Bulan Disember paling ditunggu-tunggu terutama buat pelajar-pelajar sekolah. Mana tidaknya, cuti sekolah yang panjang sudah tentu mahu diisi dengan pelbagai aktiviti menarik bersama keluarga tercinta. Anak-anak saya walaupun yang sulung (kembar) baru berusia 8 tahun dan adiknya 6 tahun tapi masing-masing sudah bijak bertanya ke mana destinasi percutian yang akan dikunjungi.

Bila ditanya soalan itu, saya dan suami saling berpandangan. Sebabnya kami belum ada apa-apa rancangan bercuti melainkan pulang ke kampung kerana menghadiri majlis kenduri kahwin. Paling penting tak lama lagi si adik akan memasuki darjah 1 dan pada 17 Disember ini akan menghadapi ujian saringan Tahun 1 yang akan menentukan kelas. Jadi selagi peperiksaan ini belum berakhir kami terpaksa tangguhkan sebarang percutian.

Cuma cuti umum isnin dan selasa lalu, saya dan suami bawa juga mereka berhibur dan menonton wayang. Pilihan mereka sudah pasti cerita, 'Upin Ipin Jeng Jeng Jeng' dan 'Moanna'. Memang ceria habis sampaikan dalam kereta masing-masing bercerita tentang filem yang mereka tonton.

Memandangkan perbelanjaan pun sekarang ni semakin meningkat dengan kemelesetan ekonomi jadi kemungkinan besar kami tidak bercuti di mana-mana destinasi percutian. Cuma pendekatan kami membawa anak-anak bersiar-siar di kawasan berdekatan tempat tinggal kami saja. Maklumlah tidak lama lagi sesi persekolahan akan bermula. Sekarang ni kami sedang buat persiapan sekolah pula.

Jadi kali ini nak kongsikan sedikit tip mengurangkan kos perbelanjaan persekolahan anak yang bakal naik sekolah yang turut menjadi panduan saya sewaktu berbelanja.  

1. Senarai Pendekan Keperluan Yang Wajib Dibeli
Barangan yang tersenarai dalam keperluan masuk alam persekolahan adalah seperti baju sekolah, beg sekolah, baju sukan, buku-buku tulis, buku aktiviti dan latihan, kasut sekolah, stoking, tudung, skaf dan juga alat tulis.

2. Pakaian Sekolah
Jika anak baru menginjak tahun 1 atau tingkatan 1, baju sekolah dan baju sukan memang wajib beli baru. Tetapi jika anak kita masuk tahun dua, perhatikan kain/seluar sekolah mereka jika masih elok dan tidak singkat  kita boleh gunakan semula untuk tahun baru persekolahan.

3. Buku tulis
Buku tulis pula biasanya yang disenaraikan pihak sekolah mungkin untuk kegunaan setahun, kerana terlalu banyak. Beli dulu sekadarnya, andai tidak mencukupi, beli kemudian hari. Begitu juga dengan keperluan lain, jika boleh diguna semula, guna semula.

4. Beli Barangan Lebih Awal
Ramai yag menyarakan saya membeli belah kelengkapan sekolah bermula awal November. Anda juga boleh putuskan keperluan yang boleh dibeli untuk bajet gaji Oktober, November dan Disember. Contohnya anda boleh beli kasut dan beg sekolah gaji bulan Oktober, baju sekolah, stokin, tracksuit gaji bulan November, dan buku-buku serta alat tulis di beli pada gaji bulan Disember. Jadi tidaklah terlalu terbeban.