Artis yang cukup dikenali dengan lagu Bungaku Bakawali ini mengejutkan peminatnya dengan berita perceraian ketika perkahwinannya baru berusia setahun. Elly yang berkahwin pada 9 November 2014 telah bercerai pada 15 Oktober tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.  

Kegagalan perkahwinan nyata memberi impak negatif dalam hidup Elly. Dia mengakui serik bernikah lagi. Memang Elly tahu ini semua dugaan Allah.

“Dengan apa yang berlaku dalam hidup saya, saya sudah tidak percaya pada lelaki. Memang saya tidak boleh menghukum semua lelaki sama tetapi biarlah masa yang menentukan. Apa yang berlaku ini ada hikmahnya agar saya lebih berhati-hati. Biarlah saya korbankan perasaan sendiri asalkan anaknya, Putri Sara Sefhia mendapat sepenuhnya perhatian. Dalam masa terdekat ini saya tidak mahu terlibat dengan cinta lagi. Bimbang tidak mampu memberi sepenuhnya kasih sayang pada Sefhia.

 


“Saya akan tolak segala perasaan demi Sefhia. Lebih selamat saya mengelak daripada membuat kesilapan sekali lagi. Biar saya bersusah sekarang asalkan senang kemudian hari. Sefhia tetap perlukan kasih sayang seorang ayah. Oleh itu, saya berharap bekas suami saya menjalankan tanggungjawabnya kepada anaknya ini. Walaupun kami sudah tidak ada sebarang ikatan lagi,” kata Elly yang sedang dalam proses mendapatkan hak penjagaan sepenuhnya terhadap Sefhia.

Nasihat Elly buat wanita yang melalui proses perceraian, jangan terlalu lemah. Tidak mengapa jika mahu menangis tetapi jangan meratapi terlalu lama apa yang terjadi. Jangan menyeksa diri sehingga tidak makan, kurus dan tidak bermaya. Lihatlah orang sekeliling yang masih ramai sayang pada kita. Fikirkan nikmat lain yang diberikan Allah.

Pastinya kehadiran anak, Sepfhia mampu mengubati hati yang pernah terluka, tetapi bagaimana dia mendapatkan kekuatan untuk menguruskan anak tanpa ibu dan suami di sisi, anda boleh ketahui dalam majalah Mingguan Wanita bilangan 1704 (15-21 Julai 2016/10-16 Syawal 1437H) yang sudah ada di pasaran.