Biar pun bergelar ibu kepada tiga orang cahaya mata, Lisdawati dilihat mampu mengekalkan kelangsingan tubuhnya hingga ke hari ini. Tanpa berselindung, pelakon hebat ini mengakui tidak pernah melakukan sebarang senaman dalam menjaga bentuk tubuh sebaliknya memiliki rutin atau amalan tersendiri.   

“Bagi mengeluarkan peluh tanpa bersenam, setiap kali mengemas rumah saya akan menutup semua pendingin hawa dan kipas seterusnya dengan mengenakan sweater atau baju lebih tebal, saya akan mulakan tugas mengemas. Saya jadikan rutin ini sebagai salah satu exercise.

“Selain dapat membersihkan rumah, saya juga dapat mengeluarkan peluh. Amalan ini telah saya lakukan sejak dua tahun lalu.

“Sekurang-kurangnya saya tidak perlukan masa tertentu untuk bersenam, maklumlah sejak melahirkan anak bongsu, saya sememangnya tidak mempunyai pembantu rumah. Segala tugas di rumah, saya lakukan sendiri. Mungkin anda juga boleh mencubanya,” katanya sambil berseloroh.

 



Selain itu, Lisdawati turut tidak menafikan bahawa minum air secukupnya setiap hari di samping mengawal pemakanan dalam hidangan setiap hari adalah amat penting. Baginya dan suami, Fauzi Nawawi, mereka sememangnya jarang mengambil ayam dan daging. Hanya seminggu sekali sahaja, selebihnya Lisdawati akan banyakkan makan sayur dan ikan.

Jelasnya dia perlu mengawal pemakanan kerana keluarga bukan jenis berbadan kecil. Jika dirinya terlalu mengikut nafsu makan, pasti berat badannya akan naik berlipat kali ganda. Apatah lagi dia jenis wanita yang tidak mampu meninggalkan nasi sebagai santapan setiap hari. Ambillah nasi jika tidak mampu, tetapi biarlah berpada-pada.

Lisdawati bernasib baik, selain tidak cerewet dalam pemilihan makanan, suaminya juga merupakan seorang lelaki yang cukup mengawal pemakanan agar badan sentiasa sihat dan memiliki berat badan ideal. Perkara ini memudahkan Lisdawati mengawal dietnya saban hari.

Manakala rehat secukupnya juga membuatkan wanita ini sentiasa tampil segar dan bertenaga. Walaupun sibuk sebagai ibu di rumah, menjalankan perniagaan dan memenuhi tuntutan sebagai pelakon dalam satu masa serentak.

 


Cerita bab rumah tangga, sebagai pasangan normal, Lisdawati dan suami tidak lari daripada bergaduh. Perkara ini menjadi perkara biasa bagi pasangan yang telah berkahwin. Bagaimana dia bertahan dan apa pantang larang yang diamalkan sepanjang sembilan tahun bergelar isteri kepada Fauzi, anda boleh semak dalam majalah Mingguan Wanita bilangan 1706 (29 Julai-04 Ogos 2016 / 24 Syawal-01 Zulkaedah 1437H) yang sudah ada di pasaran.