Pelakon berkulit cerah, Nur Amirah Filzah binti Badioezaman atau lebih glamor dengan panggilan Mira Filzah, 23 tahun tidak menerima sebarang tawaran berlakon yang memerlukan watak lelaki dan perempuan bersentuhan walaupun berlapik. Katanya lagi, penampilan bertudung perlulah seiring dengan sikap. Apa yang dilarang oleh agama seharusnya dielakkan seboleh-bolehnya agar dapat menjaga maruah diri dan keluarga.

 

“Saya merupakan salah seorang pelakon awal yang berhijab. Saya akui memang banyak cabaran dan batasan namun saya ada pendirian dan tidak mahu bersentuhan dengan lelaki. Sebelum menerima sebarang lakonan, saya akan rujuk pada mak dan ayah terlebih dahulu mengenai watak yang akan dilakonkan.

 

“Saya beruntung kerana mak dan ayah tidak pernah mengongkong saya untuk aktif dalam bidang ini. Malah saya merupakan ahli keluarga pertama yang terjebak dalam dunia seni ini. Mak selalu beri nasihat agar saya jaga diri dan maruah keluarga. Saya sentiasa ingati pesanan ini dan berjanji tidak akan membelakangkan mereka,” luah Mira yang sentiasa menjaga penampilannya sebagai Muslimah yang baik.

 

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.581595.1478229267!/image/image.jpg

 

 

Ditanya tentang cita-cita sebenar dirinya jika tidak bergelar seorang selebriti, Mira mempunyai jawapan tersendiri.

 

“Sejak kecil sebenarnya saya tidak pernah bermimpi dan letakkan sasaran untuk menjadi apa apabila sudah dewasa. Cuma apa yang saya ingat waktu kecil setiap kali ke pasar raya saya akan bertanya pada mak apabila berada depan juruwang. “Kaya tak kalau bekerja sebagai juruwang?

 

“Apabila meningkat remaja dan di zaman persekolahan, saya pernah berangan menjadi seperti Maya Karin yang ketika itu mengacarakan rancangan Nona di TV3. Perancangan Allah mengatasi segalanya, rezeki saya bermula sebagai pelakon dan kini saya aktif sebagai pengacara selepas diberi peluang menjadi hos bersama Zizan Razak dalam Anugerah Bintang Popular lalu.

 

“Minat tersebut juga direalisasikan apabila saya sekarang ini diberi peluang untuk mengendalikan rancangan 3 Juara di TV3 yang akan memulakan siaran pada 16 Oktober ini. Menerusi rancangan tersebut saya akan bergandingan bersama Amar dan Issey. Malah bagi mendalami bidang ini saya juga mempunyai pengajar persendirian untuk kursus Pengucapan Awam,”katanya.

 

Dalam masa yang sama, Mira bersyukur ke hadrat Allah kerana mempunyai peminat setia walaupun dikira masih baru dalam industri hiburan. Dia berasa bertuah disayangi peminat dan terharu dengan sokongan padu yang diberikan.

 

Nak tahu lebih lanjut soal jodoh Mira Filzah dan apa kekuatannya dalam dunia glamour? Dapatkan majalah Mingguan Wanita bilangan 1718 (21-27 Oktober 2016 yang sudah ada di pasaran!