Sebulan lalu, saya diuji dengan satu perkara yang tidak pernah saya terfikir akan berlaku. Tetapi sebelum diuji itu, saya sering terasa sakit setiap kali ianya disentuh, terlanggar dan sebagainya.

 

Saya tanyakan kepada rakan yang bekerja di hospital “kenapa payudara saya sakit” seperti mencucuk-cucuk rasanya. Katanya barangkali saya mahu datang haid. Saya juga fikir logik kerana hal itu biasa berlaku sesebelum ini. Habis datang bulan, payudara saya sakit lagi setiap kali tersentuh.

 

Akhirnya dari sebuah pertanyaan, saya mulai curiga. Saya buat pemeriksaan doktor di klinik dan dari ultrasound, doktor terlihat ada ketulan hampir 1 cm. Saya mulai terkesan dan saya mulai terbayang akan penyakit pembunuh nombor satu bagi wanita iaitu kanser payudara.

 

Sepanjang menjadi wartawan, saya biasa menemuramah pesakit kanser, ada di tahap kritikal, ada masih baru, ada sudah sembuh dan banyak berkongsi akan kesakitan yang mereka alami. Malah saya pernah diberi peluang oleh seorang pesakit kanser payudara (sudah pun meninggal dunia) melihat kedua-dua belah payudaranya yang telah dipotong dan ketika kedatangan saya, lukanya itu masih belum sembuh dan kelihatan berair. Dia akui sakit kerana air lelahan bisa masih ada.

 

Seakan-akan nanah pada pandangan mata saya. Saya yang memandang juga nampak kesakitannya biarpun syaa tiada penyakit itu. Selang beberapa bulan, makcik itu meninggal dunia kerana kansernya begitu cepat merebak dan hanya al Fatihah saya mampu bacakan untuk arwah.

 

Jadi bila hal yang sama berlaku perubahan pada payudara saya, saya mulai terkesan. Benarlah kata orang, kalau tidak terjadi kepada diri sendiri, kita tidak akan tahu bagaimana kesakitan orang lain dan bila berlaku kepada saya, saya mulai tahu kesakitan yang pernah dialami oleh mereka yang pernah melaluinya.

 

Bimbang bercampur takut, saya buat ujian mammogram di sebuah hospital swasta. Alhamdulillah, tiada sel kanser dikesan di situ tetapi saya mendapatkan pandangan kedua dan saya menuju ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

 

Saya ditemukan dengan pakar perubatan bahagian payudara iaitu Dr See. Perawakannya ramah dan dia mengakui ada ketulan di payudara saya lalu meminta saya membuat ujian ultrasound.

 

Sungguh, saya sendiri terkejut. Di klinik awal saya pergi, hanya ada satu ketulan dijumpai tetapi di hospital, khabarnya ada tiga ketulan, dua darinya sangat kecil dan satunya hampir 1 cm. Serius! Saya begitu bimbang. Saya mulai terbayang, bagaimana ketulan ini boleh terbentuk? Dalam sejarah keluarga, tiada siapa pernah terkena kanser. Begitu juga kencing manis atau darah tinggi, belum ada sejarahnya! Jadi bila ada ketulan, saya mulai bimbang. Susah hendak saya suarakan rasa bimbang tetapi itulah ketentuan dari Illahi.

 

Dr Seee mencadangkan saya membuat biopsy itu sedikit sel diambil bagi menentukan sama ada kanser ataupun tidak. Saya memang tiada pilihan dan akur kerana saya takut doktor lebih pakar dalam bidangnya.

 

Hari dinantikan, awal pagi lagi saya sudah bersedia ke bahagian ditentukan. Fikir saya, tidak sakit tetapi ya Allah, memang agak sakit. Buat yang belum tahu, ujian biopsy ini dilakukan bagi mengambil sedikit tisu di ketulan dan kemudian dihantar ke makmal bagi menentukan sama ada sel itu kanser atau ketumbuhan biasa. Sejenis alat seperti pistol di mana jarumnya agak panjang digunakan. Saya perlu dibius. Bukan sekali berjaya tetapi lima kali saya “ditembak”. Banyak itu kerana doktor tidak mahu saya datang sekali lagi jika tembakan  itu tidak tepat.

 

Hendak jadi cerita, pagi saya buat ujian biopsy, petang itu saya ada tugasan Islam Pilihanku iaitu menemui saudara baru, Rebecca. Bila saya suarakan mahu bertugas, doktor seakan tidak mempercayainya malah meminta saya tidak melakukannya kerana ianya memang sakit. Saya juga mendapat sijil cuti sakit selama dua hari selepas melakukan biopsy itu. Di hadapan doktor, saya angguk tidak akan keluar tugasan tetapi dek kerana sudah berjanji dan itu memang tugasan bahan yang agak penting yang perlu juga saya hantar minggu itu (bekerja di Mingguan Wanita, untuk menyiapkan satu majalah hanya ada empat hari. Saya pula tidak mahu menyusahkan rakan sekerja lain kerana itu memang tugasan saya pada minggu itu) saya pergi juga tetapi tidak memandu seperti biasa tetapi saya membonceng motosikal rakan baik, kak Jem.

 

Kata orang, debaran menunggu ujian biopsy  itu siap umpama menanti kelahiran anak sulung. Demi Allah saya berdebar dan takut. Saya takut jika ujian itu memberikan satu penyakit yang mungkin tidak mampu saya harungi perjalanan masanya.

 

Semasa di hospital, saya banyak berbual dengan mereka yang senasib. Ada usia masih muda, di awal usia 40 an, sudah disahkan kanser. Di sini, saya ingin menasihatkan pergilah bertemu doktor jika temui kelainan pada payudara. Jika ada rasa sakit, jika ada ketulan dan sebagainya, buang rasa malu itu kerana lebih awal diketahui, lebih mudah nyawa kita dapat diselamatkan. Seorang kawan saya, usia anaknya 12 tahun. Jangan tidak tahu, anaknya pernah menjalani membuang ketumbuhan di payudara yang sudah sebesar 3 cm. penyakit memang tidak mengenal usia, jadi jangan bertangguh.

 

Akhirnya, saya mengadap kembali Doktor See. Hasil biopsy saya disarankan menjalani pembedahan kerana dikhuatiri akan merebak menjadi kanser andai dibiarkan lama.

 

24 November saya diwadkan, 25 hb saya dibedah. Biarpun dibedah lebih sejam lebih tetapi saya pengsan agak lama. Saya mendapat cuti sakit 20 hari selepas pembedahan. Anak-anak sayalah yang mengambil alih tugas di dapur memasak untuk saya dan ayahnya kerana saya tidak boleh mengangkat tangan dan alami demam selepas pembedahan. Dan syukur, minggu lalu saya bertemu doktor lagi.

 

Kali ini lebih teliti kerana ketulan yang sudah dibuang itu dibawa ke makmal untuk ujian pengesahan. Ketulan itu bukan kanser tetapi saya perlu bertemuanya lagi tiga bulan. Diari ini saya tulis ketika saya baru empat hari masuk kerja dan payudara yang dibelah ini belum pun pulih sepenuhnya biarpun lukanya sudah kering.

 

Perkongsian ini, satu pengalaman dalam kehidupan saya. Ianya bukan kerana saya wartawan tetapi saya sebagai isteri dan ibu. Kesihatan diri perlu dijaga oleh setiap wanita kerana ramai yang bergantung kepada diri kita.

 

Alhamdulillah, Allah memberkan kesihatan yang baik sehingga ke hari ini. Nasihat saya, rajin-rajinlah bertemu doktor. Kerana sakit ini juga, saya yang awalnya sangat malu untuk membuat ujian pap smear sudah jadi tidak malu kerana doktornya juga wanita. Hargailah kesihatan diri kerana apabila sakit, segalanya akan jadi susah kerana selain isteri berkerjaya, kita juga adalah heroin di hati anak-anak dan heroin di hati suami! Sampai jumpa lagi.