Ternyata walaupun sudah berusia 45 tahun namun Amy Mastura yang berbadan kecil molek dan berperwatakan ceria ini wajahnya kelihatan cukup awet muda.

Sudah menjadi senior dalam bidang seni dan bergelar ibu sudah pasti kehidupan Amy Mastura begitu sibuk. Namun sewaktu berbual-bual, penyanyi ini menjelaskan dia berasa bersyukur kerana Adriana Tham Suffian, 15 tahun dan Adalia Tham Suffian, 11 tahun, sudah boleh berdikari dan mampu membuat kerja rumah.

“Alhamdulillah Adriana dan Adalia masing-masing sudah besar. Adriana sekarang ni belajar di Tingkatan 3 manakala Adalia pula baru darjah 5. Sekarang ni saya dah tak ada pembantu rumah jadi semua kerja saya akan lakukan dibantu dua orang anak perempuan kesayangan saya. Walaupun masih muda tapi saya tetap ajar mereka memasak. Jadi bila saya keluar bekerja mereka mampu berdikari jika ditinggalkan di rumah.
 
“Walaupun sejak dulu saya sibuk dengan dunia seni namun buat masa ini saya tidak ada masalah membahagiakan masa antara keluarga dan kerjaya. Kalau boleh aktiviti saya mesti berdekatan dengan keluarga jadi tak lah susah untuk saya bersama mereka. Jika tidak ada aktiviti seni saya lebih senang luangkan masa dengan menguruskan rumah tangga dan anak-anak.

“Ditambah pula anak-anak saya sudah remaja jadi saya selalunya akan melayan kerenah mereka dan cuba jadi remaja juga tapi mereka lebih advance daripada saya. Selalunya yang kami semua dapat kongsi minat yang sama ialah tengok wayang. Selalunya kami pergi bersama-sama,” cerita Amy Mastura.

Diajukan juga persoalan adakah Amy Mastura akan melarang jika kedua anak gadis mengikut jejak seni dirinya, Amy hanya tersenyum sambil menjawab;

“Saya tak memaksa mereka untuk memilih apa yang mereka suka. Sekiranya mereka suka untuk berkecimpung dalam bidang seni, saya tak menghalang. Janji tidak ke arah yg salah. Walau apa pun bidang yang mereka pilih, saya akan selalu memberi nasihat sekiranya perlu.”

Memandangkan anak-anaknya sudah meningkat dewasa Amy Mastura dan suaminya, Alvin Tham Suffian punya perancangan pendidikan untuk masa depan mereka. Pasangan ini juga menyimpan wang untuk masa depan pendidikan anak mereka. Malah Amy dan Alvin juga memberi ruang untuk anak-anak mereka memilih bidang mereka sendiri dan akan memberi dorongan pada Adriana dan Adalia.

Mengupas mengenai didikan yang diterapkan oleh Amy sewaktu memberi didikan dan tunjuk ajar kepada anak-anaknya, dia menjelaskan walaupun tampak lemah lembut namun dia merupakan seorang yang tegas.

“Bermula dengan lemah lembut dulu. Lepas tu pitching naik sikit. Kalau tak ada pilihan barulah akan tegas. Saya rasa penting untuk mereka tahu kenapa kita kena tegas pada sesetengah situasi. Maklumlah anak-anak saya keduanya perempuan jadi memang kena lemah lembut dahulu.

“Kemudian bila sudah habis peperiksaan dan cuti sekolah barulah saya dan suami akan bawa mereka bercuti. Biasanya setahun sekali kami akan melancong, biasanya tak kisah dalam mahupun luar negara asalkan kami bersama satu keluarga,” ujar Amy Mastura yang bakal muncul dengan single terbaru yang bertajuk Kalimah ciptaan sepenuhnya Adiv Johari.