Bercerita pasal bercuti, sudah pasti saya akan teringat beberapa percutian yang telah dilalui. Ada dua cara saya bercuti. Cara pertama adalah pergi bersama rakan baik dan bercuti ala-ala backpackers. Dan cara kedua adalah bercuti mengikuti pakej agensi pelancongan. Kedua-duanya memberikan keseronokan yang sama hebatnya.

 

Bercuti ala-ala backpackers seronok dan mencabar. Bukannya apa. Sebelum pergi bercuti, persediaan yang dibuat memang banyak. Perlu mencari tiket penerbangan yang paling murah, tempat penginapan yang berdekatan dengan pengangkutan awam, kedai makan halal, lokasi menarik untuk dilawati dan banyak lagi.

 

Cara percutian ini memang seronok. Bukannya apa, masa dan tempat yang ingin dilawati kita aturkan sendiri. Tidak perlu ikut masa yang telah ditetapkan. Kalau rasa letih, boleh ubah. Semua itu dalam tangan. Paling seronok kita dapat menjelajah Negara orang tanpa sebarang halangan. Malah kita juga dapat bercakap dengan orang tempatan. Perbezaan bahasa bukan halangan asalkan kita tahu untuk memberitahu apa yang kita mahu.

 

Berjalan sendiri menggunakan perkhidmatan awam memang seronok kerana dapat melihat sendiri cara hidup masyarakat tempatan. Saya masih ingat lagi sewaktu saya dan rakan, Khairunisa bercuti di Jeju, Korea Selatan kami menaiki bas dan teksi untuk  melawat destinasi menarik di sana.

 

Waktu perjalanan bas mereka memang mengikut masa. Bagi kami yang tidak pandai berbahasa Korea dan mereka yang tidak pandai berbahasa Inggeris, hanya bahasa isyarat dan menunjukkan tiket dan nama tempat yang hendak pergi adalah cara terbaik.

 

Sebelum menaiki bas, kami menunjukkan destinasi yang kami hendak pergi. Pemandu bas mengangguk tanda mengerti. Perjalanan mengambil masa agak lama sebab itu bas awam. Dia akan mengambil dan menurunkan penumpang di setiap stesen yang telah ditetapkan.

 

Sepanjang perjalanan, kami melihat mereka yang naik adalah orang tempatan. Hanya kami berdua sahaja pelancong asing. Sudah pasti sesekali mata mereka melihat kami tanda kehairan. Kami hanya mampu senyum sahaja.

 

Bas yang dinaiki agak canggih kerana setiap kali tiba di perhentian bas, akan tertulis nama lokasi tempat itu di papan elektronik dalam bas. Mata kami sentiasa tertumpu ke papan elektronik itu kerana tidak mahu terlepas.

 

Sebenarnya kami tidak perlu risau terlepas tempat yang akan kami turun. Sebabnya apabila tiba ke perhentian kami, pemandu bas itu terus menjerit nama tempat itu dengan kuatnya. Berkali-kali dia menjerit memberitahu. Pada mulanya kami hairan kenapa dia menjerit sebab sebelum ini dia tidak pernah menjerit sebegitu.

 

Rupa-rupanya itulah cara dia memberitahu kami berdua bahawa itulah perhentian yang kami sepatutnya turun. Tersenyum sipu kami turun daripada bas itu. Walau malu kami memang berterima kasih dengan pemandu bas itu. Jika dia tidak menjerit sudah pasti kami tidak tahu di mana hendak berhenti.

 

Kalau mengikuti lawatan yang telah diatur oleh agensi pelancongan memang senang. Bayar sahaja dan ikut apa sahaja aktiviti yang telah dirancang. Tidak payah pikir hendak beli tiket, hendak makan apa dan tidur mana. Semuanya telah disediakan. Apa yang perlu anda bawa hanya duit untuk membeli cenderamata.

 

Walaupun aktiviti telah diatur tidak bermakna kita hanya ikut sahaja apa. Kita juga boleh menjelajah sendiri kerana mereka tetap memberikan sedikit masa untuk ‘free time’. Masa yang diberikan tidaklah sebebas kita bercuti ala-ala backpackers tetapi cukuplah untuk bergambar atau berjalan bebas.

 

Kadangkala bercuti dengan agensi pelancongan ini, ada juga seronoknya terutama jika pemandu pelancong membawa kita ke destinasi yang tidak dirancang dan tidak ada dalam itenari. Asalkan tempat itu berada dalam laluan perjalanan, segalanya boleh.

 

Saya masih ingat lagi sewaktu bercuti ke Morocco, kami dapat merasa sendiri makan epal segar dari ladang kerana pemandu pelancong tempatan dan pemandu pelancong dari Bestour Travel Malaysia mengambil keputusan untuk berhenti ke sebuah ladang epal di tepi jalan. Ladang epal itu kecil tetapi bagi kami dari Malaysia yang tidak pernah pergi ke ladang epal itu sudah cukup. Teruja melihat buah epal bergantungan di pokok.

 

Begitu juga sewaktu bercuti ke Bosnia dan Croatia baru-baru ini. Dalam itenari tidak ada aktiviti menaiki bot mengelilingi sebuah kota di Dubronik. Tetapi pemandu pelancong dari Relax Tours Bosnia dan Redha Travel and Tour di Malaysia menunaikan impian kami. Hanya kami perlu keluarkan duit sedikit untuk membayar sewa bot. Tidak kisahlah kena bayar asalkan dapat naik bot. Sungguhpun cuaca sejuk dan hujan turun, kami sanggup duduk dalam bot menikmati pemandangan yang menarik. Memang puas tidak terkata.

 

Saya rasa cukuplah pengalaman bercuti saya kongsikan bersama anda semua. Bagaimana pula pengalaman bercuti anda? Ada tak? Jika ada apa kata kongsi bersama saya dan pembaca Mingguan Wanita di dalam majalah kami. Cerita anda ini akan kami keluarkan dalam ruangan Kembara.

 

Anda boleh menghantarnya ke alamat emel julie.roshana@karangkraf.com.my .