Mustajab Doa Mak Ayah Anak Berjaya Dunia akhirat, Jangan Henti Berdoa!

Doa merupakan salah satu jambatan perhubungan kita dengan Yang Maha Esa. Ia menjadi simbol kehambaan dan pengharapan yang tinggi kepada-Nya. Sebagai hamba, tiada satu perkara pun yang mampu kita lakukan tanpa bantuan dan perkenan Allah.

Didikan Anak

Apatah lagi dalam hal mendidik permata hati, ia adalah tanggungjawab yang besar maka kepada Dialah kita seharusnya bergantung harap dan meminta bantuan. Selaku hamba, doa tidak seharusnya berlaku mengikut konteks tertentu bahkan ia seharusnya menjadi umpama perbualan harian kita dengan-Nya.

Ikuti perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhammad, Universiti Sains Islam Malaysia, juga penulis tetap ruangan PERMATA HATI di dalam Majalah Mingguan Wanita.https://www.facebook.com/mingguanwanita/

Tahu Tujuan

Dalam melaksanakan pendidikan buat anak-anak, kita harus tahu apakah target dan tujuan pendidikan ini dilakukan. Ke mana arahnya dan di mana destinasi akhirnya. Ia harus datang daripada amanah dan tanggungjawab serta tujuan manusia itu dijadikan di muka bumi Allah.

Justeru, ia sudah tentu untuk mengembalikan hamba kepada pengakuan Penciptanya, iaitu untuk menjadi hamba dan khalifahnya yang soleh. Jadi inilah yang seharusnya menjadi inti pati utama doa kita sehari-harian. Oleh itu, sudah menjadi kemestian untuk mendoakan anak-anak kita menjadi hamba dan khalifah Allah yang soleh.

Doa Mustajab Mak Ayah, Anak Berjaya Dunia akhirat…Jangan Henti Berdoa!

Perbaiki Diri

Doa ini harus sentiasa diucapkan agar ia dapat membentuk sebuah kerangka khusus dalam minda kita untuk menyediakan sebuah pendidikan yang bakal menyiapkan anak-anak kita ke arahnya.

IKLAN

Bukan itu sahaja, ucapan yang dilakukan acap kali ini akan mempengaruhi tindakan dan tingkah laku kita untuk melakukan perkara tersebut. Misalnya, menyediakan persekitaran yang baik agar potensi fitrahnya dapat dikembangkan.

Berusaha

Ini kerana potensi fitrah ini adalah potensi yang baik dan menghala kepada hakikat kejadian manusia iaitu sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya yang soleh.

Dalam konteks ini, kita juga akan berusaha untuk memperbaiki diri agar dapat menunjukkan contoh yang baik juga buat anak-anak.

Sejajar dengan itu, segala keperluan ke arah menyiapkan anak-anak menjadi anak yang soleh juga akan segera disiapkan seperti keperluan fardu ain iaitu solat, mengaji, menjaga aurat dan sebagainya di samping tuntutan fardu kifayah agar dia juga bersiap untuk menjadi khalifah yang baik.

IKLAN

Kongsi Doa Dengan Anak

Selain daripada itu, doa ini juga harus dikongsikan dengan anak-anak. Biarkan mereka mendengar dengan jelas doa yang kita titipkan buat dirinya. Ini kerana doa yang kita ucapkan tersebut akan membentuk persepsi dalam minda anak-anak tentang diri mereka.

Jika acap kali didengari, persepsi ini akan menjadi kepercayaan dalam minda bawah sedarnya dan mempengaruhi tingkah lakunya ke arah perkara yang diucapkan. Apatah lagi apalagi disokong dengan persekitaran yang seiring sudah pasti matlamat yang disasarkan akan lebih mudah dicapai dengan izin Allah SWT.

Percakapan Adalah Doa

Antara situasi yang sesuai untuk mengungkapkan doa tersebut ialah ketika mereka bersiap untuk tidur, bangun pagi, ketika ke sekolah dan beberapa lagi situasi lain yang difikirkan sesuai. Boleh juga jika ingin memanggilnya dengan jolokan “anak soleh mama” contohnya kerana percakapan juga merupakan doa.

IKLAN

Panggil Anak Dengan Panggilan Baik Juga Doa

Oleh yang demikian, amat penting bagi kita untuk sentiasa mengucapkan perkara yang baik-baik di hadapan anak-anak dan memanggilnya dengan panggilan yang baik-baik kerana semua yang diungkapkan terutama oleh kita penjaga mereka merupakan sesuatu yang serius bagi diri mereka.

Ucapan atau gelaran tersebut akan diingati dan di simpan ke dalam minda bawah sedarnya dan membentuk persepsi tentang diri dan kehidupannya.

Jika sebelum ini kita kerap memanggil anak dengan panggilan yang kurang baik dan melabelnya sebagai nakal, pemalas atau sebagainya maka kita sebenarnya harus menginsafi perkara tersebut dengan beristighfar kerana apa yang dinyatakan ini adalah sesuatu yang bersalahan dengan matlamat mendidik anak-anak kita.

Kasihanilah mereka dengan mewujudkan persekitaran yang terbaik untuk perkembangan diri mereka, yang kini amat bergantung dengan kita dan persekitaran yang kita sediakan. Apa yang ada dalam persekitaran mereka kini bakal membentuk diri mereka kelak. Maka doakanlah dan berkatalah yang baik-baik agar matlamat mendidik anak-anak kita sejajar dengan tujuan penciptaan mereka yang telah pun dinyatakan oleh Allah. wallahualam.

https://www.mingguanwanita.my/enam-hari-dirawat-anak-yatim-piatu-tiada-gajet-al-quran-jadi-peneman/

https://www.mingguanwanita.my/anak-sulung-allahyarham-ustazah-shadiya-abbas-tak-sempat-peluk-cium-mama/

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI