Pada 21 Fabruari baru-baru ini, Anzalna Nasir dan Muhamad Hanif Mohamad Zaki telah mendirikan rumah tangga. Pasangan sejoli ini diinikahkan sendiri oleh bapa Anzalna iaitu Prof Madya Dr Mohd Nasir Ibrahim dengan disaksikan Pendaftar Perkahwinan Cerai Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Abdul Nasir Abdullah. Pada majlis akad nikah itu Anzalna menerima mas kahwin sebanyak RM1,000.00.


"Dia adalah wanita yang paling susah untuk dipikat, saya mengenali dia menerusi laman sosial Myspace sekitar tahun 2006 dan pada mula memang dia tidak berminat dengan saya.


"Namun lama-kelamaan dia menerima saya sebagai kawan dan kami berbual hanya di ruangan berbual maya MSN dan selepas itu kami terputus hubungan kerana dia bersama keluarganya berpindah ke Australia,"


"Saya jumpa semula dia di laman sosial Facebook dan kami berkawan semula sehinggalah dia menerima pelawaan saya untuk bertemu buat kali pertama.


Ramai juga yang perasan ketika kedua-dua mempelai ini berada di atas pelamin, masing-masing kelihatan lebih kurus daripada sebelumnya. Siapa yang tidak mahu kelihatan cantik ketika hari bahagia dan begitu juga mereka. Menurut Anzalna dan Hanif, mereka menjaga pemakanan menjelang detik kebahagiaan.


Anzalna sendiri mengakui berat badannya turun beberapa kilogram dan begitu juga dengan Hanif.


"Saya memang banyak makan salad. Makanan lain, saya banyak ketepikan saja. Malah, saya elak mengambilnya biar pun diletak dalam pinggan yang sama," jelasnya ringkas.


Manakala berat Hanif sekarang pula 75 kg berbanding 80 kg sebelum ini.


"Saya ambil masa enam bulan untuk mendapatkan berat badan sekarang. Mungkin sebab saya sibuk dengan kerja dan persiapan kahwin, berat badan ini turun secara automatik," kata Hanif yang bekerja sebagai penasihat jualan di Sime Darby Sdn Bhd.

 

Begitu bahagia dan berseri mempelai ini, bukan? Ketahui cerita penuh hubungan cinta mereka dalam majalah Mingguan Wanita dalam isu 1686, 11-17 Mac 2016 ( 02-08 Jamadilakhir 1437 H) yang sudah ada di pasaran.