Seronoknya melihat ibu bapa mengepos gambar anak masing-masing ke sekolah di Facebook. Pelbagai ragam dapat dilihat sama ada di pihak ibu bapa atau anak-anak. Ini minggu pertama sesi persekolan untuk tahun 2017. Ada sesetengah tempat seperti di Terengganu dan Kelantan, sesi persekolahan telah diuji dengan kejadian banjir sehingga mereka tidak dapat memulakan sesi persekolahan.

 

Melihat gelagat anak-anak, ada yang gembira dan ada juga yang menangis, teringat pula memori ketika baru memasuki alam persekolahan beberapa puluh tahun yang lalu. Alhamdulillah tiada masalah buat aku untuk ke sekolah malah aku pergi seorang diri tanpa ditemani emak. Maklumlah, sekolah di hadapan rumah sahaja. Perasaan teruja kerana dapat berjumpa dengan kawan-kawan serta berpakaian baru, membuatkan hari persekolahan begitu menyeronokkan.

 

Kini, giliran anak-anak saudara pula memasuki alam persekolahan. Mereka juga hebat kerana langsung tidak menangis. Apa yang aku perasan, sebenarnya ibu bapa yang terlebih berdebar apabila menghantar anak-anak ke sekolah terutamanya mereka yang baru kali pertama berpengalaman menempuhi keadaan tersebut. Apapun, moga-moga generasi yang baru menempuh alam persekolahan ini menjadi generasi yang berguna untuk agama, bangsa dan negara.

 

5 Tip Hantar Anak Ke Sekolah

 

1. Siapa yang paling rapat dengan si anak? Jika ibu, jangan biarkan ibu yang menghantar ke sekolah. Sebaliknya si ayah yang perlu menghantar ke sekolah pada hari hari terawal persekolahan. Ini bagi mengelakkan anak berat hati dan rasa sedih untuk meninggalkan orang yang paling mereka rapat.

 

2. Sewaktu di dalam perjalanan ke sekolah, elakkan memberi nasihat kepada anak dengan menyebut "jangan nangis....jangan nangis" . Fikiran mereka tidak akan merekodkan perkataan " jangan" tetapi apa yang akan diingati ialah "nangis". Seeloknya gunakan perkataan yang lebih positif seperti " nanti mesti ramai kawan-kawan abang dekat sekolah, mesti cikgu dan kawan kawan suka dengan abang ".

 

3. Apabila sampai ke sekolah dan anak-anak sudah mula masuk ke barisan atau kelas, cepat-cepat beredar dan cuba hilangkan diri dari pandangan mata anak-anak tanpa perlu melambai atau mengucap “bye-bye”. Apabila si ibu/ bapa melambai dn mengucap “bye-bye”, ia akan menimbulkan perasaan “ditinggalkan” di dalam hati si anak dan akan membuatkan mereka berasa sedih. Si ibu/bapa hanya perlu perhatikan anak-anak dari jauh buat seketika (tanpa dilihat anak) sebelum benar-benar meninggalkan anak di sekolah.

 

4. Jika nampak si anak seperti mahu menangis, jangan pujuk, biarkan sahaja dan terus beredar. Pada kebiasaannya, jika si anak benar-benar menangis, mereka akan menangis sekitar 2-3 minit sahaja, paling lama pun mereka akan menangis adalah dalam 10 minit. Selepas itu mereka akan mula belajar menerima kenyataan. Tambahan lagi, guru-guru lebih mudah untuk menangani anak-anak yang menangis tanpa kehadiran ibu bapa. Kehadiran ibu-bapa yang melihat anak menangis hanya akan menyebabkan pihak guru semakin sukar untuk menangani situasi tersebut.

 

5. Si anak akan terus menangis jika ibu/bapa cuba memujuk dan terus berada di sisinya. Si ibu & bapa juga perlu belajar dan terima kenyataan untuk “melepaskan” dan memberikan peluang dan ruang kepada si anak-anak untuk belajar berdikari dan menempuh situasi yang mungkin sedikit sukar dalam hidup mereka. Ia sama seperti ketika mengajar mereka berjalan sewaktu bayi dahulu, adakah si ibu/bapa akan mendokong sahaja anaknya sepanjang masa kerana “kasihan” dan tidak mahu anaknya terjatuh ketika belajar berjalan?