Sejak melangsungkan perkahwinan, Puteri Sarah dan Syamsul Yusof seolah-olah hilang seketika dari radar dunia hiburan tanahair.

Hanya Syamsul yang menonjol melalui drama bersiri Gerak Khas serta filem terbarunya Munafik. Manakala Puteri Sarah pula dilihat lebih banyak menumpukan perhatian dalam bidang perniagaan gedung muslimahnya iaitu Shara Islamic Fashion World.

Dalam melayari alam berumahtangga, tentu ada masanya berselisih faham. Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri. Bagi Syamsul, jika timbul salah faham, dia lebih suka mendiamkan diri.

“Kita rujuk semula cara hidup Rasulullah. Apabila kita semakin matang, kita akan lakukan  tindakan yang rasional. Biasanya saya akan luahkan dahulu kemudian saya akan mendiamkan diri. Jadi, masing-masing akan sedar tentang kelemahan diri masing-masing.

“Saya masih ingat dengan pesan ayah. Apa jadi sekali pun, kita perlu sabar. Sebagai suami, kita perlu lebih sabar. Selain itu, komunikasi juga penting. Jangan lupa untuk solat berjemaah dengan isteri dan paling penting, suami perlu jadi contoh yang baik kepada isteri,”jelas Syamsul sambil menekankan bahawa berkahwin bukan semata-mata untuk keseronokan sahaja tetapi lebih daripada itu.

Tegas Syamsul lagi, keperitan dan kesusahan yang dilalui dalam sebuah perkahwinan, sebagai jalan kepada pasangan untuk mendekatkan dengan Allah. Katanya lagi, latar belakang agama itu penting untuk keharmonian rumahtangga.

 



“Banyakkan berdoa kepada Allah. Sibuk macam mana sekalipun, cuba luangkan masa untuk mendengar ceramah agama. Ia ibarat makanan untuk jiwa. Jadilah imam yang baik kepada isteri kita,”akhiri Syamsul.

Ditembak soal zuriat, pasangan sejoli ini cukup tenang bercerita keinginan mahu anak. Pernah gugur tetapi mereka redha dan sabar menanti. Macam mana nak sampai tahap kesabaran yang tinggi seperti mereka, ketahui cerita penuh dalam majalah Mingguan Wanita 1688, 25-31 Mac 2016 (16-22 Jamadilakhir 1437 H) yang sudah ada di pasaran.