Bagi kebanyakan wanita, jika jodoh tak panjang, dia tetap boleh berdiri demi anak-anak. Apa lagi jika punya anak masih kecil yang memerlukan corak perjalanan lebih indah dan bahagia, langkah kaki akan diatur agar tidak lama terduduk jadi orang yang gagal.

Pada usia 31 tahun ini, Izreen Azminda Aznam sudah digelar ibu tunggal dan sudah tentu perjalanan hidup masih lagi panjang buat diri dan anaknya. Apatah lagi, dengan melihat orang lain hidup bahagia melayari rumah tangga, pasti Izreen pun tidak terkecuali.

“Buat masa sekarang, saya tidak mahu memikirkan tentang pengganti. Tidak dinafikan, kadang-kadang ada juga terdetik untuk ada seorang teman, apatah lagi melihat kebahagiaan orang lain. Namun, segala saya tolak ke tepi dan biarkan sahaja umpama angin berlalu.  


“Bukan apa, saya kadang-kadang terfikir, bagaimana penerimaan pasangan kita, lebih-lebih lagi saya sudah mempunyai seorang anak. Mampukah dia menerima anak saya atau berpura-pura baik untuk rapat dengan kita,” tambah Izreen lagi.

Bagi Izreen, perkataan ‘serik’ itu tidak pernah ada dalam dirinya, Cuma buat masa sekarang, beliau selesa dengan kehidupan ini tanpa sebarang ikatan.

“Tipulah, kalau saya katakan tidak ada yang ingin serius dengan saya, tetapi bukanlah masa sekarang kerana ada juga teman lelaki yang masih belum mencapai target dengan apa yang saya inginkan,” katanya yang mengimpikan lelaki yang mampu menjaga dirinya dan kewangan yang stabil untuk keluarga.

Sambil tergelak, Izreen mengatakan dia tidak suka dengan lelaki yang lebih berusia. Namun tidak menolak jika dijodohkan dengan lelaki lebih muda.

“Semua ini adalah cita rasa masing-masing. Namun, bagi saya, jodoh dengan lelaki muda bukan untuk menarik perhatian tetapi lelaki itu perlu ada kewangan yang stabil dan kukuh.
 


Penjagaan Anak

Setelah berpisah dengan bekas suami dua tahun yang lalu, Izreen telah diberi hak penjagaan sepenuhnya kepada Muhammad Adrian Umar, 3, anak lelaki tunggal. Walaupun di bawah jagaannya, Izreen langsung tidak menyekat pertemuan antara ayah dan anaknya.

“Kalau ada waktu cuti, bekas suami akan datang untuk mengambil Adrian untuk menghabiskan masa dengannya. Saya tidak pernah mengehadkan hubungan antara anak dengan ayahnya. Malah, rumah kami berdua pun berdekatan. Jadi, saya tiada masalah untuk meminta bantuan daripadanya bila diperlukan,” jelas Izreen.

Tambah Izreen lagi, dia beruntung kerana emaknya sanggup datang dari kampung dan tinggal bersama untuk menjaga Adrian. Sementelah, kehadiran emak ini sedikit sebanyak membantu Izreen sepanjang tidak ada di rumah.

Apakah perkembangan dalam dunia lakonan terkini dan rezeki selepas bertudung, anda boleh ikuti dalam majalah bilangan 1709 (19-25 Ogos 2016 / 16-22 Zulkaedah 1437) yang sudah ada di pasaran.