Dua figura seni yang cukup dikenali ramai yang juga pemilik nama sebenar Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya dan Cristina Suzanne Stockstill punya aura mereka yang tersendiri.

Ditanya tentang wanita dan kerjaya pada hari ini, Amani menjelaskan dia cukup mengagumi wanita Malaysia yang kebanyakannya mendapat pendidikan tinggi dan memiliki kerjaya yang  cukup hebat.

"Peranan wanita sangat penting sekarang ini. Mereka berpelajaran dan tergolong dalam golongan profesional. Sebagai seorang pelakon, golongan ini juga boleh memilih untuk menyatakan 'tidak' pada watak yang boleh memperkecilkan kredibiliti wanita.  

"Pada saya sebenarnya wanita boleh lakukan lebih daripada lelaki. Ramai yang dapat berdikari sendiri walaupun mereka bergelar ibu tunggal. Cuma isu wanita yang positif ini jarang ditonjolkan di dalam sebuah karya terutamanya di televisyen," ulas Amani yang cukup bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dikurniakan bakat dalam dunia lakonan.


Pilihan Hidup Cristina

Meski sudah lebih 10 tahun dalam industri seni tanah air, akui Cristina Suzanne Stockstill, namanya seperti tenggelam timbul. Gadis kacukan Jerman-Melayu ini percaya hubungan baik dengan orang-orang lama sangat membantu mendapatkan hasil lakonan yang berkualiti.

“Kita kena banyak bertanya dengan orang-orang sekeliling. Bercakap dengan pelakon lebih senior kerana ia membantu untuk kita jayakan sesuatu watak itu,” ujar Kris.

Kris tidak punyai latar belakang pendidikan dalam bidang seni lakonan. Walau pernah dikritik dek lakonannya yang tidak menjadi, Kris tidak mudah melatah.

“Ia seperti circle yang mana semua orang akan mengalaminya. Sehingga kini saya masih rasa saya belum sampai tahap yang memuaskan. Setiap orang ada cara tersendiri, begitu juga dengan cara lakonan yang berbeza.

Selalu berhati-hati dengan setiap langkah, ujar Kris berdiam diri itu adalah lebih baik sekiranya berdepan dengan provokasi peminat terutamanya di media sosial.

“Saya kira sekiranya seseorang itu berfikiran logik dan matang, dia tidak akan memberikan komen negatif di IG misalnya. Bila ada komen negatif seperti itu, saya rasakan ia adalah budak-budak yang ibu bapa mereka belikan telefon dan tidak ada kerja.

“Bila berhadapan dengan situasi itu, kita tidak perlu layan namun saya percaya setiap orang mempunyai cara berbeza untuk menanganinya. Bagi saya, silence is golden, jadi lebih baik senyap sahaja,” katanya positif.

Apa cabaran mereka berdua dalam dunia seni dan bagaimana ibu ayah mereka memberikan semangat walau kadang dikritik, anda boleh ketahui cerita penuh dalam majalah Mingguan Wanita bilangan 1707 keluaran 5-11 Ogos 2016/2-8 Zulkaedah 1437H yang sudah ada di pasaran.