Baru-baru ini saya ke Sekolah Henry Gurney Melaka untuk satu sesi temuramah bersama pelajar ini untuk keluaran khas hari raya majalah Mingguan Wanita. Sebelum ke Melaka, saya ke Cure & Care Rehabilition  Centre di Bachok, Kelantan iaitu penempatan remaja wanita yang terlibat dalam kes-kes dadah.

Persepsi kita, pasti mereka budak-budak remaja nakal yang perlu menghadap hukuman ke atas salah laku yang dilakukan sendiri. Jangan terperanjat  kerana di usia muda belia, ada yang dah biasa pegang duit RM30,000 sehari hasil jualan dadah. Kita yang bekerja ini pun merengkeh nak kumpul duit itu bertahun-tahun dan silap-silap tak ada pun simpanan sebanyak itu. Kawan-kawan jangan cakaplah, merapati seperti semut menghurung gula kerana sikit banyak, ada habuan bila dibelanja.

Tekun mendengar cerita mereka, membuka minda dan hati saya bahawa bukan semua gadis remaja bersalah tetapi SALAH itu datangnya juga dari mak ayah juga yang suka membebel mencari salah anak. Kadang-kala ada mak ayah yang "rmulut lepas" tanpa sedar itu DOA kepada anak-anak mereka.

Antara ayat-ayat biasa singgah di pendengaran remaja ini, “kau dengan bapak ko sama saja. Dah dasar penagih dadah, pasti tak hisap, baunya tetap ada.

“Bapak pemalas, anak pun pemalas, sama je kau dengan bapak kau.

“Kau inikan, berapa kali aku cakap, jangan balik lewat, kenapalah degil nak mampus dan macam-macam ayat lagi.

Bunyinya macam mak ayah seperti betulkan kerana tahu anak  memang buat silap tetapi niat mereka sudah serong kerana tidak memasang niat dan bermohon kepada Allah, agar apa yang aku tegur ini bakal memberikan kesan mendalam pada jiwa anak. Tahukah mak ayah, bila mendengar cerita-cerita mereka ini punca mereka jadi semua itu adalah kerana bosan mendengar bebelan yang keluar dari mulut kita. Maknanya, bagi anak-anak,  membebel ini sebenarnya lebih merosakkan jiwa remaja  yang sudah sedia  rosak kerana pengaruh kawan-kawannnya.

Selalukan kita mendengar cerita dari mak ayah tentang sikap anak-anak terutama yang susah mendengar kata. Sakit benar hati kita bila anak degil tak dengar cakap. Keluar malam, berkawan dengan kawan-kawan yang kita pun tak kenal asal usulnya. Kena pula anak suka merempit, ada paling teruk mencuri sampaikan ada orang datang ke rumah beritahu macam-macam tentang perangai anak.

Bila anak balik, mulut kita akan  “terbuka” nak bambu anak. Kita anggap anak salah. Anak mesti dengar kata sebab  kita yang lahirkan dia, besarkan dirinya, berikan pelajaran dan kita selalu mengharapkan anak habis sekolah bagi yang sudah malas nak sekolah sebab kita fikir, ada PT3 atau SPM pun cukup untuk  masa depannya. Kita selalu nak anak berjaya dalam hidup sebab kita tahu pekerjaan dan kewangan adalah benda yang boleh menjamin masa depannya. Memang itulah impian kebanyakan mak ayah sejak dulu sampai sekarang. Tak pernah berubah biarpun zaman terus berubah.

Kita akan selalu hendak mengawal anak-anak kerana kita fikir dan tahu apa yang terbaik untuk dirinya. Betulkan? Bohonglah kalau ada yang menidakkannya kerana saya juga sama sebelum ini. Bila anak sulung saya balik lambat, saya risau, saya tanya, saya soal seperti polis menyoal. Hasilnya, anak kejap saja tak keluar tetapi bila kita ke tempat kerja, dia keluar juga dan kita pun soal lagi dan terus lagi.  Akhirnya selepas mengkaji sikapnya dan tahu apa kelemahannya, saya ubah diri saya. Saya letak kedudukan “rendah” sedikit dari anak. Bukan bermakna saya kalah tetapi hasilnya anak memang berubah 100 peratus dan saya tahu apa dia lakukan berbanding sebelum ini.

Sesetengah mak ayah, saya rumuskan selepas mendengar cerita remaja-remaja ini sengaja  nak tunjuk kuat dengan anak biarpun dari segi tenaga kita memang kuat dari mereka  tetapi kita akan semakin tua dan anak semakin membesar. Tetapi kesan cara kita didiknya dengan kata-kata kasar, mulut yang jarang mendoakan kebaikan anak sebaliknya sering melontarkan kata-kata kesat akan terus melekat macam gam di mindanya dan susah hendak dicuci lagi. Sebab itulah anak terus degil dan degil sampai kita tak larat nak cakap lagi menegur hal yang sama. Ada juga kes anak-anak dibelasah kerana degil. Lebih menakutkan, ada mulut-mulut mak ayah yang selalu mencaci maki anak tanpa sedar  doa mengajak anak ke neraka semakin terbuka luas!

Bila selesai membebel, nasihat, tegur dan sebagainya, kita anggap urusan kita sebagai mak ayah sudah habis. Betulkan? Tapi pernah tak kita terfikir, segala kata-kata itu sudah menjadi sebati dalam diri mereka dan mereka malas untuk mendengarnya lagi. Kadang dalam keadaan marah, kita cakap macam-macam, halau anak dan sebagainya tanpa kita sedar jiwa mereka sudah terluka seratus peratus. Sebab itulah mereka lebih percayakan rakan sebaya yang  tak pernah membantah sebaliknya selalu memberi sokongan 100 peratus kepada apa saja aktiviti yang mereka buat biarpun aktiviti itu salah di mata kita sebagai mak ayah tetapi betul di jiwa mereka sebagai remaja.

Kalau tadi kita fikir kitalah mak ayah yang betul di dunia ini tetapi bila berbual dengan remaja-remaja ini lagi, saya tahu mereka menyalahkan mak ayah mereka seratus peratus dalam hal ini. “Saya tak tahan mak ayah bebel. Balik lambat kena marah, buat itu salah, buat ini salah, habis apa yang betul dan sebab itu saya lebih suka duduk di luar dari balik rumah,”kata mereka.

Apa yang dapat saya pelajari lagi bila berbual dengan anak-anak remaja ini dan bila mendengar mereka bercerita dengan ayah, lelaki hanya tahu “buat anak sahaja” (biarpun bukan semua). Maaf kalau bahasa ini agak kasar kerana ada di kalangan bapa-bapa kepada remaja ini sebenarnya penagih dadah, pengedar dan sering meninggalkan anak isteri tanpa memberi bimbingan agama dan nafkah dengan sempurna.

Memanglah isteri boleh beranak tetapi jangan diserah semua tanggungjawab menjaga dan mendidik itu kepada isteri semata-mata. Yang dapat sedapnya lelaki tetapi yang tanggungnya sampai anak besar sebelum kahwin isteri seorang. Sebab itulah jangan terperanjat bila ada di kalangan remaja ini memberitahu ayah saya duduk serumah dengan perempuan lain, mak  pula pilih jantan lain bila ayah tak ada di rumah. Sudahnya jadilah keluarga tonggang terbalik dan anak-anak yang mula meniti usia remaja lebih suka mendengar kata-kata kawan-kawannya dari cakap mak ayahnya.

Apa yang anda dan saya dapat pelajari dalam hal ini? Saya pandang mereka seperti saya memandang anak-anak saya yang mulai tumbuh seperti remaja dan ada yang sudah remaja pun. Buat mak ayah, tolong jaga mulut baik-baik dan jangan lancang. Kahwin ini bukan untuk sedap semata-mata tetapi kemudian lari dari tanggungjawab. Kalau tak nak sama-sama terseret ke neraka, anda, saya dan semuanya, muhasabahlah diri masing-masing. Kalau ada salah, cepat-cepat minta ampun pada Allah. Kepada anak-anak jangan malu nak minta maaf sebab kita salah mendidik  mereka. Anak akan menjadi acuan yang betul kalau mak ayahnya tunjuki jalan yang betul! Sampai jumpa lagi!