Raja Farah Raja Aziz, 28, jatuh cinta apabila melihat wajah mulus dan suci puteranya yang baru membuka mata melihat dunia. Momen indah ini pastinya  tidak akan Raja Farah lupakan sampai bila-bila. Jika selama ini, dia sering kali menyalahkan diri kerana tidak  mampu memperoleh zuriat daripada perkahwinan terdahulu. Ternyata sangkaannya meleset, kini Allah menghantar sebuah amanah besar buatnya dan suami, Iskandar Ismail, 34 tahun.

“Suatu ketika dahulu saya takut untuk bermimpi memiliki anak, hingga ke hari ini saya kadang-kadang tidak percaya, benarkah ini anak saya. Lumrah perasaan ibu yang menimang anak pertama, pastinya amat teruja. Perasaan gembira juga seperti tidak mampu diungkap kerana Imran adalah anugerah terindah buat saya.

Pantang Cara Melayu

Telah terbiasa bergerak aktif ke sana dan sini, membuatkan personaliti ini ‘mati kutu” di peringkat awal berpantang. Jika selama ini dia bebas bergerak tanpa batasan, kini sejak melahirkan Imran, pergerakannya amat terbatas. Dia bosan apabila 24 jam perlu mengadap dinding tanpa berbuat apa-apa. Apatah lagi pada saat itu, dia baru sahaja mulai membiasakan diri dengan gelaran “mama”.

Segala tingkahnya dirasakan kekok dan janggal. Mujurlah suami, keluarganya dan keluarga mentua banyak membantu. Segala ujian dan cabaran ketika berpantang dapat dilalui dengan mudah setelah beberapa hari berlalu.

“Awalnya saya kekok untuk menyusukan Imran, mana tidaknya dengan terikat dengan waktu mengepam susu. Saya jadi kalut dan canggung. Lama-kelamaan saya pujuk hati, inilah perkara yang saya dambakan selama ini iaitu menimang cahaya mata. Jadi saya perlu kuat untuk lalui semua ini. Sejak itu saya mula positif dan dapat melalui proses berpantang sebaiknya,” katanya lagi.

Tambah Raja Farah, dirinya mengikut cara pantang Melayu tradisional iaitu termasuklah menjaga pemakanan dan mempraktikkan amalan berpantang sepenuhnya seperti berbengkung.

Tidak Kisah Berat Badan Bertambah

Raja Farah hanya mampu tersenyum apabila dia diajukan tentang soal berat badan. Jelasnya buat masa ini dia tidak mahu terbeban dengan memikirkan soal berat badan kerana fokus utamanya adalah ingin menyusukan Imran hingga bayinya berusia dua tahun. Ibu muda ini berharap agar cita-citanya untuk menyusu badan sepenuhnya akan tercapai dengan izin Allah.

Bukan tidak pernah berdiet setelah habis tempoh berpantang, namun niatnya terpaksa dibatalkan apabila bekalan susunya makin berkurangan. Bimbang jika cahaya matanya tidak mendapat susu secukupnya membuat terpaksa Raja Farah lupakan dahulu soal menurunkan berat badan. Mungkin beberapa tempoh lagi, Raja Farah akan mula serius memikirkan hal ini.

Tambahan lagi, suami juga tidak pernah sama sekali ingin membebankan Farah dengan soal berat badan. Paling penting ibu dan anak sihat, soal berat badan bukanlah satu masalah besar bagi pasangannya.

Apa perkembangan Raja Farah sekarang dan bagaimana dia membahagikan masa dunia kerjaya dan keluarga, anda boleh dapatkan majalah Mingguan Wanita bilangan 1721 (11-17 November 2016) 11/17 Safar 1438H di pasaran.