Bulan pertama tahun baru akan berakhir... tentu macam-macam perkara yang kita lalui terutamanya ibu bapa. Lebih-lebih lagi ibu bapa yang pertama kali menghantar anak ke sekolah. Boleh menarik nafas lega sebab anak-anak sudah jalani persekolahan dengan seperti sedia kala. Tiada lagi tangisan atau yang langsung tak nak ke sekolah.

 

Bukan kisah pertama kali anak ke sekolah yang ingin saya ceritakan. Tetapi ia berkisar tentang anak juga. Tentang anak yang didera pengasuh, ditinggalkan ibu bapa dan tidak kurang terlepas pandang hingga hilang daripada pandangan mata semasa membeli belah.

 

Walaupun bukan saya yang alami tetapi saya boleh rasakan bagaimana perasaan ibu apabila anak yang dipimpin boleh hilang dalam sekelip mata. Bapa? Sudah tentu ada perasaan yang sama. Cuma tidak ditunjukkan. Jika dua-dua menggelabah dan tidak tenang, semakin hura haralah.

 

Ini juga terjadi pada suami, saya boleh rasakan debaran yang ada pada dirinya. Ketika itu, saya, suami dan tiga orang anak ke pusat membeli belah. Biasalah, anak nombor dua nie lain sikit, ligat dan bijak. Semasa saya ingin ke tandas, saya serahkan pada suami untuk menunggu di luar pintu masuk ke tandas.

 

Entah bagaimana, anak nombor dua ikut saya ke tandas, katanya ingin membuang air kecil. Saya ingatkan ayahnya sudah mengetahui. Boleh dikatakan agak lama juga saya dalam tandas tersebut sebab uruskan dia sekali.

 

Apabila saya keluar, saya nampak dari jauh, suami saya bersama seorang pegawai keselamatan menuju ke tempat yang dia menunggu bersama anak. Dua lagi anak saya, ada di dalam sebuah kedai yang dijaga oleh tukang kedai tersebut.

 

Sebaik sahaja, suami melihat saya bersama anak nombor dua, boleh saya bayangkan perasaan leganya yang tidak dapat diluahkan. Rupa-rupanya, suami tidak perasan anak saya berlari mengekori saya untuk ke tandas juga dan menyedari anaknya hilang, terus dia melaporkan pada pegawai keselamatan. Sebaik kejadian itu, terus kami pulang, hilang mood untuk membeli belah.

 

Moga kita semua dijauhkan dari semua ini. Peringatan untuk semua dan juga diri sendiri, jangan sesekali leka menilik barang sehingga anak entah ke mana-mana. Jika berlari-lari di kawasan sekitar dan masih boleh dikawal, tidak mengapa. Nanti saya kongsikan cerita bagaimana seorang anak menangis mencari ibu bapanya di pasar raya. Bila saya bawakan anak itu pada ibu bapanya, boleh mereka hanya meleteri anak dia kembali. Jumpa lagi...

 

Tip Pastikan Anak Selamat Semasa Di Pusat Membeli Belah

 

1. Letakkan anak dalam troli barang (anak yang masih kecil), sekurangnya kita nampak apa yang dia lakukan dan cara terbaik untuk mereka tidak berlari tanpa arah tuju. Untuk anak yang besar sedikit, sentiasa pimpin tangan mereka.

 

2. Pastikan anak-anak memakai baju yang mudah dikenali.

 

3. Ajar anak-anak supaya tidak mengikuti orang yang tidak dikenali.

 

4. Ketika berjalan, pastikan anak-anak berada di hadapan. Jangan biarkan anak berjalan di belakang.

 

5. Sentiasa memantau pergerakan anak-anak anda. Ini bagi memastikan mereka berada dalam zon yang selamat.