Pengacara dan pelawak popular Jihan Muse, kini sah bergelar isteri kepada pelakon Ungku Hariz, 31, dalam sebuah majlis pernikahan ringkas di Laman Kayangan, Shah Alam, pada 20 Mac yang lalu. Ini menamatkan zaman percintaan mereka yang sudah hampir sembilan tahun.

Dalam mempersiapkan dirinya sebagai isteri, Jihan mengakui berusaha sebaik mungkin. Tanggungjawab dan keutamaan utamanya adalah terhadap suami dan keluarga. Tetapi pada masa yang sama dia tidak akan melupakan kerjayanya.

Lebih-lebih lagi Ungku Hariz tidak menghalang Jihan untuk terus aktif dalam bidang seni.

 



“Selama ini saya tidak pernah menghalang Jihan untuk terus aktif dalam bidang seni. Begitu juga sekarang. Saya tidak kisah apa yang ingin dibuatnya, asalkan dia memberitahu saya. Saya akan pantau dari jauh, jika dia perlukan sokongan dan nasihat saya sentiasa ada di sisinya.

“Saya juga tidak bimbang akan pembawaan dirinya di hadapan khalayak. Jihan tidak berpakaian seksi. Cuma jika dia sudah bersedia untuk berhijab saya doakan terbaik untuknya,”ungkap Ungku Hariz yang mahukan minima tiga orang cahaya mata.

Bagi Jihan pula soal anak, dia menyerahkan pada rezeki yang diberikan Ilahi kepada mereka. Dalam umurnya sekarang ini, dia merasakan tidak perlu untuk merancang. Jika diberikan rezeki dalam masa terdekat mereka akan menerimanya.

 



Takdir telah menyatukan pasangan yang bercinta dalam tempoh yang lama ini. Hubungan percintaan mereka ini berjaya disembunyikan daripadai pengetahuan umum. Hebatnya percintaan mereka.

“Perhubungan kami turut diuji, masakan tidak mereka yang duduk serumah pun boleh bertengkar inikan kami yang tinggal berjauhan. Ia normal seperti dalam drama, kami juga begitu. Jika dahulu benda kecil pun menjadi isu, kini kami semakin matang,” kata Ungku Hariz pelakon drama bersiri Cinta 100kg ini turut berkongsi mengenai hubungan mereka kekal hingga sekarang adalah disebabkan saling komunikasi.

“Saya ini jenis orang yang malas hendak fikirkan sesuatu masalah itu. Saya biarkan sahaja. Ia boleh menjadi masalah kemudian hari. Tapi Ungku Hariz ini sifatnya mahu masalah yang dihadapi diselesaikan secepat mungkin. Lagi tidak selesai kami akan duduk berbincang dan mencari penyelesaiannya. Sikap ini membuatkan perhubungan kami semakin utuh,” ungkap Jihan terlebih dahulu mengadakan majlis berinai pada 18 Mac di Laman Qaseh, Gombak.

 


 

Sementara itu, majlis resepsi pasangan yang bertemakan klasik rekaan busana dari Man Kajang dan solekan, Deqsha diadakan pada 27 Mac ini di Menara NAZA TTDI, Shah Alam.

Apa halangan sepanjang bercinta dan petua yang dibina sehingga mereka sah bergelar suami isteri, anda boleh ketahui dalam majalah Mingguan Wanita bilangan 1690 (08-14 April 2016) di pasaran.