Kali ini berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya kita menyambut ramadan lari daripada kebiasaan. Tahun ini kita menyambut bulan ramadan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung. Sudah tentu apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Barangkali selama ini, kita hanya fokus kepada kerja semata-mata. Berbeza kali ini kita dapat menyambut dengan cara tersendiri.

Disebabkan masing-masing perlu duduk diam di rumah dan ada setengahnya pula perlu bekerja di rumah maka kita miliki sedikit masa untuk melatih anak-anak. Melatih anak-anak untuk bersiap-sedia menghadapi ramadan tak lama lagi.

Ikuti dan fahami perkongsian Puan Dhuha Rashidi ini :

Begitulah kita. Sebelum mahu menghadapi bulan puasa, macam-macam dosa kesilapan yang telah kita buat. Kalau kita renung-renungkan balik, mudah betul kita ini terpesona dengan sesuatu yang nampak menarik dan seronok.

Tapi, kerana kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang Dia kehendaki, Allah datangkan rasa insaf dan mengambil pengajaran supaya kita tak ulang kesilapan yang lalu.

Dan sebenarnya, kalau pun kita terjebak dengan suasana yang tidak bagus , percayalah itu semua adalah hikmah yang Allah tetapkan untuk kita ambil ibrah.

Ibrah untuk peribadi kita sendiri dan sebagai pengajaran buat masyarakat seluruhnya. Tiadalah Allah tetapkan sesuatu itu sia-sia. Melainkan kealpaan manusia itu sendiri boleh membawa kepada kecelakaan.

IKLAN

Ramadan Bakal Tiba

Lagi pula, sikit hari saja lagi kita akan menjejak ke bulan tarbiah. Mungkin inilah cara Allah hendak ketuk hati kita lagi supaya beringat-ingat tentang kebiasaan yang sudah sekian lama kita amalkan.

Berlebih-lebihan.
Dalam pada kita fahami, Islam itu indahnya dengan kesederhanaan.

Dulu, rutin berpuasa macam biasalah. Kepala otak kita asyik fikir nak sahur, nak berbuka nanti mahu menu apa. Balik kerja mahu singgah bazar beli sedikit juadah berbuka. Kadang sebab nafsu hendak macam-macam terbeli banyak dan tak habis pun. Sudah membazir jadinya.

Belum lagi kira baru nak masuk pertengahan Ramadan, manusia sudah mula serbu bazar raya. Tinjau baju dan kuih muih. Melihat masjid semakin berkurang lapis barisannya. Yang tinggal tua-tua.

Bila tahun ini , kita menghadapi wabak dan terpaksa PKP , banyak hikmah kita dapat. Dekat pula dengan bulan puasa kan. Jadi , banyak latihan boleh kita buat.

Yang mana latihan-latihan ini sebenarnya berguna untuk kita menguatkan rohani kita sendiri. Bukan saja takat puasa malah didikan ini kita terus jernihkan sampai raya.

Ini antara latihan yang boleh kita lakukan untuk menghadapi Ramadan dan menghidupkan suasananya.

1. Latih tidur dan bangun awal. Biasakan dari sekarang. Bagitahu anak-anak isteri suami kita perlu get ready untuk suasana Ramadan.

IKLAN

2. Sudah boleh biasakan diri dengan zikir. Kalau sebelum ni kita terfokus hal-hal kerja , tergosip sana-sini, cuba kawal dan boleh zikir istighfar sampai biasakan di bibir.

3. Mula dating dengan Quran. Carilah kelas Quran online ke. Kelas tadabbur surah ke. Tadarus ke. Lagi eloknya sudah rancang dan agihkan berapa juzuk untuk tadarus satu keluarga.

4. Fokus perkara bermanfaat. Mula hidupkan suasana Ramadan. Kita mahukan pengampunan Allah. Kita buat sama-sama satu keluarga. Ajak anak-anak. Jangan rasa mereka kecil tak perlu turut serta. Biarlah PKP ini menjadi kenangan indah buat mereka walaupun mungkin situasinya penuh ujian dan kesukaran.

5. Lakukan taubat dan tazkiyatun nafsi. Kalau semalam kita resah gelisah. Inilah masanya untuk kita berdoa. Moga Ramadan ini terbuka pintu taubat, pintu hidayah, pintu pengampunan buat kita sekeluarga. Jangan tinggal doa. Istighfar. Taubat. Yakin. Allah Maha Mendengar Maha Pengampun .

6. Rancang jadual Ramadan. Kebanyakan kita duduk di rumah. Buat sama sama jadual Ramadan. Isteri dah boleh tanya suami , nak agihan juzuk dan waktu tadarus masa bila. Pagi nak fokus kerja apa. Tengahari ada apa. Petang aktiviti apa. Malam aktiviti apa. Tidur mesti pukul berapa. Kalau kita tak hairan langsung bab pengurusan masa agaknya setakat mana saja keberhasilan ibadah puasa kita bersama keluarga tahun ini.

IKLAN

7. Latih berjimat. Masa PKP ni masa kita berjimat sangat. Yang bergaji mungkinlah tidak terlalu terkesan. Namun bagi yang kerja sendiri sebenarnya ini bukan masa untuk rungutan. Allah bagi ujian pada kita untuk kita menghadir rasa kebergantungan dengan-Nya. Latih hati kita begitu.

8. Latih puasa lebih awal. Mungkin sudah ramai mula berpuasa bermula Rejab dan Syaaban sama ada sunat atau pun puasa ganti. Seeloknya, latihlah berpuasa sebelum Ramadan tiba untuk biasakan body kita.

9. Latih Ikhlas ibadah kerana Allah. Inilah bulan untuk kita melatih ikhlas. Bulan untuk menghadirkan keikhlasan ibadah semata mata kerana Allah. Kerana keikhlasan ibadah itu sukar maka kita harus kuat menempuh bolak balik hati kita sendiri.

Sahabat ,

Gunakanlah masa yang kita ada dengan perkara bermanfaat. Elakkanlah kita terjerumus dengan perkara mensia-siakan waktu. Kerana waktu itu perkara tinggi dalam agama. Maka peliharalah.

Mudah-mudahan kita terbawa bawa dalam rasa mahu menghidupkan hati dalam bulan puasa ini.

Sumber: Puan Dhuha Rashidi

MW: Semoga ramadan kali dapat memberi lebih makna untuk kita semua. Inilah masanya untuk kita solat berjemaah dan berterawih bersama keluarga. Semoga semua amalan kita diterima-Nya. 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI