Bukan mudah untuk pasangan bahagia Nazim Othman dan Bella Dally berkongsi kisah peribadi mereka. Namun untuk pembaca Mingguan Wanita mereka melapangkan diri. Mereka yang baru menjengah ke alam rumah tangga bulan September tahun lalu berkongsi, cara mereka mengenal hati budi masing-masing. Banyak lagi coretan mesra yang harus anda ketahui.

Pasangan dua sejoli ini bersyukur sudah berkahwin, ia membolehkan satu frasa hidup memasuki alam perkahwinan sudah lepas. Membolehkan mereka fokus pada perkara lain. Mereka dalam proses memahami antara satu sama lain. Bella yang merupakan anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini masih merasakan perlu membiasakan dirinya apabila bergelar suri.

Tanggungjawab yang besar dipikul oleh Nazim untuk membawa bahteranya itu ke arah kebahagiaan. Peranan sebagai suami, Nazim akui banyak perkara yang perlu difikirkan untuk melangsaikan tanggungjawab bukan sahaja sebagai pelakon, kepada diri sendiri, ibu bapa dan isteri tercinta.

Masing-masing yakin dengan jodoh yang ditetapkan oleh Ilahi ini. Mereka saling melengkapi dan saling menegur bagi memastikan perkahwinan yang dibina itu kekal hingga ke jannah.

Sukar juga untuk dibayangkan apabila pasangan yang berkahwin atas dasar cinta ini, digosipkan mengalami pergolakan rumah tangga. Menjawab isu itu Nazim, tidak cepat melatah. Dia menyatakan hal itu tidak benar dan mereka baik-baik sahaja. Isu itu terjadi kata Nazim lagi mungkin kerana mereka susah untuk membuat sesi fotoshoot bersama.

“Kawan-kawan wartawan terutama daripada surat khabar memang mengetahui kami ini tidak suka muncul di media untuk bergambar bersama. Sejak kami berkawan lagi kami sering mengelak. Lepas kawin ini kami merasakan perlu mengubah prinsip ini. Untuk itu apabila ada masa dan tidak terikat dengan kerja, kami melapangkan diri untuk dipotretkan bersama,”terang Nazim amat berhati-hati berkongsi kisah peribadi.

Hal peribadi eksklusif milik kami

Aktor milik pelakon yang popular drama bersiri Dejavu di Kinabalu, Kau Yang Terindah, Epilog Cinta Khirana, Sangkar dan terbaru Lara Aisyah ini. Setiap persoalan yang diajukan dia akan berfikir dahulu sebelum lancar menjawabnya.

Prinsip dirinya yang tidak gemar berkongsi kisah peribadi berbanding kerjaya, seharusnya perlu dihormati. Walaupun begitu dia akui, selebriti adalah milik masyarakat dan ia hanya berkaitan dengan kerjaya. Kisah peribadi baginya bukan milik masyarakat. Sebagai seorang insan, perlu ada jadi diri pegangan hidup ini.

Apa yang dikongsi oleh pasangan ini kepada media hanya pada kisah ‘permukaan sahaja dan yang dasar itu’mereka masih simpan dan hanya eksklusif kepada diri sendiri. Baginya jika semuanya diceritakan kepada umum, tiada apa lagi yang tinggal buat dirinya. Untuk itu, dia tidak kisah jika masyarakat ingin mengkritik dirinya tetapi lebih kepada kerjaya bukannya hal peribadi.

Walaupun begitu, baik Nazim mahu pun Bella mereka amat menjaga peminat mereka. Melalui laman sosial masing-masing sentiasa berkongsi gambar kebahagian mereka. Itu salah satu cara mereka mendekati dan menghargai peminat mereka.

“Saya memang suka berkongsi gambar tentang kehidupan saya dengan peminat. Dengan ini saya akan dekat dengan peminat. Lebih sejuta follower, suka dan sentiasa memberi respon positif setiap kali saya berkongsi sesuatu dengan mereka di laman sosial. Saya tidak perlu bimbang unsur negatif kerana semua mereka baik dan menyokong saya sepenuhnya,”jelas Bella suka memasak untuk suaminya.

Sedikit kesukaran buat wanita yang cukup ayu ini untuk menyediakan jaudah buat suaminya yang membesar dari Johor Bharu. Mana tidaknya dia dibesarkan dalam keluarga yang suka masakan ala chinese, Nazim pula suka masakan kampung. Dia cuba mengatasinya dengan belajar dengan melihat video di laman sosial, bertanya resipi dari ibu dan mertuanya. Katanya lagi antara masakan yang digemari Nazim seperti ikan singgang, ayam masak lemak dan sambal sotong.

Bagi Nazim pula, dia amat tersentuh dengan sikap prihatin yang ditunjukkan oleh Bella yang sanggup belajar deminya. Dia tidak mahu cerewet tentang hal itu, kerana dia tahu Bella amat menjaga pemakanannya kerana dia ada gastrik. Jadi dia tidak kisah apa yang di masak oleh isterinya. Ada ketika sahaja dia meminta Bella menyediakan juadah yang ingin dimakan. Itu tidak selalu kerana dia sering balik lewat malam dan Bella juga sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Soal anak kami serah pada Ilahi

Berbicara tentang kehadiran cahaya mata penyeri rumah tangga mereka, pasangan romantik ini mengatakan mereka tidak merancang. Semuanya itu aturan Allah kepada mereka. Mereka perlu bersabar, bertenang dan bersiap untuk menerima si comel. Nazim meminta peminat mendoakan mereka yang baik-baik sahaja dan dia berbesar hati mendoakan yang terbaik buat peminatnya.

Menghayati kehidupan berdua ini, pasangan ini mengatakan mereka lebih suka berada di rumah apabila cuti. Jika ada masa cuti yang panjang barulah mereka merancang untuk melancong. Tempat destinasi yang disukai mereka untuk melihat keindahan alam ciptaan Ilahi seperti pantai.

Seperti juga pasangan yang lain mereka turut menghabiskan masa dengan menonton wayang dan membeli belah. Itu salah satu cara mereka mengubati masa tidak bersama kerana sibuk dengan kerja. Menurut Nazim lagi, dia tidak kisah dan memberi sepenuh kebebasan kepada Bella untuk keluar dengan kawan-kawan atau sepupunya jika dia sibuk bekerja. Dia tidak mahu mengongkong aktiviti isterinya. Cukup bagi Nazim, isterinya memahami dirinya dan dia memahami iserinya. Itu akan menjadi sempadan buat dia dan isteri menjaga batas menjalani kehidupan sebagai insan seni.

“Begitu juga tidak menjadi masalah buat saya apabila berkahwin dan memegang status suami ini untuk berlakon dengan artis wanita. Begitu juga dengan Bella. Kami saling mengingati, tidak boleh hanya satu pihak sahaja boleh bersuara atau menasihati. Apabila berkahwin ini komunikasi itu penting.

Kami masing-masing tahu batas kami dengan pelakon. Lagipun kami ini bukan baru menapak dalam industri. Daripada pengalaman itu kami tahu apa yang boleh dibuat atau tidak.  Sebagai pelakon sejak sebelum berkahwin lagi saya sudah menjaga batas ini. Saya usulkan kepada produser batas yang saya tidak boleh buat dengan pelakon sebelum saya menandatangani kontrak Contohnya aksi ghairah yang boleh menimbulkan fitnah. Ini harus disedari oleh pelakon dan kena berani menyuarakan hasrat diri, dengan ini mereka terhindar daripada gosip-gosip liar,”kata Nazim amat menyukai episod drama Lara Aisyah tidak ada unsur seperti itu, bahkan aksi berpegang tangan.

Sebagai isteri Bella sememangnya sedia maklum batas dirinya sebagai isteri dan mengamalkan apa yang disyariat agama dalam kehidupannya. Selain itu, dia tidak suka terlibat dengan kontroversi. Sebaik mungkin dia mengelaknya. Apa yang dilakukan olehnya dengan menjaga percakapan dan tidak cepat melatah.

Dia amat bertuah keluarganya membesarkan dirinya dengan prinsip-prinsip untuk menghormati orang dan sentiasa menjaga nama keluarga. Untuk itu dia akan berfikir dahulu sebelum mengambil sebarang keputusan.

Lokasi pengambaran: Hotel Swiss Garden, Kuala Lumpur