dibunuh kejam

Cukup tragis apabila tahu penuntut kolej Nur Alya Damia ditemui mati di bulan yang mulia dengan kesan dijerut di leher di kawasan yang tak disangka. Berita sedih ini diketahui selepas rakannya Ain Zulaika Zamuri, 19, keluar mencari arwah bersama rakan yang lain dan ditemui di tepi jalan di Lorong 4, Taman PD Permata, di Port Dickson, semalam.

“Ketika itu, kami hanya melaungkan Allahuakbar dan menangis sekuat hati,” luahnya.

Pada kejadian jam 10.30 malam itu, mayat Nur Alya Damia Hairi, 19, yang juga penuntut Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) ditemui oleh orang awam yang kemudian memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Cerita rakan arwah, Ain Zulaika Zamuri, 19, sebelum kejadian, Nur Alya Damia yang juga rakan sekelas dan sebiliknya itu keluar dari asrama kolej pada jam 9 malam dan memaklumkan nak bertemu teman lelakinya di kawasan berhampiran.

Rasa Tak Sedap Hati

Penuntut Diploma Rangkaian Komputer itu berkata, berikutan tidak sedap hati, dia menghubungi teman lelaki mangsa dan terkejut apabila dimaklumkan lelaki itu tidak bertemu Nur Alya Damia.

“Saya bersama dua rakan sebilik yang lain mencarinya dengan menunggang motosikal. Sebaik tiba di Taman PD Permata, kami ternampak anggota polis dan orang ramai berkumpul tepi jalan. Saya pergi kawasan itu dan terkejut apabila tengok mayatnya (Nur Alya Damia).”

“Tak disangka perkenalan kami begitu singkat kerana kami masih berada di semester pertama,” katanya.

Ain Zulaika berkata, mangsa adalah anak sulung daripada tiga beradik dan berasal dari Klang, Selangor.

IKLAN

Dari Pihak Yang Jumpa Mayat

Sementara itu, saksi kejadian Izwan Mustaffa, 30 berkata, dia menemui mayat mangsa ketika mahu membuang sampah di depan rumahnya.

Dia yang ketakutan kemudian memaklumkan jiran sebelum panggilan dibuat terhadap pihak polis.

Juruteknik kilang itu berkata, dia terkejut apabila pihak polis yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan remaja itu sudah meninggal dunia.

IKLAN

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor berkata, sepasukan anggota forensik bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan orang awam.

Katanya, pemeriksaan menemui kesan jerut pada leher mangsa dan remaja itu dipercayai dibunuh.

“Buat masa ini, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

IKLAN

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.

Dari pihak Mingguan Wanita, ucapan takziah buat keluarga mangsa, semoga Allah permudahkan segala urusan dan tabah berdepan dengan ujian Allah di bulan Ramadan.

Al-Fatihah.

Sumber: Harian Metro

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI