Mungkin peminat mahupun pendengar di luar sana tertanya-tanya tentang pendapatan kewangan apabila tidak lagi bekerja. Bagi Farah Fauzana Mohd Fadzil, 36, atau lebih dikenali Fara Fauzana semua itu sudah dirancang sejak dari awal lagi dan cuba lakukan apa yang sepatutnya apabila tidak lagi bekerja.

“Apabila berhenti sudah tentu kita merancang segalanya. Kita tidak boleh jangka apa yang akan berlaku nanti. Jadi, saya selesaikan apa yang patut saya bayar, supaya dalam tempoh berehat ini saya tidak perlu memikirkan tentang ini.

“Sebab itulah, setiap kali ke kelas agama, hati saya merasa tenang dan berserah pada kehidupan sekarang. Langsung tidak merasa susah hati dan redha atas segalanya,” katanya dengan penuh makna.

Sebagai seorang yang mementingkan perancangan, dia sudah pun menyenaraikan perkara-perkara yang patut dilakukan selepas berhenti.

1. Nak melancong
2. Belajar untuk tingkatkan kefahaman komunikasi
3. Mengaji untuk mendalami bidang keagamaan


"Secara kebetulan, aturan ini menjadi apabila saya ditawarkan ke New Zealand, Australia, Filipina dan beberapa negara Asia atas urusan kerja,” katanya.

“Langsung tidak rindu!” Itulah jawapannya apabila ditanya perasaan Farah selepas meninggalkan dunia deejay. Baginya, dia hanya tinggalkan kerjaya deejay di konti tetapi di luar sana, dia turut berkongsi tentang penyampaian radio berdasarkan kepada pengalamannya sebelum ini.

“Walaupun tidak lagi ke udara tetapi saya masih menerima tawaran untuk memberi ceramah tentang penyiaran radio di universiti dan kolej. Saya juga terlibat dalam program-program berbentuk kemasyarakatan,” katanya yang turut mengambil kursus dalam meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan kelas-kelas keagamaan.