Saharul Ridzwan ataupun nama sebenarnya Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 27, dia percaya kepada jodoh. Pertemuannya bersama isteri Qaabila Deena Amir Mohamed Akif Emir, 28, yang pada mulanya tiada langsung bibit-bibit percintaan berakhir dengan ikatan suami isteri pada 16 September 2016. Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya menjadi saksi penyatuan dua jiwa.

 

Sungguhpun ada desas-desus mengatakan sebelum ini mereka berdua pernah bercinta, namun Saharul lebih senang mengatakan sebelum ini mereka adalah kenalan sahaja. Tidak sampai kepada fasa bercinta.  

 

“Memang kami berdua sebenarnya sudah lama mengenali antara satu sama lain dan kami pernah terputus hubungan untuk seketika kerana masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing. Pada waktu itu kami tidak pernah mengatakan kami bercinta. Secara logiknya kalau bercinta takkan kami boleh terputus hubungan dengan begitu sahaja untuk jangka masa bertahun-tahun lamanya.

 

“Selepas kembali bertemu pada Januari yang lalu, barulah kami perasan dan dapat rasakan ada keserasian di antara kami. Kami terus membuat keputusan untuk berkahwin. Saya tidak suka untuk tunggu lama untuk melakukan perkara yang baik.

 

“Jika alasan untuk kenali hati budi, kami sebelum ini adalah kawan dan kami sudah tahu sedikit sebanyak perangai masing-masing. Jika ditanya hingga sekarang pun hubungan kami bukan seperti pasangan kekasih. Kami tidak pernah pun lafazkan ungkapan cinta,” jelas Saharul.

 

 

Tambah Saharul lagi, dia dan isteri lebih selesa untuk mencari erti cinta yang sebenar-benar selepas mereka berkahwin nanti. Itu adalah lebih afdal. Apa yang penting adalah mereka berdua tahu tanggung jawab yang bakal dipikul selepas mendirikan rumah tangga. 

 

“Terutamanya saya sebagai suami, ia bukanlah satu tanggung jawab yang mudah. Mengambil alih tugas seorang bapa ke atas anak perempuannya bukan sahaja dari segi kasih sayang dan keselamatan malahan lebih dari itu lagi. 

 

“Saya berjanji pada diri saya sendiri akan memastikan isteri saya sentiasa dalam keadaan baik bukan sahaja urusan dunia malahan akhirat jua. Apa yang saya harapkan ialah doa daripada semua terutama keluarga, rakan-rakan dan para peminat agar perkahwinan ini sentiasa dalam rahmat-Nya,” kata Saharul. 

 

Ujarnya lagi, dia dan isteri bertemu pada fasa usia mereka masing-masing sudah matang dan istilah hanya untuk suka-suka itu sudah tiada. Masing-masing sudah dapat fikirkan mana yang baik dan buruk dan tidak mahu buang masa. 

 

Bercerita mengenai isterinya, Saharul senang dengan kerjaya isterinya yang merupakan pemilik butik muslimah yang diberi nama Wrap. Katanya, dia lebih senang biarlah dia seorang sahaja yang bergelar artis. Sungguh pun begitu isterinya merupakan seorang yang popular di laman instagram yang mempunyai pengikut hampir 60 ribu.

 

 

“Itu baik untuk perniagaannya. Biarlah dia berjaya sebagai seorang usahawan dan saya dalam aliran yang lain. Mungkin perbezaan bidang memberi kelebihan untuk kami berkongsi idea untuk sama-sama meningkatkan kerjaya masing-masing,” ujar Saharul. 

 

Bagaimana dengan soal cahaya mata, adakah mereka berdua bersedia menerima orang baru dalam hubungan? Dan apakah magis terindah dalam dunia bercinta selepas nikah? Ketahui dalam majalah Mingguan Wanita bilangan 1717 (14-20 Oktober 2016/13-19 Muharam 1437 H) yang sudah ada di pasaran.