Datin Red atau nama sebenarnya, Syarifah Nor Shafila Syed Hassim, 30 tahun, bukannya tipikal wanita yang mudah melatah, sebaliknya beliau didik diri dengan kesopanan dan kesantunan Melayu agar terus tabah menghadapi ujian di dalam hidupnya.
 
Usia perkahwinan yang menginjak 11 tahun, pastinya bukan satu tempoh yang singkat. Setiap pasangan memiliki prinsip atau rahsia tersendiri untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga, begitu juga bagi Datin Red dan suaminya. 
 
 
 
 
Sabar adalah sifat yang ditanam dalam diri Datin Red sejak dahulu lagi. Sikap sabar menjadi nadi dalam kehidupan rumah tangganya. Pasang surut dalam hubungan suami, isteri pastinya berlaku tetapi jika kita sentiasa sabar dengan dugaan dan cabaran yang melanda, pastinya rumah tangga yang dibina akan terus bertahan biar pun dilambung ombak tsunami.
 
“Kekuatan dalam rumah tangga saya adalah sabar. Jika kedua-duanya tidak mampu bersikap sabar, memadai saya seorang. Jadi segala perkara yang berlaku akan mudah mencapai jalan penyelesaian apabila salah seorang beralah.
 
“Jangan mengalah dan terus kuat. Ingat Allah sentiasa bersama orang yang teraniaya. Apa yang suami saya lakukan tidak salah kerana poligami adalah halal dan tidak salah di sisi agama. Cuma saya sentiasa berharap suami akan terus berlaku adil, melakukan tanggungjawab yang diamanahkan sebaiknya. 
 
 
 
 
“Dia juga perlu faham, dia yang memilih jalan hidup ini maka dia perlu banyak berkorban dan melakukan yang terbaik agar tiada pihak yang berkecil hati dan terasa. Jangan sesekali melupakan tanggungjawab kepada saya dan anak-anak yang amat memerlukan perhatiannya,” ungkap Datin Red lagi.  
 
Menipulah jika dirinya katakan langsung tidak terluka apabila sang suami memilih untuk membuka cawangan kedua. Sebagai wanita biasa yang tidak boleh lari dengan ujian, beliau cuba melalui ujian getir ini sebaiknya. Setiap kali dirinya menatap gosip dan berita tentang suaminya, cepat-cepat ingat pada tuhan agar dirinya tidak tersalah langkah.
 
Hidup bermadu tidak mudah seperti yang diucap, pasti ada kekuatan dan petua 'ketat' yang Datin Red amalkan bagi mengikat cinta. Untuk ketahui rahsianya, anda boleh dapatkan majalah Mingguan Wanita bilangan 1711 (2-8 September 2016/30 Zulkaedah - 6 Zulhijah 1437) yang sudah ada di pasaran.