Mendekati dan menyelami kehidupan AG atau nama sebenarnya Azmir Ahmad, 36, dan isteri tercintanya, Emelda Amir, 35 anda pasti kagum dengan cara pasangan muda ini mendidik empat hero mereka.

Biarpun sibuk sebagai penyampai radio, AG yang sebelum ini bertugas di Hot FM, memberitahu, dia dan isteri mahu kehidupan keempat-empat anak lelaki mereka seimbang, dunia dan akhirat.

“Sebagai anak lelaki, mereka akan menjadi khalifah dan ketua keluarga apabila dewasa kelak. Jadi saya dan isteri perlu melentur mereka sedari kecil. Melentur buluh biar dari rebungnya. Itu pegangan saya dalam mendidik empat hero ini. Kalau dah besar baru nak didik, susah sikit untuk membentuk peribadi seseorang. Sebab itu demi anak-anak, kami berdua sanggup lakukan apa sahaja. Saya tidak kisah sama ada, mendapat semua anak lelaki mahupun semua perempuan, ia tidak menjadi soal, yang penting bagaimana kami mahu membesarkan anugerah terindah Allah ini dengan sebaik-baiknya.”

 


 

“Saya suami isteri menerapkan nilai yang baik dalam diri kami, agar menjadi contoh yang baik untuk anak-anak. Kami adalah acuan dan cerminan mereka. Depan anak-anak, saya berusaha untuk tidak bercakap kasar sebaliknya bertegas jika mahu mendidik mereka melakukan sesuatu. Saya juga akan meringankan tulang membantu isteri, jika berada di rumah. Semua ini adalah contoh untuk mereka, bahawa kerja rumah tangga bukan hanya untuk orang perempuan sahaja. Lelaki pun mesti memberi kerjasama, baru semua urusan menjadi mudah dan ringan. Kerana itu mereka turut diasuh untuk membantu ibu mereka di rumah,” ujar AG berkongsi cara bagaimana dia mendidik hero-hero kecilnya memulakan tanggungjawab terhadap keluarga.

Selain menerapkan nilai-nilai baik dalam urusan dunia, AG juga tidak mahu ketinggalan memberikan tunjuk ajar kepada anak-anaknya mengenai urusan akhirat. Bagi bapa penyayang ini, didikan agama mesti kukuh, baru seseorang itu mampu mengawal dirinya dalam urusan dunia.

“Saya tidak mahu menjadi ayah yang terlalu garang atau terlalu bertegas. Saya mahu didik anak, sebagaimana ayah saya didik saya dulu. Ayah sangat pentingkan didikan agama, kerana itu ayah bertegas dengan saya dulu. Namun saya tetap berusaha memahami dunia kanak-kanak, zaman teknologi ini. Saya faham, kanak-kanak sukakan kebebasan untuk melakukan apa yang mereka suka. Tetapi sebagai orang tua mereka, saya akan mengawal agar kebebasan yang diberi tidak tersalah guna. Bukan semuanya boleh dibuat sesuka hati.

“Menyedari tanggungjawab besar inilah, saya dan isteri mengambil keputusan untuk menghantar kesemua anak-anak ke IHES School Subang Bestari. Saya berharap mereka mendapat pelajaran dunia dan akhirat mereka seimbang. Kerana itu. mereka terpaksa bersusah payah sedikit mengikuti jadual waktu persekolahan mereka, dari jam 8 pagi hingga 4 petang. Tidak mengapa kerana semua ini untuk kebaikan masa depan mereka juga,” ujar AG panjang lebar mengenai cara dia mendidik anak-anak syurganya.

Menurut AG lagi, walau ke mana pun anak-anaknya pergi, atau apa pun pekerjaan mereka nanti, dan apa jua amanah yang akan mereka pikul kelak, dia berharap anak-anaknya mendahulukan agama dalam kehidupan mereka berbanding perkara-perkara lain.

“Saya juga mahu mereka menjaga tutur bahasa dan adab sopan. Dari sekarang saya sudah tegaskan kepada mereka, gunakan bahasa yang baik-baik ketika bersama adik-beradik. Guna gelaran yang baik sesama sendiri. Saya mahu mereka akrab sampai mereka dewasa.  Kalau tidak dimulakan dari rumah bagaimana mereka mahu terapkannya di luar rumah bersama masyarakat,” ujarnya.


Tolak ansur dalam rumah tangga

Dalam mencari kebahagiaan berumah tangga, suami mahupun isteri harus sama-sama bertolak ansur. Sedia berkorban masa dan tenaga, apa lagi jika pasangan bertugas untuk masyarakat ramai. Jika salah seorang sedang sibuk, seorang yang lain harus memainkan peranan untuk kelancaran rumah tangga. Jangan terlalu berkira. Inilah yang diamalkan oleh AG dan Emelda dalam membentuk rumah tangga bahagia mereka.

“Ini tidak menjadi masalah. Saya akan ambil alih peranan suami. Saya tahu saya perlu bersabar dan berkorban untuk kebahagiaan rumah tangga kami. Lagipun AG seorang suami yang amat bertanggungjawab dan sayangkan keluarga. Jika bertugas di luar kawasan, dia akan sentiasa menelefon ke rumah berbual dengan saya dan bertanya khabar dengan anak-anaknya. Biarpun dia bertugas jauh tetapi kami sentiasa berasa dekat dengannya,” ujar Emelda.

Menurut Emelda lagi, mereka sering melakukan aktiviti keluarga bersama-sama, jika AG ada masa lapang. Tetapi sekiranya, AG sibuk dengan tugas, dia akan membawa anak-anaknya melakukan aktiviti yang digemari anak-anak untuk mengelakkan mereka daripada rasa sunyi kerana ketiadaan ayah.

“Bukan senang untuk saya dan AG mendidik empat anak lelaki yang menjadi amanah kami ini. Dalam zaman sekarang, kekuatan mental ibu ayah amat penting agar anak yang diasuh menjadi orang berguna apabila mereka dewasa kelak. Kami sentiasa memastikan anak-anak rapat dengan kami. Hubungan erat dalam keluarga antara cara untuk mengelakkan mereka tersalah langkah di rumah atau tersalah memilih kawan. Saya dan AG berusaha untuk menjadikan mereka anak-anak yang berkualiti dunia dan akhirat,” ujar ibu penyayang ini dan turut memberitahu dia dan suami sering tidur bersama anak-anak untuk memberikan rasa nyaman dan selamat kepada anak-anak.

“Biar mereka terasa kami sentiasa ada bila mereka memerlukan kami,” ujarnya lagi.

 


 

AG turut mengakui, dia amat berterima kasih kepada Emelda kerana sangat  memahami tugasnya dan sentiasa memberi sokongan. Walaupun isterinya terpaksa berhenti kerja untuk memastikan anak-anak tidak terabai, namun AG memberi galakan untuk Emelda mengusahakan butik agar dia ada kariernya sendiri.  Selain itu Emelda Butik diwujudkan untuk masa depan mereka sekeluarga.

Berkongsi tentang perkembangan dunia karier AG terkini, suaranya tidak asing di corong radio. Pastinya ada 'warna-warna' indah terselit sepanjang dia bergelar DJ radio. Namun anda boleh ketahui cerita lebih jauh menerusi sisipan dalam ruangan Wajah Penghias majalah Mingguan Wanita isu 1992 yang sudah ada di pasaran.