Setiap manusia ini ada ujian yang tersendiri. Allah memberikan setiap ujian itu pada hambaNya yang mampu untuk menanggungnya. Diuji dengan penyakit, kekayaan dan sebagainya. 

 

Namun diuji dengan penyakit ditanggung oleh diri adalah satu ujian yang berat. Jika tiada kekentalan dan minda yang positif ia boleh memudaratkan diri sendiri. Tugas sebagai wartawan membawa kita bertemu dengan ramai orang. Beberapa minggu lepas dipertemukan dengan insan yang cukup kental dan positif. 

 

Walaupun sebenarnya dia menanggung penyakit yang sangat ditakuti ramai orang kini, namun jika tidak diberikan ia mengidap penyakit itu, pastinya mata kasar tidak dapat menangkap apa yang bersarang dalam dirinya. Senyuman yang sentiasa terukir di bibir, semangat menguruskan perniagaan langsung tidak menampakkan si dia sedang derita. 

 

Tutur kata yang sentiasa positif rupanya itulah kunci ‘ubat’ untuk dirinya. Apabila berbicara dengannya, ayat yang diberikan dia tidak suka menghitung hari dan istilah itu langsung tiada dalam mindanya. Selagi hayat dikandung badan berikan keadilan kepada diri untuk bahagia. Noktahnya...

 

Petua Tenangkan Hati 

 

1. Amalkan tasbih, tahmid dan takbir 

Inilah petua yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. kepada anaknya Siti Fatimah.

 

2. Berdoa 

Mohonlah kepada Allah s.w.t. Ingatlah, doa adalah senjata bagi orang mukmin.

 

3. Sibukkan Diri dengan Sesuatu

Lakukan aktiviti yang boleh melupakan segala kekusutan seperti perbanyakan membaca Al-Quran dan pelbagai bahan bacaan. Libatkan diri dengan aktiviti usrah, kemasyarakatan dan sebagainya.

 

4. Luahkan Perasaan

Bermacam cara boleh digunakan untuk meluahkan perasaan. Carilah seseorang yang paling anda percaya, menulis diari atau catatan harian dan sebagainya.

 

5. Senyum

Apabila berada dalam tekanan, cubalah untuk senyum. Senyumlah di hadapan cermin dan lihatlah diri anda yang sedang tersenyum. Ia mampu menenangkan fikiran dan hati.

 

6. Solat Sunat Tahajjud

Bangunlah melakukan solat malam iaitu solat sunat Tahajjud. Tujuan solat Tahajjud adalah untuk menguatkan jiwa dan mendapatkan ketenangan dalam menghadapi dugaan hidup. Amalan ini adalah antara amalan yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah dan para sahabat.