Jika dihitung, sudah tujuh tahun Siti Nordiana atau mesra disapa sebagai Nana hidup sendirian tanpa ditemani suami. Mujurlah ada Rayyan yang menjadi pengarang jantung hatinya. Dilihat seakan-akan sudah serik untuk berumah tangga, menurut Nana dia tidak serik tetapi buat masa ini dia lebih selesa hidup solo. Dia sudah ada Rayyan dan itu sudah mencukupi buatnya.

Bukan tiada lelaki yang mahu mendekatinya tetapi Nana sendiri minta diberi ruang dan masa. Malah, katanya berkahwin bukan perkara yang boleh dibuat main kerana lelaki yang mendekatinya bukanlah serius.

Ditanya tidakkah dia teringin berkahwin lagi namun menurut Nana dia mahu fokus kepada kerjayanya yang sedang ‘ranum’. Di tebak lagi tidakkah Rayyan memerlukan seorang ayah untuk membimbingnya, tegas Nana cukuplah dia seorang yang ada untuk melakukan tugas tersebut.

“Soal jodoh ini biarlah saya serahkan kepada Allah. Namun, setakat ini saya tidak memikirkan soal jodoh. Biarlah ia berlaku dengan sendirinya. Saya mahu fokus pada kerjaya terlebih dahulu. Memang ada yang cuba mendekati saya namun mereka tidak serius.

 



“Berkenaan dengan Rayyan, dia tidak kisah pun sama ada saya kahwin lain atau tidak. Namun, dia pernah juga bertanya kepada kenapa kawan-kawan sekolah ada papa tetapi dia sebaliknya. Saya katakan kepada dia mama kan ada.

“Kalau boleh, saya mahu lelaki buat saya rasa disayangi dan dikasihi. Dia kena terima saya dan anak seadanya dan paling penting boleh bimbing kami ke syurga,” katanya.

Sebagai artis, penampilan diri dan kesihatan haruslah dijaga. Dalam menjaga kesihatan dan kecantikan diri, Nana tidak begitu cerewet. Namun, Nana ada cara sendiri untuk menjaga kesihatan dan kecantikan. Nak tahu apa rahsianya, dapatkan senaskah Mingguan Wanita bilangan 1705 (22-28 Julai 2016/17-23 Syawal 1437H) yang sudah ada di pasaran.