Tanggal 27 Februari memadamkan status ibu tunggal pengasas butik SuciByYattHamzah selepas tujuh bulan, hatinya kosong tanpa insan bergelar suami.

Pelakon dan pengacara, Yatt Hamzah sah bergelar isteri kepada Mohammad Zulfadhli Khiruddin, 26 tahun.

 


 

Bicara soal rumah tangga, Yatt bersuara, “Pada awalnya saya tak yakin. Maklum sahaja pengalaman lalu di mana sebagai ibu tunggal, ada rasa takut, trauma dan segala macam lagi. Inilah yang dinamanya jodoh dan saya sudah melakukan solat sunat Istikharah banyak kali untuk terima dia dalam hidup saya,” kongsi Yatt.


Kehilangan Besar Itu Adalah Ujian


Kehilangan bapa tersayang, Hamzah Hashim pada November tahun lalu memberi tamparan hebat buat pengusaha pakaian muslimah ini.

“Saya rindu abah. Abah baru meninggal dan saya baru kehilangan suami sebelum abah pergi. Jadi dua ruang besar dalam hati saya sudah kosong. Mana-mana wanita atau orang di dunia ini akan mengalami perasaan seperti itu. Rasa kosong.

“Jadi, bila ada gosip timbul, saya anggap ia ujian. Kita tahu kalau Allah bagi ujian maknanya Allah sayang. Saya bersyukur dan walaupun saya tidak kuat mana, saya akan cuba bertahan.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat beruntung kerana dikelilingi sahabat-sahabat yang selalu mengajak ke jalan Allah. Saya ingat bahawa ujian itu memang sakit tetapi sakitnya biasa sahaja kalau kita fikir yang dekat akhirat nanti, nikmatnya sangat luar biasa,” luah Yatt.

 


 

Enggan menoleh ke belakang, kisah lalu mahu diluputkan terus dari ingatan. Sebaiknya jelas Yatt, keutamaannya kini adalah kepada suami dan keluarga.

Justeru, dia memutuskan untuk mengunci mulut daripada menjawab sebarang gosip berkaitan dengan masa silamnya termasuk perkahwinannya terdahulu.

“Seriusnya, saya tak suka pandang belakang. Saya tak suka komen balas pada apa yang dah ada. Saya tak nak simbah minyak dan besarkan apa yang sudah marak. Saya pilih untuk tidak komen apa-apa.

“Pada individu-individu yang nak bersuara dan telah bersuara dan akan bersuara, itu hak mereka, terpulang. Saya hormati tetapi untuk saya menjawab dan membalas, itu bukan cara saya.

“Saya nak fokus kepada suami, keluarga dan mahu menjadi wanita yang lebih baik daripada sebelum ini. Saya mahu menjadi isteri yang lebih solehah, mithali dan untuk itu saya perlukan fokus. Saya tak nak fokus pada benda-benda yang tak perlu lagi.

 



“Semua orang tahu saya sayangkan anak saya. Adalah tidak masuk akal saya berkahwin dengan lelaki lain untuk lepaskan jagaan anak. Demi Allah tidak. Anak saya akan tetap bersama saya,” ujar Yatt.

 

Sedikit perkongsian cerita manis rumah tangga dari Yatt Hamzah, untuk ketahui perkembangan terkini dan cara bagaimana wanita ini menepis gosip  dengan tenang anda boleh dapatkan majalah Mingguan Wanita isu 1687, 18-24 Mac 2016 (09-15 Jamadilakhir 1437 H) yang sudah ada di pasaran.