Dengan sekali lafaz, Amyra Rosli ataupun nama sebenarnya Nur Amira Izzati binti Rosli, 25 tahun kini menjadi permaisuri hati untuk Amar Baharin ataupun nama sebenarnya Amar Mohd Baharin, 31 tahun. Kelihatan Amyra mengalirkan air mata kegembiraan kerana perjalanan cinta selama setahun bersama jejaka pilihan hati berakhir dengan ikatan yang sah. Tiada yang ingin didambakan selain suaminya, Amar akan menjadi pelindungnya di dunia dan jua di akhirat kelak

 

Majlis akad nikah yang diadakan secara tertutup di Hotel Premiera, Jalan Tunku Abdul Rahman pada petang Jumaat, 11.11.2016 tepat jam 5.15 petang telah berlangsung dengan penuh debaran dan kegembiraan di saat Amar menggenggam erat tangan bakal bapa mertuanya.

 

Diajukan soalan kedua-dua mereka kini sedang berada di puncak kejayaan, adakah  ini waktu yang sesuai untuk mereka mengakhiri zaman bujang masing-masing. Baik Amar mahupun Amyra kedua-duanya positif kepada perkara itu dan mengatakan ini adalah keputusan terbaik dan tiada apa yang harus dirisaukan. Perkahwinan juga merupakan rezeki dan mereka berdua menyatakan ini adalah waktu yang terbaik untuk mereka mengakhiri zaman bujang masing-masing.

 

“Baik saya mahupun Amar, kami optimis terhadap perkara ini. Rezeki itu dari Allah SWT dan kami tidak takut andai kata populariti menurun dan sebagai. Peminat hari sudah matang dan rata-rata peminat kami berdua menyokong penuh hasrat kami untuk bersatu.

 

 

“Baik peminat saya mahupun Amar mereka menerima keputusan kami berdua dengan sepenuhnya. Dan ini adalah keputusan terbaik dari kami. Jika ada berkata usia saya masih muda iaitu baru 25 tahun, pada saya pula ini adalah usia yang baik untuk saya melangkah ke fasa yang lebih jauh dalam kehidupan saya. Insya-Allah saya sudah bersedia untuk menjadi isteri buat Amar,” kata Amyra lagi.

 

“Apa yang kami harapkan adalah doa dan restu dari semua. Ini adalah journey kami yang baru hendak bermula. Banyak lagi di hadapan yang menanti dan insya-Allah kami akan hadapi bersama-sama. Dari sudut kerjaya, tiada apa yang berubah, kami akan tetap berlakon selagi kami diperlukan. Teruslah menyokong kami,” tambar Amar.

 

Kedua-dua mempelai ini mempunyai pengikut di laman instagram yang ramai dan setiap apa yang mereka kongsikan mendapat reaksi yang menarik daripada pengikut masing-masing.

Dijolok dengan soalan mengenai cahaya mata, kedua-duanya tersenyum.

 

“Semuanya terpulang pada rezeki. Mungkin terlalu awal untuk bercakap soal ini, tetapi apa juga yang ditentukan oleh Allah SWT kami terima seadanya. Pastinya bagi pasangan yang berkahwin mahukan cahaya mata, namun pada kami ia terlalu awal untuk dibicarakan. Semuanya kami serahkan kepada rezeki,” kata Amar.

 

Terselit semangat dan doa dari hati seorang ibu bila mereka bersatu, ketahui cerita penuh kebahagiaan pasangan sejoli ini dalam majalah Mingguan Wanita bilangan 1723 (25 November-01 Disember 2016) yang sudah ada di pasaran.