Doktor Ini Jelaskan Kesan Jangkitan Covid-19 Terhadap Ibu Hamil & Bayi Yang Dikandung

Pakar Fertiliti Dan Sakit Puan, Pusat Kesuburan Sophea, Dr Salleha Khalid menjelaskan ramai yang bertanyakan soalan apakah kesan jangkitan Covid-19 kepada ibu hamil.

Secara umumnya, ketika seseorang wanita itu hamil, sistem imuniti atau sistem kekuatan badan untuk mengelakkan dari mendapat jangkitan berada pada tahap yang lebih rendah dari wanita lain.

Doktor Ini Jelaskan Kesan Jangkitan Covid-19 Terhadap Ibu Hamil & Bayi Yang Dikandung
Dr Salleha Khalid

Secara teorinya, wanita yang hamil adalah wanita yang terdedah dan senang mendapat jangkitan. Maka adalah lebih baik untuk wanita yang hamil mengambil langkah pencegahan dan berhati- hati agar tidak berada dalam keadaan yang terdedah dan senang mendapat jangkitan.

Namun begitu, buat setakat ini mengikut maklumat yang sedia ada dan pemerhatian yang dijalankan, wanita yang hamil tidak mempunyai risiko yang lebih untuk mendapat jangkitan yang lebih serius dari Covid-19 jika dibandingkan dengan masyarakat sihat yang lain.

Kesannya Kepada Bayi Yang Dikandung.

Ramai juga yang bertanyakan akan kesannya kepada bayi yang dikandung.

Sehingga kini, maklumat menunjukkan jangkitan Covid-19 tidak menyebabkan keguguran, kelahiran awal atau pramatang.

Maklumat yang ada juga menunjukkan tiada bukti yang menunjukkan jangkitan berlaku dari ibu yang hamil kepada bayi di dalam kandungan (vertical transmission).

Namun terdapat juga kes- kes baru yang menunjukkan ada bayi yang dilahirkan dijangkiti virus Covid-19. Walau bagaimanapun, bayi tersebut dilaporkan sihat.

Perlu dinyatakan disini, virus Covid-19 adalah virus yang baru. Masih banyak yang perlu dipelajari dan diperhatikan. Apabila lebih maklumat diperolehi, pasti ia akan memberi input dan mencorakkan bagaimana kes- kes ibu yang dijangkiti Covid-19 dikendalikan.

Simptom Ringan & Sederhana

Sekiranya dijangkiti, kebanyakan wanita hamil yang dijangkiti Covid-19 mempunyai simptom yang ringan dan sederhana.

Simptom yang lebih serius seperti radang paru- paru (pneumonia) di dapati terjadi dengan lebih kerap kepada golongan yang lebih berusia, golongan yang mempunyai sistem imun yang lemah seperti mereka yang menjalani rawatan kemoterapi sebagai contoh, atau mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti sakit paru- paru ataupun jantung.

Sehingga kini tiada sebarang bukti yang menunjukkan wanita yang hamil mempunyai risiko yang lebih untuk mengalami jangkitan yang lebih serius berbanding dengan masyarakat sihat yang lain.

IKLAN

Langkah Yang Perlu Diambil Bagi Mengurangkan Risiko Jangkitan Covid-19.

Seperti masyarakat yang lain, antara langkah yang berkesan perlu diambil oleh ibu yang hamil adalah mengamalkan penjarakkan sosial, kerap membasuhi tangan dan hindari terdedah kepada mereka yang mempunyai simptom yang berkemungkinan mengalami jangkitan Covid-19. Pencegahan adalah langkah yang utama dan berkesan.

Masih Perlu Melakukan Pemeriksaan Antenatal. 

Ibu yang hamil perlu meneruskan pemeriksaan antenatal seperti yang dijadualkan. Pemeriksaan antenatal masih perlu dilakukan secara bersemuka kerana ia melibatkan pemeriksaan ibu seperti tekanan darah, ujian air kencing, ujian darah bagi sesetengah temujanji.

Begitu juga dengan pemantauan kepada pembesaran bayi dengan melakukan pemeriksaan perut dan ultrasound scan.

Kebanyakan klinik dan hospital akan mengambil langkah proaktif dengan mengurangkan dan menganjakkan waktu temujanji yang dibuat pada sesuatu masa.

Ada yang menasihatkan ibu yang hamil untuk tunggu di dalam kereta sehingga tiba waktu berjumpa dengan doktor dan hanya dipanggil masuk ke dalam klinik apabila tiba giliran. Ini adalah bagi mengurangkan kepadatan ruang menunggu pada sesuatu ketika.

Apabila datang ke klinik untuk pemeriksaan, adalah dinasihatkan agar tidak membawa ramai ahli keluarga yang lain. Hanya ibu sahaja yang hadir, ahli keluarga yang lain diminta tunggu di rumah.

Berhubung Dahulu Dengan Klinik Sebelum Pemeriksaan Dilakukan

Sekiranya anda khuatir untuk datang ke klinik atau sekiranya terdapat simptom jangkitan seperti demam dan batuk, adalah dinasihatkan agar berhubung dahulu dengan klinik untuk mengetahui bagaimana pemeriksaan antenatal boleh dilakukan.

Sekiranya perlu dilakukan, apakah langkah yang terbaik untuk melakukan pemeriksaan tersebut.  Sesetengah klinik mempunyai ruang khas untuk menyaring ibu yang disyaki dijangkiti dengan virus Covid-19.

IKLAN

Doktor dan jururawat juga perlu memakai pakaian khas bagi mengelakkan jangkitan berlaku.

Doktor Ini Jelaskan Kesan Jangkitan Covid-19 Terhadap Ibu Hamil & Bayi Yang Dikandung

Ibu Hamil Yang Bekerja.

Ketika waktu perintah kawalan pergerakan berlaku, ramai ibu yang hamil tidak perlu ke tempat kerja. Bekerja dari rumah adalah yang terbaik untuk anda.

Namun begitu sekiranya tidak dapat bekerja dari rumah atau pekerjaan anda melibatkan interaksi dengan orang ramai, anda dinasihatkan untuk berbincang dahulu dengan majikan anda bagi mendapatkan kelonggaran agar anda tidak kehadapan terutamanya melibatkan bertemu atau berjumpa dengan orang ramai.

Di dalam keadaan ini ramai majikan yang akan mempertimbangkan situasi anda sebaiknya. Kebanyakan keadaan ia melibatkan penstrukturan baru di mana wanita yang hamil akan diberikan tugas yang baru dan ditempatkan pada tempat yang melibatkan kurang interaksi secara bersemuka dengan orang ramai.

IKLAN

Anda digalakkan berbincang bersama majikan bagi mendapatkan penyusunan yang terbaik.

Bersalin Ketika Wabak Covid-19.

Kebanyakan hospital akan melakukan saringan jangkitan Covid-19 pada setiap wanita yang hamil sebelum membenarkan mereka masuk ke wad atau dewan bersalin. Simptom jangkitan Covid-19 seperti demam dan batuk akan disaring.

Sesetengah hospital juga akan menjalankan ujian Covid-19 sebagai salah satu ujian yang perlu dilakukan sebelum membenarkan masuk ke dewan bersalin atau ke wad. Ini adalah sebagai langkah berjaga- jaga bagi memastikan risiko jangkitan virus Covid-19 berada pada paras minima.

Suami dibenarkan untuk menemani isteri ketika bersalin. Namun begitu, ketika wabak ini sedang meningkat, sesetengah hospital tidak membenarkan suami untuk masuk bersama ketika isteri bersalin. Ini adalah sebagai langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Anda digalakkan untuk berhubung dengan pihak hospital atau wad bersalin bagi mendapatkan  maklumat yang lebih jelas bagi mengetahui apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan apabila tiba di hospital untuk bersalin.

Ini termasuklah, maklumat mengenai laluan pintu masuk hospital, wad bersalin yang digunakan dan kehadiran suami sekiranya ia dibenarkan. Dengan mengetahui maklumat lebih awal, anda lebih bersedia dan dapat membuat persediaan sebaiknya. Semoga segala urusan dipermudahkan olehNya.

MW: Dr Salleha Khalid merupakan Pakar Fertiliti dan Sakit Puan di Pusat Kesuburan Sophea dan pada masa yang sama turut menulis berkenaan isu kesuburan di www.kernamu.com

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI