Sejak dikurniakan anak, hidupn Datin Paduka Eina Azman dan suami, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Harden semakin bermakna. Benarlah kata orang anak itu penyeri rumah tangga. 
 
Sebagai ibu muda, pastinya melalui proses bersalin memberikan satu pengalaman yang amat berharga buat Eina Azman. Apatah lagi melahirkan anak kembar. Menurut pelakon berasal dari Temerloh Pahang ini, Arianna dan Karl hanya beza dua minit sahaja dan Arianna merupakan kakak. 
 
Mengenang kembali pengalaman bersalin, menurut Eina ia merupakan tempoh yang benar-benar menakutkan. Namun, tempoh itulah yang memberikannya pengajaran bermakna. Ketika itu, barulah dia dapat merasakan kesakitan yang dialami oleh ibunya ketika melahirkannya.
 
“Saya bersalin melalui kaedah pembedahan. Memang kalau boleh saya nak beranak secara normal tetapi doktor nasihatkan saya beranak melalui pembedahan. Nak tak nak saya kena juga ikut nasihat doktor. Saya rasa beranak secara pembedahan lagi sakit daripada beranak normal. Paling sakit ketika bius habis sehingga saya menangis kerana terlalu sakit. Sakitnya ibarat seperti dihiris-hiris. 
 
“Namun pengalaman bersalin ini menyedarkan saya pengorbanan seorang ibu saat melahirkan anak. Ia menginsafkan dan membuatkan saya bertambah sayang kepada ibu saya,” ujarnya yang hadir ditemani suami tercinta.