Dengan sekali lafaz kira-kira jam 9.53 pagi pada 10 September lalu, Nazim Othman dan Bella Dally sah bergelar suami isteri. 
 
Nazim atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman menyifatkan Bella adalah wanita yang boleh bertolak ansur dan menerima dirinya seadanya.
 
Seperti pasangan lain, ada kalanya badai melanda dan hubungan mereka pernah putus seketika namun mereka sedar hati masing-masing sukar untuk melupakan antara satu sama lain.
 
 
 
 
“Pernah juga dia membuka cerita soal perkahwinan tetapi saya beritahu dia bahawa saya belum bersedia kerana untuk berkahwin itu bukan boleh main redah macam tu sahaja. Berat tanggungjawabnya.
 
“Saya pernah berkata untuk menunggu sehingga usia dia mencecah 25 tahun dan saya sudah bersedia. Alhamdulillah apa yang kami rancang sebelum ini dipermudahkan. Saya yakin untuk memperisterikan dia sebab dia memenuhi ciri-ciri wanita yang saya inginkan. 
 
“Dia adalah seorang wanita dari latar belakang keluarga yang baik-baik, mendengar kata, taat dan tidak pernah sekalipun melawan kata-kata saya kerana dia tahu setiap yang saya katakan itu adalah untuk kebaikan dia.
 
“Itulah antara kualiti yang ada pada diri dia. Selain itu dia seorang yang pandai berdikari dan manis. Jika ditanya tentang tarikan fizikal biarlah saya seorang sahaja yang tahu,” katanya yang pernah menyertai pertandingan realiti Gempak Superstar.
 
 
 
 
Mengikat tali pertunangan pada 14 November 2015, pelakon berusia 32 tahun ini menerima isterinya itu seadanya.
 
“Adatlah manusia ada kelebihan dan kekurangannya. Begitu juga dengan dia, sama seperti manusia lain yang tidak sempurna tetapi sempurna untuk saya. Sama juga dengan saya. Setiap perkara yang dilakukannya pasti akan dirujuk kepada saya terlebih dahulu. Saya suka sifat dia begitu.
 
“Dia pernah terlepas buat silap dan mengakuinya seterusnya meminta maaf begitu juga saya. Saya dahulunya pada usia 28 tahun memang seorang yang garang dan tegas tetapi apabila masuk usia 30 tahun saya mula cool down dan dia terima saya seadanya. Orang lain yang pernah kerja dengan saya memang sudah tahu dan faham perangai saya,” ujar Nazim.
 
Macam mana pula cerita semasa Nazim sakit dan sejauh mana Bella ikhlas menjaga buah hatinya? Ketahui perkongsian menarik pasangan sejoli ini dalam majalah Mingguan Wanita bilangan 1716 07-13 Oktober 2016/06-12 Muharam 1437H yang sudah ada di pasaran.