Terkejut takut menjadi satu rasa, kaki dan suara bagaikan tidak berfungsi. Otak tidak henti memikirkan bagaimana diri ini boleh terlibat dalam kemalangan. Lima tahun memandu tidak pernah lagi anda berada dalam situasi mengejutkan deria. Lebih malang aku langgar kereta orang. Kejadian sudah berlaku di depan mata mahu tidak mahu aku perlu menghadapi kejadian itu dengan emosi yang stabil dan otak berfikir tangkas.

 

Pernahkah anda terlibat dalam kemalangan jalan raya. Macam mana perasaan anda ketika itu, hanya Allah sahaja yang tahu betapa berdebar dan takut. Kaki mengigil, terasa seluruh aliran darah terhenti seketika. Itulah yang saya rasa, beberapa minggu yang lepas apabila melanggar kereta orang dari belakang ketika berada di persimpangan bulatan.

 

Tidak ada kemalangan jiwa atau kecederaan. Hanya kereta menanggung kesan kemalangan itu. Syukur, sehingga ke hari ini saya tidak pernah berhenti mengucap syukur pada Ilahi apabila mangsa kemalangan itu adalah seorang wanita yang baik hati. Dia amat memahami situasi saya ketika itu, kami berpelukan dan kemaafan saya diterima dengan baik sekali.

 

Tidak terhenti di situ sahaja, masih banyak perkara yang harus anda hadapi selepas itu. Perasaan anda ketika harus diletak tepi, anda perlu bertindak cepat agar urusan kemalangan itu dapat diselesaikan secepat mungkin dan jangan biarkan kemalangan itu menganggu pengguna jalan raya yang lain.

 

Di kesempatan ini saya mahu kongsikan beberapa panduan apabila berhadapan situasi kemalangan jalan raya.  Semoga ia bermanfaat untuk anda.

 

1. Minta pihak terlibat untuk bergerak ke tempat yang lebih selamat atau tempat yang tidak mengganggu aliran jalan raya.

 

2. Sebelum kereta anda ke tempat lebih selamat, jika keadaan mengizinkan ambil gambar lokasi kejadian dan kereta yang terlibat. Kenal jalan tempat anda terlibat, ia untuk memudahkan anda membuat report polis.

 

3. Berkenalan ringkas pihak terlibat dalam kemalangan. Tahu namanya, ambil nombor telefonnya dan tahu tempat tinggalnya.

 

4. Laporkan kejadian kemalangan itu kepada syarikat insurans, dan minta lokasi terdekat untuk anda membawa kereta ke bengkel yang terdapat dalam senarai insurans. Pihak insurans akan meminta nombor polisi atau sijil. Jika anda tidak dapat memberitahu mereka di waktu itu, pastikan anda mendapatkannya kemudian.

 

5. Untuk memudahkan urusan insurans pastikan anda meletak salinan polisi atau sijil insurans dalam kereta. Anda tidak perlu lagi pulang ke rumah mencari maklumat yang disimpan di rumah.

 

6. Minta kerjasama pihak terlibat dalam kemalangan jalan raya, agar maklumat yang akan disampaikan semasa membuat report polis itu sama. Ia untuk memudahkan urusan tuntutan insurans kemudian hari.

 

7. Buat laporan polis dalam masa 24 jam selepas berlakunya kemalangan jalan raya. Minta salinan laporan yang dibuat untuk rujukan pihak insurans.

 

8. Bergantung  kepada keparahan kemalangan, anda mungkin perlu hantar kereta ke bengkel panel yang diiktiraf oleh syarikat insurans anda. Jika anda tak hantar kereta ke bengkel yang diiktiraf, anda mungkin tak dapat tuntut kerugian kemalangan dari penginsurans anda.

 

9. Pihak bengkel akan uruskan segala tuntutan dengan maklumat dan salinan yang perlu anda sediakan. Antaranya laporan polis, salinan polisi insurans, salinan kad pengenalan dan salinan lesen memandu anda. Jika anda yang bersalah melanggar kereta orang pihak terlibat turut akan membuat tuntutan berasaskan polisi insurans yang anda ambil.

 

10. Pastikan juga polisi insurans yang diambil turut terdapat nama anda sebagai orang kedua pemegang polisi insurans. Jika tidak anda perlu membayar lebih kurang RM400 untuk membolehkan polisi insurans milik suami anda itu diluluskan.

 

Tenang dan berfikir dengan bijak untuk berhadapan dengan situasi ini. Minta kerjasama suami jika anda tidak mampu berbuat apa-apa. Jika jauh daripada suami terus call pihak insurans, pihaknya akan membantu anda bertindak menyelesaikan masalah yang dihadapi.