Bercerita mengenai anak membuatkan model, pelakon, pengacara, duta produk dan ahli perniagaan yang nama sebenarnya adalah Nor Fouziah Mohd Gous ini teruja. Keterujaannya itu turut dikongsi oleh peminat dan mereka yang mengenalinya.

“Jika dahulu soalan yang sering saya terima adalah berkaitan diri sendiri. Kadang-kadang berkaitan dengan suami. Tetapi kini soalan mereka semuanya menjurus kepada Muhammad Zeeshan bin Md Zhafran.

“Saya nombor dua. Zeeshan nombor satu. Itu biasalah selepas bergelar ibu ini. Orang lebih banyak bertanya mengenai anak jika dibandingkan dengan diri saya. Malah ke mana sahaja saya pergi, orang akan bertanya. Di mana Zeeshan? Tidak bawa baby kah?,” ujar Fouziah sewaktu ditemui di kediaman keluarga, lokasi penggambaran penghias muka hadapan MW kali ini.

Kehadiran Zeeshan membawa sinar dan kebahagiaan ke dalam keluarga Fouziah dan suaminya Md Zhafran Md Yusof. Dia dan suami sama-sama menjaga dan mendidik bayi pertama mereka dengan penuh kasih sayang.

“Itulah cara saya dan suami mendidik anak sulung kami ini. Zeeshan masih kecil, baru berusia lapan bulan (sewaktu temuramah dilakukan). Masa hadapannya masih lagi panjang. Setakat ini Zeeshan dijaga dengan penuh kasih sayang.

“Saya menjaganya sendiri di rumah. Dia tidak dijaga oleh pembantu rumah. Selama ini pun saya tidak pernah meninggalkan anak seorang diri di rumah di bawah penjagaan pembantu rumah. Kalau saya keluar pun, hanya ibu mentua sahaja yang menjaganya.

“Apabila anak dijaga sendiri, saya lebih banyak bercakap dengan dia. Saya sedar cara yang saya lakukan itu membuatkan anak jadi lebih bijak. Zeeshan ini baby tetapi kadang-kadang dia terlalu bijak dan faham  apa saya kata.Dia seorang baby yang sangat baik. Dia tidak pernah menyusahkan saya.

Sebagai wanita, kesihatan dan kecantikan perlu dijaga. Fouziah tidak ada rahsia sebaliknya dia tidak lokek berkongsi amalan penjagaan kecantikan dan kesihatannya. Nak tahu apa amalan ibu muda ini? Dapatkan majalah Mingguan Wanita bilangan 1713 (16-22 September 2016/14-20 Zulhijah 1437H) yang sudah ada di pasaran.