ini melatih agar Aqil menguasai surah pilihan antaranya Al Mulk, As-Sajdah. Setiap hari Aqil akan mengikut ayahnya, Mohd Fairos Ashaari ke masjid. Di sana, dia akan belajar Al-Quran dengan ayahnya. Apabila di rumah, tugas mendidik diambil alih oleh ibu. ketika ini, Aqil belum lagi belajar taranum dengan guru dari luar.

5.    Dekati Al-Quran Dalam Bentuk Bercerita

Bukan mudah nak mengajar anak-anak mengaji. Ibu ini menggunakan pendekatan bercerita sepanjang mengajar anak-anak mengaji Al-Quran. Tentang apa yang terkandung di dalamnya. Jika surah berkaitan hari kiamat, akan digambarkan kisah-kisah dan bagaimana kiamat itu.

Bukankah anak-anak ini lebih dekat dengan pendekatan bercerita? Jadi semasa membacanya, anak-anak akan membaca dengan jiwa. Kerana mereka boleh menggambarkannya.

6.    Tak Pernah Marah Anak-anak Masa Mengaji

Ketika mengajar anak-anak mengaji, ibu ini takkan sekali memarahi anak-anak di depan Al-Quran. Dalam Al-Quran itu sendiri ada kisah teladan yang boleh dipelajari. Jika anak-anak dididik dengan keras di depan Al-Quran, jiwanya akan menjadi keras. Mereka akan dapat mengaji.. tapi ianya takkan kekal lama. Kerana ada tekanan dan mereka tak seronok.

7.    Tiada Istilah Formal

Al-Quran di dalam rumah ibu ini disantuni dalam jiwa anak-anak dengan suasana yang cukup santai. Jika perlu berbaring, ibu ini akan berbaring bersama anak-anak. Jika sedang memasak, Al-Quran juga akan dibawa sekali sampai ke dapur. Anak perempuan yang kecil juga sudah menghafal Al-Quran ketika umurnya 6 tahun. Sebelum masuk tidur, dia wajib membaca surah Al Mulk sampai habis. Sebabnya 'bimbang, kuburnya kelak tidak terang'.

Baca Al-Quran Dalam Koma & Selamatkan Ibu Ini Dari Pendarahan

Betapa dekatnya Al-Quran dalam jiwa, Puan Norizah dapat dilihat jelas tanda-tandanya ketika dirinya berada dalam bilik bersalin. ketika itu, mahu melahirkan anak perempuannya yang kini berusia 6 tahun.

Dirinya berada dalam keadaan koma dan alami pendarahan yang banyak. Ternyata kuasa Allah mengatasi batas pemikiran manusia.

Doktor yang mengendalikan kesnya memaklumkan, pendarahan itu menyebabkan dia tak mungkin dapat diselamatkan lagi. Namun bibir Puan Norizah terus membaca ayat suci Al-Quran ketika dalam keadaan koma. Sampailah selesai membaca surah Yasin, pendarahan berhenti dengan sendirinya.

" Inilah antara kebesaranNya yang berlaku dalam diri saya dan betapa besarnya mukjizat Al-Quran yang saya terima".

Nota

Sebelum mengakhiri temu bual, ibu ini memaklumkan Aqil bakal menduduki peperiksaan UPSR tahun ini. Pintanya, mohon agar didoakan anaknya itu dapat menghadapi ujian peperiksaan itu dengan lancar dan dipermudahkanNya.

Via Mingguan Wanita