Ibarat pepatah Melayu, Sherry Alhadad dan Zulin Aziz bagai isi dengan kuku. Hanya beraku engkau, nampak sangat mereka berdua sangat akrab walaupun Sherry sebenarnya ialah bekas pensyarah Zulin.

Menurut Sherry, dia sememangnya ramai kawan. Namun bukan semua boleh menjadi BFF. Ini kerana dalam persahabatan menuntut satu perkara yang lebih iaitu kepercayaan. Bagi Sherry, seorang BFF perlu menerima kekurangan sahabatnya dengan ikhlas.

 



“BFF ialah orang yang kita boleh kongsi apa sahaja sama ada cerita bahagia ataupun kisah sedih tanpa ada rasa ragu-ragu. BFF sanggup mencerita sedih sahabatnya walaupun berjam-jam lamanya. Malah BFF sebenarnya lebih kenal kita berbanding keluarga kita sendiri. Bila cerita masalah kita kepada BFF, kita tak perlu bimbang dia akan cerita kisah itu pada orang lain. Malah tak perlu takut jika dia menilai diri kita.

Kadangkala kalau kita cerita pada orang lain yang bukan BFF, selalunya mereka akan menilai diri kita. Atau mungkin cerita itu akan disampaikan kepada orang lain. BFF pula akan bagi nasihat yang logik sesuai dengan diri kita. Satu lagi, BFF tidak takut untuk memberitahu kita apa yang kita buat itu salah. Bukan seperti orang lain yang akan beralas-alas sehingga kita tak tahu apa yang kita buat itu sebenarnya salah,” ujar Sherry atau nama sebenarnya Shariffah Mariam binti Syed Al-Hadad.

Pun begitu, apabila persahabatan antara Sherry dan Zulin semakin erat, pernah juga wujud soseh-soseh yang cuba memecahbelahkan persahabatan mereka. Nyata kedua-duanya sudah bersedia dengan situasi sedemikian.

“Walau kami BFF, Zulin anggap saya sebagai kakak. Sebagai kakak, saya selalu nasihatkan dia. kita sama-sama naik dari bawah. Dulu sama-sama susah untuk meletakkan diri dalam industri ni dengan bentul fizikal kami. Jadi, sekarang orang semakin nampak bakat kami berdua.

 



“Zulin ada rezeki dia dan saya ada rezeki sendiri. Tak semestinya kami akan dapat job yang sama. Bila Zulin dapat job A, saya tak dapat, ada yang cuba melaga-lagakan kami. Bagi saya senang sahaja. Mungkin jika dulu pada usia belasan tahun, kami akan melatah. Tapi sekarang ni masing-masing dah matang. Kami fikir job adalah rezeki masing-masing. Tiada perasaan iri hati antara BFF,” ceritanya.

Bagi Sherry, perkara paling perlu dielakkan bersama BFF ialah mengamalkan silent treatment ketika berlaku perselisihan faham. Ini kerana tanpa komunikasi dua hala, berdiam diri tidak akan menjernihkan suasana.

“Macam mana seorang kawan hendak tahu apa salah yang dia lakukan jika kawannya hanya berdiam? Jadi jangan amal silent treatment. Komunikasi perlu ada,” tambahnya.

Masing-masing mempunyai kelemahan diri, Sherry dan Zulin berkongsi rasa dan pengalaman dalam bab menepis dugaan dan ejekan orang ramai. Bagaimana mereka boleh terus berdiri gagah melangkah kehidupan, anda boleh ikuti cerita penuh dalam majalah Mingguan Wanita isu 1693 (29 April-05 Mei 2016) yang sudah ada di pasaran.