Mengetahui pasangan berlaku curang memang satu perkara yang menyakitkan hati. Hati mana yang tidak terluka dan rasa tertipu bila mengetahui kepercayaan dan kesetiaan yang diberikan dibalas dengan kecurangan. Amarah rasa meluap-luap dan geram hingga ada yang bertindak menyerang pasangan dan rasa hilang hormat padanya.
Namun begitu, usah bertindak seperti orang hilang pertimbangan. Kelak diri sendiri akan dipandang rendah. Sebaliknya, sebagai wanita matang dan bijak, ini yang perlu dilakukan saat mengetahui pasangan berlaku curang.
1. Kawal Emosi Dan Belajar Terima Hakikat :
Kenyataan tetap kenyataan.Tetap perlu berhadapan dengan kecurangan yang dilakukan. Ketika mendapat tahu berita kecurangan pasangan, mungkin merasa begitu lemah sekali, sakit hati, terasa dikhianati, marah dan ingin membalas dendam. Ini adalah respon normal setelah mengetahui ketidakjujuran dilakukan pasangan. Sebab memang layak untuk rasa marah dan juga berasa sakit hati.
Apa yang paling utama, jangan terlalu ikutkan hati dan terus ingin meninggalkannya. Berfikirlah tentang baik dan buruk tindakan sebelum melakukannya. Sesungguhnya memang sukar tapi inilah realiti yang perlu diterima. Belajar untuk terima kenyataan walaupun pahit.
Ads
2.Tidak Menyalahkan Diri Sendiri :
Kecurangan adalah petanda besar bahawa sesebuah perkahwinan itu bermasalah. Oleh itu adalah penting tidak menyalahkan diri sendiri dalam hal ini. Sudah tentu ia bukan berpunca daripada diri kita seorang. Bahkan jika pasangan berasa tidak gembira dengan perkahwinannya kecurangan bukanlah jalan keluar atau penyelesaiannya. Masih banyak perkara lain yang boleh dilakukan untuk memperbaiki rumah tangga dan bukannya dengan mencari pasangan lain.
3. Mencari Sokongan Daripada Orang Yang Boleh Dipercayai :
Dalam hal ini rakan dan keluarga selalunya menjadi tempat mengadu nasib. Tapi sebelum berbuat demikian, hati-hati rakan yang diajak untuk berbicara tentang kecurangan pasangan. Kesilapan memilih rakan kadang kala memakan diri sendiri. Apatah lagi jika rakan itu jenis suka membawa mulut dan membesar-besarkan cerita yang ada.
Ads
Carilah sokongan daripada orang yang boleh percayai dan kenali luar dan dalam. Selain itu pastikan juga rakan yang dipilih adalah seseorang yang dapat memberi sokongan dan pendengar yang baik. Bukannya memperdebatkan kembali apa yang dikatakan. Selain itu, boleh juga dapatkan nasihat dan pandangan daripada orang-orang yang berpengalaman seperti ibu bapa, kaunselor atau pakar dalam masalah rumah tangga.
4. Pertimbangkan Pilihan Secara Rasional:
Kecurangan pasangan sememangnya sesuatu yang cukup menyakitkan hati. Kalau diikutkan hati yang marah dan sakit anda tentu mahu memutuskan saja hubungan. Biar hidup sendiri dari terus memakan hati. Tapi ingat jangan membuat keputusan mengikut emosi marah. Berikan masa untuk perasaan kembali tenteram.
Ads
Selepas itu fikirkanlah pilihan yang ada. Mahu cuba kembali, bermadu ataupun berpisah? Namun begitu, perpisahan seharusnya menjadi perkara terakhir dalam fikiran terutama sekali jika telah dikurniakan anak-anak.
5. Cinta Pada Ilahi
Perkahwinan adalah suatu ikatan yang mulia. Berusahalah untuk terus menggapai erat ikatan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta pada Ilahi bukan pada manusia semata-mata. Perbanyakan mendekatkan diri pada tuhan, sentiasa berfikiran positif dan berusaha memaafkan pasangan dengan ikhlas. Meskipun rasa sukar, anggaplah kecurangan pasangan itu sebagai salah satu ujian dan gerhana di dalam perkahwinan. Walaupun pada suatu ketika keadaannya gelap dan sukar, namun sinar bahagian pasti akan menerangi kembali.
Info Ekstra!
Menurut laporan Lembaga Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (LPPKN) sejak Januari hingga Julai 2016 mendapati bahawa sebanyak 48,077 kes perceraian melibatkan pasangan beragama Islam telah direkodkan dalam masa tujuh bulan.
Kajian yang cukup membimbangkan ini, mendapati kebanyakan penceraian berlaku kalangan pasangan yang berkahwin dalam tempoh kurang dari lima tahun. Sikap curang, tidak bertanggungjawab dan tiada persefahaman antara satu sama lain merupakan punca utama penceraian dalam tempoh ini.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Telus atau simpan? Hendak kena buka rahsia atau hendak bercerita? Persoalannya, perlukah memberitahu pasangan tentang kisah silam kita?
Pakar Motivasi & Kaunselor Keluarga, Dr Robiah K Hamzah menjelaskan kekuatan sesebuah pasangan itu adalah bersandarkan kepada keyakinan, kepercayaan dan ketelusan.
“Tetapi perkataan telus dan tulus itu dua benda yang berbeza. Ada masa ada benda yang kita boleh cerita, boleh telus. Dan ada masanya kita kena close (simpan). Ertinya tidak semua benda yang kita kongsi itu hasilnya baik.
“Kadang-kadang kita kata kongsi itu baik, tetapi kalau hasilnya tidak baik, ia akan menjadi satu benda yang menjadi pekung yang agak sulit untuk diubat. Berhati-hati dan pilih-pilihlah yang mana hendak dikongsi dan yang mana hendak disimpan sebab menyimpan itu menjadi satu kekuatan untuk menjaga harmoninya hubungan.”
Apa Yang Perlu Disimpan Dan Apa Yang Perlu Dikongsi?
Jelas Dr Robiah lagi sewaktu menghuraikan topik Telus Atau Simpan di Mingguan Wanita Talkshow yang bersiaran dari pukul 12.00 hingga 1.00 tengah hari di saluran ASTRO Prima 105, kekuatan sebagai pasangan, mereka hendak tahu adakah masa silam itu menguntungkan atau tidak.
Sebagai contohnya, tanyalah pasangan, diri anda itu teman wanita yang ke berapa? Perlukah pasangan anda menjawab persoalan ini? Dan jika ada pergaduhan berlaku selepas jawapan diberi, bermakna anda sebagai isteri tidak tulus dan telus dengan pasangan anda.
“Oleh itu apabila kita mendapat pasangan, kita terima mereka dengan cantik di luar dan cantik di dalam. Tidak ada perasaan prasangka dan buruk sangka serta tidak mengaitkan lagi kisah silam. Kisah silam itu sudah lepas. Semalam sudah jadi kenangan.Esok belum datang lagi. Kita hanya punya hari ini. Kalau esok bergaduh, apa akan jadi.”
Pakar Motivasi & Kaunselor Keluarga, Dr Robiah K Hamzah menghuraikan topik Telus atau Simpan di Mingguan Wanita Talkshow di saluran ASTRO Prima 105.
Kepada pasangan yang hendak berkahwin yang mengalami isu Telus atau Simpan, nasihat Dr Robiah ini boleh anda ikuti.
“Perkara pertama, apa yang kitab oleh buat kalau kita ada banyak ‘sampah’ dengan pengalaman masa lalu, kita berdoa dengan Allah. Kalau inilah jodoh yang Kamu temukan sekarang, maka bantu aku supaya dia (bakal pasangan hidup) tidak Nampak semua sampah.
“Perkara kedua, kalau kita yakin itulah pasangan kita, kita minta dengan Allah simpan semua yang tidak cantik sebab Allah sahaja yang mampu tutup, Allah yang mampu ubah dan Allah yang mampu buka.
“Sebab itu juga bila kita kata menikah, kita menikah dengan nama Allah. Oleh itu jagalah hubungan itu dengan nama Allah. Serahkan pasangan pada Allah. Terima pasangan seadanya. Apa yang berlaku sebelum itu bukan hak aku.
“Secara fitrahnya kita tidak mahu terima buruk orang. Jadi secara realitinya jika anda sayangkan pasangan, sayanglah dia sebab apa yang dia ada. Bukan sayang dia sebab pengalaman lalu.”
Tidak Tenang Selagi Tidak Cerita?
Jika ini berlaku pada wanita, apa yang boleh dilakukan? Ini nasihat Dr Robiah.
“Yakin pasangan itu dengan ikhlas. Sebab itu kita perlu berterus-terang dengan pasangan. Pilihan itu di tangan kita, bukannya pasangan. Suami hendak bercerita atau tidak, itu pilihan dia. Tetapi bukan pilihan kita sebagai isteri.
“Oleh itu berfikirlah seratus kali sebelum bercakap sekali. Maknanya ingat hujung dahulu. Jika kita bercerita apa yang akan terjadi? Adakah kita anggap diri lebih baik atau lebih buruk jika bercerita? Kekuatan yang hendak dibangun bukanlah proses cerita itu tetapi kesan cerita itu. Sebab itu agama telah pesan, yang sudah tidak baik cerita kalau tidak ada untungnya.”
Pesan Dr Robiah lagi keharmonian dalam rumah tangga itu penting. Jangan percaya cakap orang luar mengenai pasangan anda.
“Jika kita percaya cakap orang daripada suami, bermakna kepercayaan kita terhadap suami itu telah pecah. Jika anda percaya pada orang luar daripada orang dalam rumah kita sendiri, bermakna anda telah menjadi isteri yang tidak baik.
“Apa yang tidak cantik tidak perlu cerita kerana hasilnya tidak cantik. Sebab itu keluarkan apa yang boleh eratkan lagi hubungan. Kita tidak mahu terima semua yang orang kata itu betul dan kita juga tidak boleh nafikan semua itu salah.Maka pengakuan pasangan itu penentu kepada cerita yang terbang ini.”
Akhir kata, pesan Dr Robiah lagi, teluslah kalau itu membawa ke syurga. Simpanlah kalau itu jadi racun.
“ Bangun kekuatan supaya keluarga anda jadi bahagia. Nasihat saya kepada suami, pimpinlah keluarga anda untuk masuk syurga bukan masuk neraka. Maka suami mesti pegang tangan isteri dan anak-anak. Jika itu yang ada dalam kepala suami, semuanya akan menjadi baik.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Selepas suami meninggal, anak kecilnya langsung tak boleh berenggang dengannya. Tak boleh langsung hilang dari pandangan anak. Nanti anaknya akan menangis ketakutan. Awalnya, ibu ini sangka itu perasaan biasa yang anak lalui selepas kehilangan ayah tercinta.
Tapi anaknya mula menunjukkan 5 perubahan sikap ini. Setiap perubahan itu menunjukkan tanda-tanda ke arah ‘separation anxiety’ . Sudahnya ibu ini, Zureiny Zulkafly sukar untuk membuat rutin harian disebabkan anak yang tak boleh berenggang.
Perubahan Sikap Anak Dan Tanda ‘Separation Anxiety’
“Ibu”. Telinga saya menangkap laungan Aina. Nyaring dari dalam bilik tidur.
Berkerut juga dahi. Kuat sungguh jeritan Aina memanggil saya sedangkan rumah kami bukannya besar mana pun. Kalau dicari, dia akan bertemu saya di dapur.
Saya diam sahaja. Tidak menyahut walau sepatah. Anggapan saya, dia akan keluar bilik dan mencari saya yang sedang mencuci pinggan.
“Ibu!” Laungannya semakin kuat. Darah saya mula menyirap. Hati saya mula hendak marah. Saya basuh tangan dan bergegas ke bilik. Mulut saya mula membebel.
Tidak sampai 20 langkah, saya sudah tercegat di depan pintu bilik. Saya terkedu. Wajah Aina basah dengan air mata. Melihatkan keadaan si anak, hati saya luluh. Saya hampiri Aina dan memeluknya kemas.
“Kenapa ni dik?” tanya saya sambil mengelus rambutnya yang melekat di wajah yang basah.
“Adik nak ibu,” balas Aina dengan sisa esak yang terputus-putus. Dia merangkul saya seeratnya seakan tidak mahu melepaskan.
“Ibu ada. Ibu tak ke mana pun.” Saya mencium ubun-ubunnya dan memeluk Aina dengan lebih rapat. Saya mahu dia rasa nyaman dan selamat. Hati saya mula dipagut kesedihan yang teramat.
Itulah antara drama-drama Aina sepanjang tempoh dia menyesuaikan diri dengan hidup kami tanpa hubby. Kalau tidak silap, hampir 6 bulan juga saya bergelut dengan pergolakan emosi Aina.
Sejak itu, saya mula memahami tentang ‘separation anxiety’ ataupun perpisahan sementara. Saya sangkakan ia perkara biasa. Fikir saya, mungkin kerana dia terlampau rindukan ayahnya. Malah saya ingat anak saya akan pulih seiring peredaran masa.
Salah saya. Saya ambil mudah perkara ini. Ini kerana saya tiada masalah dengan anak sulung sewaktu dia sebaya Aina. Saya selalu sangka Aina mengada-ngada kerana perlukan perhatian.
‘Separation anxiety’ ini perkara normal sehinggalah anak-anak berusia 5 tahun. Mereka menjadi takut atau cemas berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaga yang rapat dengan mereka.
Cuma ia berbeza dengan keadaan Aina. Pada saya simptomnya seperti ‘separation anxiety’ tetapi ia semakin parah kerana Aina berdepan dengan kecelaruan perasaan selepas pemergian ayahnya.
SUKAR BERENGGANG
Aina semakin jelas sikapnya yang tidak mahu berenggang langsung dengan saya. Anak saya cepat panik bila sedar saya hilang dari pandangan. Seterusnya, dia akan cemas kalau saya tiada di sisinya. Si kecil saya ini takut saya hilang sepertimana ayahnya hilang.
Setiap kali tidur, dia akan berkepit dengan saya. Bila terjaga di tengah malam dan sedar dia jauh dari saya, Aina akan bangun dan kembali tidur di sisi saya. Aina juga tidak mudah melepaskan saya keluar tanpa membawanya bersama.
Pada awalnya saya menyangka ini perkara biasa tetapi bila berlebihan, ia menyulitkan pergerakan harian saya.
RASA TIDAK PERCAYA
Sikap tidak percayakan saya sangat mengganggu emosi sebenarnya. Saya pula yang jadi tertekan kerana Aina memang tidak percayakan saya. Pergerakan saya seperti diawasi. Tindak tanduk saya diperhati. Mujurnya, saya bekerja di rumah. Sepanjang masa saya bersama Aina dan dia akan pastikan saya sentiasa di matanya.
Dia sentiasa curiga dengan sikap saya. Pandangannya sentiasa mencari saya walaupun dia sedang bermain ketika itu. Dia sukar rehat waktu siang kerana bimbang saya akan tinggalkan dia.
TAKUT PADA ORANG LAIN
Saya akui, kedua-dua anak saya sukar untuk mesra dengan orang lain selain daripada saya, hubby dan ahli keluarga yang biasa dengan mereka. Namun, ketakutan Aina sangat ketara. Sukar untuk sesiapa mendekatinya.
Aina bersikap pemerhati. Dia tidak akan memulakan perbualan. Jauh sekali menegur orang di sekeliling. Walaupun Aina anak yang lincah dan aktif, dia akan menjadi diam tiba-tiba bila ada orang lain di sisinya.
KERAP MENJERIT
Aina seorang anak kecil yang manja dan dia rapat dengan arwah ayahnya. Sewaktu hubby pergi, Aina baru berusia 4 tahun. Dia sukar memahami apa yang terjadi. Aina mencium ayahnya sebelum dikafan, menanti dengan sabar ketika solat jenazah, mengiringi ayahnya ke kubur, melihat jasad ayahnya dikambus tanah, mendengar tazkirah malah Aina menyiram air di pusara ayahnya.
Dia melihat kesemua proses itu tetapi dia tidak mengerti. Aina menafsir si ayah tidur di kubur dan akan bangun pagi seperti biasa. Malah dia juga menganggap si ayah pergi kerja dan dia tetap menunggu ayahnya balik. Anak kecil saya ini pernah minta saya ‘bertukar’ tempat dengan hubby. Ini kerana, dia mahukan ayahnya kembali.
Apabila permintaan ini tidak dapat ditunaikan, Aina akan menjerit dan membentak. Apabila sedar penantiannya sia-sia, Aina jadi pemarah dan melawan saya. Allahu Akbar. Saya masih tidak boleh lupakan seksanya jiwa Aina ketika ini.
SUKA MENANGIS DAN MERAJUK
Saya pun sukar untuk menyesuaikan diri kerana apa yang saya buat jadi serba tak kena. Sudahnya Aina menangis dan merajuk hingga sukar dipujuk. Tidak tentu arah saya dibuatnya.
Perubahan sikap Aina memberi impak yang besar kepada emosi saya juga. Sudahlah ketika itu saya sibuk menyelesaikan urusan hubby. Saya pun masih di dalam ‘iddah dan berkabung. Saya sendiri sedang bergelut untuk menguatkan diri sendiri ketika itu. Bila dia merasakan saya tidak memberi tumpuan padanya, Aina akan tantrum tanpa sebab.
Saya mahu anak-anak saya hidup secara normal. Walaupun tanpa seorang ayah, saya mahu hidup mereka teratur dan bahagia. Saya cuba memahami emosi seorang anak remaja dan seorang anak kecil. Berat ujian saya tetapi inilah pengalaman. Inilah ilmu yang Allah buka untuk saya fahami.
Setiap ujian ada hikmah. Setiap yang payah ada yang mudah. Yang penting, tetapkan niat yang betul dan bersabarlah untuk melalui perjalanan hidup yang telah ditetapkan.
Dengan 5 Cara Ini Ibunya Atasi ‘Separation Anxiety’ Anak
‘Separation anxiety’ yang dialami oleh Aina sebenarnya normal. Setiap anak kecil akan merasa cemas atau takut jika dia terpaksa berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaganya. Cuma keadaan Aina agak keterlaluan sehingga dia seperti tidak mampu berdikari.
Aktiviti seharian saya agak kacau bilau kerana saya terpaksa memberi tumpuan padanya bila dia mencari saya. Kalau tidak, dia akan menjerit dan merajuk. Rajuk yang sukar dipujuk. Aina juga tidak dapat menikmati masa dia bermain kerana dia terlalu risau saya tinggalkan dia.
Jadi, saya luangkan masa membaca ilmu ‘parenting’ berkenaan isu ini. Banyak saya perolehi di blog dan artikel juga daripada pengalaman orang lain. Sedikit sebanyak membuatkan saya faham keadaan Aina.
VISUAL DIRI SEBAIK MUNGKIN
Anak kecil belajar daripada pemerhatian dan dia akan mengikut apa yang orang dewasa lakukan. Setiap perkara yang dilihat akan disimpan dalam memori. Jadi, saya visualkan diri saya sebaik mungkin. Bukan berlakon atau berpura-pura tetapi saya menjadi seorang ibu yang baik di matanya.
Setiap kali dia panggil, saya akan muncul di hadapannya. Saya ketawa dan mengacah Aina. Itulah yang membuatkan dia gembira. Saya tidak sekali-kali menyakat Aina dengan menyorok atau melarikan diri kerana sikap itu menakutkan Aina.
Sekiranya saya di dalam bilik air, saya akan mengetuk pintu dari dalam. Fahamlah Aina saya memang ada di sekitarnya. Visual-visual diri yang baik dan positif ini bertujuan mengembalikan keyakinan dan kepercayaan Aina terhadap saya.
TIDAK BERBOHONG
Saya tidak akan menyelinap untuk keluar rumah. Kalau mampu saya bawa, saya akan bawa sekali. Jika tidak, saya akan minta ibu atau adik perempuan saya menjaganya. Saya akan jelaskan tujuan saya keluar sama ada dia faham atau tidak.
Saya tidak berbohong tentang ayahnya. Dari awal memang saya memberitahu bahawa ayahnya telah tiada. Ayahnya tidak akan pulang ke rumah. Walaupun sedih melihat anak berduka dan memberontak tetapi itulah jalan terbaik. Kejujuran penting dalam membentuk peribadi anak yang positif.
Cara saya ini banyak membantu Aina memahami apa yang sedang dilalui kerana semua perkara adalah nyata. Dia harus belajar tentang reality kehidupan meskipun dia masih kecil.
Saya tidak menipu. Saya tidak berbohong. Lama-kelamaan Aina belajar bagaimana untuk mempercayai orang sekelilingnya. Lebih-lebih lagi mempercayai dirinya sendiri.
PENGGANTI YANG BAIK
Maksud pengganti ialah seseorang yang boleh mengambilalih sementara tugas saya untuk menjaga Aina sekiranya saya perlu keluar atas satu-satu urusan penting. ‘Yang baik’ bukan bermaksud sentiasa beralah dan mengikut kehendak Aina tetapi lebih kepada memahami situasi Aina .
Setakat ini, pengganti terbaik adalah ibu dan adik perempuan saya. Sikap mereka yang seakan-akan sikap saya membuatkan Aina rasa selamat dan dilindungi. Walaupun cemas juga sewaktu ditinggalkan tetapi Aina boleh sesuaikan diri.
TIDAK MEMAKSA
Untuk anak yang berhadapan dengan ‘separation anxiety’ ini selalunya sukar untuk menerima dan berinteraksi dengan orang lain. Kelihatan seperti pemalu atau takut-takut tetapi sebenarnya mereka tidak yakin dengan orang sekeliling.
Salah satu cara saya ialah tidak mendesak atau memaksa Aina untuk memulakan kontek dengan orang lain. Lebih-lebih lagi mereka yang asing baginya. Aina selalu anggap orang lain akan mengambilnya daripada saya. Itu sebab dia mengelak. Rasa tidak percaya itu yang membuatkan Aina menolak untuk dihampiri.
Pada awal-awal dulu, saya akan maklumkan juga situasi Aina agar tiada yang terasa hati dengan sikap Aina. Namun, seiring dengan masa, saya tetap mendidik Aina agar menghormati orang sekeliling terutamanya orang tua. Saya tidak mahu anak saya dianggap kurang adab kerana takut untuk bersalam.
KUKUHKAN HUBUNGAN
Antara semua usaha yang saya lakukan, inilah yang paling utama. Saya kukuhkan hubungan saya dengan Allah kerana hati anak tetap bukan milik saya. Hidayah milik Allah. Saya ikhtiar mengikut batas kemampuan dan ilmu yang saya ada.
Bersama Afrina dan Aina, saya kukuhkan lagi hubungan ibu-anak. Afrina yang sudah berusia 14 tahun saya jadikan sahabat baik saya. Dialah tempat saya bercerita pelbagai kisah. Saya ambil tahu minatnya dan berkongsi apa yang dia suka.
Saya manjakan Aina kerana dia masih kecil. Pelukan dan ciuman dari seorang ibu akan mengalirkan aura positif dan selamat dalam diri si anak. Kata-kata yang baik dan gurau senda sentiasa melingkari hidup kami.
Setiap perkara yang sukar selalunya ada hikmah di sebaliknya. Saya pun banyak belajar daripada perubahan emosi dan sikap anak-anak selepas pemergian hubby. Dalam usaha saya memberi kehidupan yang baik buat mereka, Allah berikan saya kekuatan dan ketenangan untuk melalui takdir hidup saya.
Memang merisaukan apabila dalam rumahtangga, ramai isteri yang kian hilang rasa hormat pada suami. Ia berpunca daripada sikap suami itu sendiri yang menghilangkan rasa hormat isteri buat ketua keluarga ini.
Untuk faham lebih lanjut hadamkan perkongsian daripada Pendakwah terkenal Ustazah Asma’ Harun ini sebagai panduan.
Sesuatu yang merisaukan kita lihat sekarang dalam rumah tangga apabila isteri hilang rasa hormat pada suami. Iya, kadang isteri juga teruji dengan segelintir sikap suami yang lepas tangan dalam mendidik anak, tidak bantu uruskan rumah, panas baran atau yang mengabaikan keperluan isteri.
Sesetengah suami menggunakan alasan itu semua takdir untuk menghalalkan perbuatan yang dilakukan, tetapi sebenarnya setiap tindakan manusia adalah pilihan. Jika suami banyak melakukan perkara yang merosakkan rumah tangga dengan sengaja atau mempunyai matlamat tersendiri, maka wajar seorang isteri hilang rasa hormat terhadap suami.
Kagum Wanita Berusaha Sabar & Kekal Kuat Demi Anak-Anak
Saya sangat kagum dengan wanita-wanita yang menghadapi dugaan seperti ini. Mereka berusaha untuk bersabar dan kekal kuat demi rumah tangga serta anak-anak. Namun tidak bermakna, mereka perlu menelan semua tohmahan dan derita yang diberikan suami bulat-bulat.
Saya pernah terbaca luahan seorang wanita yang mengadu tentang suaminya, berkahwin selama lebih 20 tahun tetapi sangat sabar dengan sikap suami yang panas baran, kaki pukul dan lepas tangan akan tanggungjawab terhadap keluarga, bahkan anak-anak pun takut untuk berjumpa setiap kali ayah mereka pulang dari kerja.
Allahu Akbar, telinga yang mendengar pun terasa berat apatah lagi bahu yang memikul ujian tersebut. Namun saya percaya kalian sangat hebat kerana masih bertahan dan bersabar sehingga ke hari ini. Saya doakan semoga dengan berkat kesabaran menjadi asbab hidayah buat suami untuk berubah.
Cari Kebahagiaan Sendiri
Andai tidak berdaya lagi, carilah kebahagiaan sendiri tanpa bergantung kepada suami, dalam masa yang sama banyakkan berdoa kepada Allah, jangan hilang kepercayaan kepada-Nya.
Dalam membina keluarga yang harmoni, cuba mencari titik persamaan antara pasangan. InsyaAllah semua ini boleh menjadi penawar mujarab dalam membina sebuah keluarga, suami isteri menjalani kehidupan yang diisi suka dan duka, saling menghormati serta berkasih sayang sepenuh jiwa, agar akhirnya dapat dibangkitkan di dalam Syurga bersama.
Mingguan Wanita: Memang ada benarnya, akibat sikap suami itu sendiri, ramai isteri yang semakin hilang hormat pada suami sebagai ketua keluarga dalam rumahtangga. Ramai yang hanya mampu bersabar dan bertahan demi anak-anak, mengabaikan kebahagiaan dan memendam perasaan sendiri.
Rita Rudaini dedah sekolah sorok kes buli 'bawah karpet'-"Pelajar senior pukul, ikat pelajar di pokok sampai tak boleh berjalan." Pelakon terkenal tanah air, Rita Rudaini mendedahkan pengalaman pahit apabila salah sebuah sekolah yang pernah menjadi tempat anaknya menuntut dikatakan terbabit dengan kes buli yang serius, namun cuba ditutup oleh pihak pengurusan sekolah.