Ketakutan sesuatu yang sukar untuk diatasi. Ya bukan mudah memujuk hati agar kuat dan melawan ketakutan itu. Boleh mengigil lutut dan seluruh tubuh seram sejuk apabila merasakan darah merah yang mengalir ke seluruh tubuh bagaikan terhenti seketika. Namun jika anda berjaya mengatasi perasaan takut itu, pasti ada kejayaan besar yang berjaya anda peroleh.

 

Aku pernah berhadapan dengan perasaan takut untuk membawa kereta, walaupun ketika itu aku memiliki lesen kereta motor. Tahun 2011 aku baru berani sepenuhnya untuk membawa kereta, itupun setelah beberapa kali kereta milik suamiku tercalar dan kemekl. Lebih malang suamiku terpaksa menjual kereta yang tidak mampu lagi dibaiki setelah enjinnya asyik rosak. Itu semua hasil tanganku.

 

Maaf beribu kali aku lafazkan di atas segala kecuaian telah merosakkan hartanya. Maklum sajalah orang baru bawa kereta walaupun lesen sudah empat tahun aku miliki. Mujur suamiku tidak marah katanya itu semua tidak mengapa asalkan aku ada keyakinan dan dapat atasi perasaan takut untuk membawa kereta.

 

:Rosak boleh beli, jika tidak boleh baiki kita beli baru. Asalkan ibu selamat, yang lain usah difikirkan,:  Itulah ayat ringkasnya, membuatkan aku berani menentang perasaan takut itu.

 

Ada satu peristiwa berlaku yang membuatkan aku nekad untuk melawan ketakutan itu. Suatu malam di mana suamiku mengadu sakit perut yang teramat sangat. Dia terkena keracunan makanan yang terlampau. Mukanya ketika itu sudah biru, hendak bangun dia tidak berdaya setelah beberapa kali cirit birit dan muntah-muntah. Badanya yang lemah itu tidak membolehkan dia memandu kereta ke hospital. Suamiku merayu agar membawanya ke klinik.

 

Aku ketika itu tidak mampu lagi membawa kereta. Hanya air mata yang mengalir deras di pipi menyatakan aku takut, takut sekali untuk membawa kereta walaupun jarak hospital dari rumahku amat dekat. Betapa luluhnya hatiku ketika itu, jika selama aku sakit dengan senang hati dia dapat membantuku. Ketika dia sakit aku tidak mampu menolong. Hanya pertolongan kecil yang tidak mampu aku laksanakan.

 

Daripada tragedi itu, aku mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ketakutan ini. Aku sanggup bayar cikgu untuk ajarku memandu. Sebulan aku belajar memandu,  keyakinan dan ketakutan aku sedikit demi sedikit dapat aku hadapi.  Dengan bantuan suami yang mengajarku waktu lapang, aku jadi biasa memandu di jalan raya.

 

Namun, untuk memandu jauh di jalan besar aku belum mampu. Masih takut jika aku tidak mampu mengawal situasi, sehinggakan kami berpindah dan tinggal di kawasan yang lebih jauh dari tempat kerjaku. Suamiku tidak mampu lagi untuk menghantar aku ke tempat kerja apabila dia perlu mengejar waktu ke tempat kerjanya.

 

Ketika inilah aku perlu memandu sendirian ke tempat kerja. Sekali lagi ketakutan aku memuncak. Mampukah aku memandu, selamatkah. Terbayang tragedi kemalangan jalan raya yang pernah aku lihat. Kejut perut, mengingatkan hari esoknya. Mampukah untuk aku memandu ke tempat kerja. Petang itu suami aku mencadangkan aku belajar untuk membiasakan diri memandu ke tempat kerja.

 

Dia mengikut dari belakang dengan motornya. Aku tahu dia risau akan keselamatan diriku. Selama seminggu dia mengikut aku dari belakang, dari cermin sisi aku melihat wajah risau suamiku, walaupun hujan lebat dia masih setia mengikut aku dari belakang untuk memastikan aku sampai ke tempat kerja. Minggu berikutnya suamiku mengatakan aku sudah boleh memandu sendirian dan sejak itu aku semakin berani. Kini untuk ke tempat tugasan samada memandu di jalan raya sibuk di Kuala Lumpur mahupun jalan raya utara, timur dan selatan Malaysia tidak menjadi masalah untuk ku bawa kereta automatik mahupun manual.  

 

Jika anda ada kisah menarik untuk dikongsi, bagaimana untuk mengatasi ketakutan dan dapatkan keyakinan untuk memandu kereta ini kongsi dengan Mingguan Wanita. Mungkin boleh membantu wanita yang tidak berani memandu kereta.